Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NTUC lancar inisiatif pembangunan kerjaya bantu siswazah cari kerja

Aug 15, 2025 | 7:09 PM
Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan yang juga Timbalan Setiausaha Agung NTUC (kanan) dan Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Dr Janil Puthucheary (dua dari kanan) bertemu dengan majikan dan pencari kerja muda di Pameran Kerjaya Siswazah Universiti 2025 di Institut Pekerjaan dan Daya Kerja Devan Nair, Jurong East, pada 15 Ogos.
Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan yang juga Timbalan Setiausaha Agung NTUC (kanan) dan Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Dr Janil Puthucheary (dua dari kanan) bertemu dengan majikan dan pencari kerja muda di Pameran Kerjaya Siswazah Universiti 2025 di Institut Pekerjaan dan Daya Kerja Devan Nair, Jurong East, pada 15 Ogos. - Foto NTUC e2i

Dalam usaha membantu lulusan universiti melangkah ke alam pekerjaan dengan lebih yakin, Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) melancarkan rangka kerja pembangunan kerjaya tertumpu kepada keperluan belia pada 15 Ogos.

Rangka kerja baru yang dipanggil ‘Prepare, Connect, Advance’- dilancarkan semasa Pameran Kerjaya Siswazah Universiti yang diadakan buat julung kalinya demi memberi bimbingan kerjaya awal kepada mahasiswa dan siswazah baru di tengah pasaran pekerjaan yang kompetitif.

Rangka kerja tersebut memberi tumpuan kepada usaha membekalkan golongan belia dengan pengetahuan mencari pekerjaan, menghubungkan mereka dengan majikan melalui sesi temu duga di lokasi, serta menyokong perkembangan kerjaya melalui bimbingan mentor dan penglibatan dalam industri.

Pameran berlangsung di Institut Pekerjaan dan Daya Kerja Devan Nair di Jurong East, dihadiri Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan yang juga Timbalan Setiausaha Agung NTUC, dan Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary, serta rakan industri dan Institut Pengajian Tinggi (IHL), siswazah dan mahasiswa.

Encik Tan dalam ucapannya akur terdapat kebimbangan di kalangan golongan muda yang bakal menyertai tenaga kerja akibat ketidaktentuan ekonomi dan pasaran yang kompetitif.

Beliau turut berkongsi antara maklum balas yang diterima, dengan harapan agar pameran kerjaya siswazah tersebut dapat membantu.

Encik Tan berkata: “Salah satu maklum balas yang sering kami terima ialah tiada peluang temu duga langsung.

“Pameran Kerjaya pada hari ini adalah unik kerana anda akan mendapat peluang temu duga secara langsung di sini.

“Ada anak muda yang bertanya ‘Bagaimana saya boleh bersaing dengan rakan-rakan siswazah lain? Bagaimana saya boleh bersaing dengan mereka yang telah menamatkan pengajian lebih awal daripada saya, untuk jawatan yang sama? Bagaimana saya boleh menjadikan diri saya lebih kompetitif, lebih bersedia.”

“Justeru, ini adalah salah satu perkara yang ingin kami bantu anda untuk mencapainya.”

NTUC juga memberikan sokongan kepada siswazah muda dari sudut bimbingan kerjaya.

Jurulatih kerjaya e2i membantu pencari kerja muda memperkemas resume, membuat persediaan untuk temu duga, membina keyakinan diri serta membantu memadankan pekerjaan melalui pangkalan data yang ia miliki.

Komitmen tersebut dapat dilihat melalui inisiatif seperti Program NTUC Youth EXCEL yang dilancarkan pada akhir Julai untuk membekalkan golongan belia dengan kemahiran pekerjaan dan kepimpinan, tambah Encik Tan.

Encik Tan berkongsi bahawa NTUC akan menggunakan alat yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan daya saing belia dalam usaha mencari kerja.

Sebagai contoh, alat AI Resume Builder dan AI Interviewer e2i direka untuk membantu pencari kerja memperkemas permohonan mereka sambil memberi peluang berlatih untuk temu duga dalam persekitaran realistik.

“Alat tersebut memberikan maklum balas segera tentang perkara seperti nada, kejelasan dan langkah, malah gaya, supaya mereka boleh menghadiri temu duga dengan rasa bersedia dan yakin,” kata Encik Tan.

Beliau turut menekankan bahawa NTUC akan memperkukuh kerjasama dengan IHL serta rakan kongsi industri bagi menyediakan lebih banyak wadah yang membolehkan golongan belia dan pencari kerja berinteraksi secara langsung dengan majikan, sekali gus meningkatkan peluang padanan kerja yang tepat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg