Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Flat Prime HDB masih laris, namun bekalan lebih besar reda tekanan

Dec 22, 2025 | 5:52 PM
Penganalisis berkata angka permohonan di bawah rangka kerja baru menunjukkan ramai bakal pemilik rumah masih tertarik dengan lokasi utama serta kemudahan yang ditawarkan.
Penganalisis berkata angka permohonan di bawah rangka kerja baru menunjukkan ramai bakal pemilik rumah masih tertarik dengan lokasi utama serta kemudahan yang ditawarkan. - Foto ST

Permintaan terhadap flat baru di lokasi paling bernilai tinggi telah reda sepanjang setahun lalu sejak Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) memperkenalkan rangka kerja pengelasan Prime, Plus dan Standard, susulan peningkatan bekalan flat.

Daripada tiga kategori tersebut, permintaan terhadap flat Plus didapati lebih tidak sekata.

Penganalisis hartanah berkata pembeli mungkin lebih berhati-hati untuk menerima syarat penjualan semula yang lebih ketat tanpa lokasi yang premium, lapor The Straits Times (ST).

Kategori flat baru itu diperkenalkan dalam penjualan Bina Ikut Tempahan (BTO) pada Oktober 2024, menggantikan rangka kerja lama yang menggolongkan estet sebagai matang dan tidak matang.

Berbanding flat Standard, flat Prime dan Plus terletak di pusat bandar serta lebih dekat dengan kemudahan seperti stesen MRT dan pusat bandar.

Namun, ia disertai syarat penjualan semula lebih ketat, termasuk tempoh penghunian minimum 10 tahun serta pengembalian subsidi antara 6 peratus dengan 14 peratus.

Langkah itu bertujuan membendung permintaan bercorak spekulatif serta memastikan rumah di lokasi menarik kekal mampu milik bagi pembeli daripada pelbagai tahap pendapatan.

Sejak Oktober 2024, HDB telah melancarkan 28,296 flat BTO, dengan lebih separuh daripadanya merupakan flat Standard.

Daripada selebihnya, kira-kira tiga daripada lima ialah flat Prime, manakala bakinya adalah flat Plus, kata ketua pegawai penyelidikan portal hartanah Mogul.sg, Encik Nicholas Mak.

Data permohonan flat BTO menunjukkan permintaan terhadap flat Prime telah reda sepanjang setahun lalu, selepas bekalan di estet paling popular meningkat.

Ketua penyelidik dan strategik di Realion (OrangeTee & ETC) Group, Cik Christine Sun, merujuk kepada lokasi pusat dan pinggir bandar seperti Kallang/Whampoa, Bukit Merah dan Queenstown, yang mencatat permintaan tinggi dalam pelancaran sebelum ini.

Sebagai contoh, pada November 2021, flat empat bilik di River Peaks I dan II, sebuah projek Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH) di kawasan pusat, menerima hampir 7,000 permohonan, dengan kadar permohonan 5.3 bagi pembeli kali pertama dan 104.7 bagi pembeli kali kedua.

Model PLH merupakan perintis bagi flat Prime.

Pada Februari 2022, satu lagi projek PLH di Kallang/Whampoa turut mencatat persaingan sengit dengan jumlah 5,140 permohonan, manakala projek serupa di Bukit Merah Ridge yang dilancarkan pada Mei 2022 menerima 6,560 permohonan.

Namun, pelancaran Prime yang lebih terkini mencatat kadar permohonan lebih rendah.

Dalam penjualan BTO Jun 2024, projek Tanjong Rhu Riverfront I dan II menerima 3,963 permohonan, manakala pelancaran pada Oktober 2025 di Bukit Merah Berlayar Residences dan Redhill Peaks menerima 5,521 pemohon.

Ketua pegawai eksekutif utama ERA Singapore, Encik Eugene Lim, berkata perbezaan ini perlu dilihat dalam konteks peningkatan ketara bekalan.

Beliau menegaskan walaupun kadar permohonan kelihatan lebih rendah bagi pelancaran Prime terkini, ia mencerminkan strategi pemerintah untuk meningkatkan bekalan BTO dan flat baki bagi mengawal tekanan harga.

“Bekalan yang lebih tinggi mengendurkan tekanan permohonan, termasuk bagi projek Prime,” ujar Encik Lim.

Penganalisis berkata angka permohonan menunjukkan ramai bakal pemilik rumah masih tertarik dengan lokasi utama dan kemudahan.

Namun, pertimbangan pembeli kini lebih tertumpu pada faktor lokasi, saiz flat dan fleksibiliti penjualan semula dalam membentuk permintaan di bawah rangka kerja baru ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg