Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inisiatif baru bantu individu dapat kerja berhampiran rumah

Oct 23, 2025 | 7:04 PM
Inisiatif, bantu individu dapat kerja berhampiran rumah, Jobs Nearby@CDC
Menerusi ‘Jobs Nearby@CDC’, Encik Rosman Ibrahim (tengah, berbaju kelabu) berjaya meraih pekerjaan sebagai pegawai keselamatan berdekatan rumahnya di Bukit Batok. Beliau dilihat sedang berinteraksi dengan (dari kanan) Mayor North East, Encik Baey Yam Keng; Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong; Mayor South West, Cik Low Yen Ling; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang, di majlis pelancaran inisiatif itu di Kelab Masyarakat Taman Jurong pada 23 Oktober. - Foto ZAOBAO

Penduduk yang mencari pekerjaan kini boleh mendapatkan pekerjaan lebih dekat dengan kediaman mereka melalui pelancaran satu inisiatif padanan pekerjaan masyarakat baru yang diterajui lima Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).

Inisiatif Jobs Nearby@CDC yang dilancarkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 23 Oktober di Kelab Masyarakat Taman Jurong, memainkan peranan merapatkan jurang di peringkat tempatan atau masyarakat apabila melibatkan isu pekerjaan.

Encik Wong menjelaskan sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, Singapura sentiasa terdedah kepada turun naik di peringkat sejagat.

“Namun, dengan usaha bersama, kita boleh mengurangkan kesannya ke atas rakyat kita.

“Tidak kira keadaan dunia atau ekonomi, kita akan memastikan pencari kerja dan pekerja di Singapura sentiasa disokong dan diberi perhatian,” katanya lagi.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan, menambah kedua-dua dasar nasional dan inisiatif berasaskan masyarakat diperlukan dalam memperkukuh prospek pekerjaan rakyat Singapura.

Sesetengah pencari kerja, kata Encik Wong, mempunyai keperluan khusus seperti bekerja berhampiran rumah dalam mengimbangi tanggungjawab kerja dan keluarga atau mendapatkan susunan kerja lebih fleksibel.

Pada masa sama, perniagaan di kawasan kejiranan juga kerap mencari pekerja, tetapi mungkin kekurangan sumber mencarinya dengan berkesan, manakala kekosongan jawatan mereka mungkin juga tidak tercatat dalam bank pekerjaan nasional, ujar beliau.

Encik Wong menambah pemerintah memainkan peranan proaktif dalam memadankan bakat tempatan dengan keperluan majikan.

“Itulah sebabnya apabila Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) membawa pelaburan baru ke Singapura, ia bukan sekadar mengira bilangan kilang atau jumlah pelaburan dalam dolar yang dibawa masuk ke Singapura.

“Kita secara khusus melihat pekerjaan yang diwujudkan untuk rakyat Singapura, dan kita bertanya, jenis kemahiran apa yang diperlukan untuk pekerjaan baru ini, serta bagaimana kita boleh melatih rakyat Singapura dengan lebih baik untuk mengisi pekerjaan tersebut?” tambah beliau.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (duduk di kiri) berinteraksi dengan salah seorang pencari kerja (duduk di kanan) pada acara pelancaran ‘Jobs Nearby @ CDC’ di Kelab Masyarakat Taman Jurong pada 23 Oktober. Beliau ditemani empat Mayor yang mewakili empat CDC iaitu (bermula dua dari kiri) Cik Denise Phua (Central); Encik Dinesh Vasu Dash (South East); Encik Alex Yam (North West); Cik Low Yen Ling (South West); dan Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (duduk di kiri) berinteraksi dengan salah seorang pencari kerja (duduk di kanan) pada acara pelancaran ‘Jobs Nearby @ CDC’ di Kelab Masyarakat Taman Jurong pada 23 Oktober. Beliau ditemani empat Mayor yang mewakili empat CDC iaitu (bermula dua dari kiri) Cik Denise Phua (Central); Encik Dinesh Vasu Dash (South East); Encik Alex Yam (North West); Cik Low Yen Ling (South West); dan Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang. - Foto ZAOBAO

Semasa pelancaran program tersebut, klinik pekerjaan masyarakat di 42 lokasi turut dilancarkan di lima daerah.

Sekitar 50 duta pekerjaan yang berpangkalan di 18 Kelab Masyarakat (CC) akan bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk mengadakan klinik pekerjaan.

Satu karnival kerjaya yang disertai 22 majikan serta 34 lagi majikan yang menjalankan temu duga video untuk para pencari kerja di lokasi turut diadakan di CC Taman Jurong.

CDC South West telah melancarkan inisiatif Jobs Nearby@CDC pada 31 Ogos, selepas ia diumumkan Encik Wong dalam Rapat Hari Kebangsaan.

Menyedari kepentingan pilihan pekerjaan yang mudah diakses, inisiatif tersebut memanfaatkan pemahaman mendalam CDC terhadap keperluan dan rangkaian tempatan.

Ia merangkumi tiga komponen berbeza – duta pekerjaan, bank pekerjaan daerah, dan klinik pekerjaan masyarakat.

Duta pekerjaan akan ditempatkan di kelab-kelab masyarakat, pelaksanaan usaha libat sama yang lebih langsung dengan pencari kerja, serta menutup jurang fasa terakhir proses yang menghalang padanan kerja.

Setiap daerah akan mempunyai bank pekerjaan sendiri – berasingan daripada bank pekerjaan nasional – yang boleh digunakan oleh penduduk untuk mencari peluang berhampiran rumah mereka, termasuk pekerjaan sepenuh masa, sambilan, dan fleksibel.

Klinik pekerjaan masyarakat juga akan diadakan di kawasan kejiranan seperti CC, pusat rangkaian penduduk dan kedai kopi, bagi menghubungkan pencari kerja secara langsung dengan majikan.

Encik Wong berkata bahawa inisiatif itu akan melengkapkan usaha di peringkat nasional melalui SkillsFuture, Agensi Tenaga Kerja Singapura, Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) serta usaha tiga pihak.

Pelancaran ‘Jobs Nearby @ CDC’ turut dihadiri lima mayor yang mewakili lima CDC iaitu Cik Low Yen Ling (South West); Encik Alex Yam (North West); Encik Baey Yam Keng (North East); Encik Dinesh Vasu Dash (South East); Cik Denise Phua (Central); serta Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang, yang turut mengendalikan daerah Taman Jurong sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong.

Apabila ditanya Berita Harian (BH) tentang kepuasan yang diraih dalam tugasannya, salah seorang duta pekerjaan, Encik Mohammad Huzaini Hashim, berkata apabila individu yang dibantu berjaya mendapatkan pekerjaan, beliau menyifatkannya sebagai satu pencapaian.

“Saya terasa pencapaian itu sangat bermakna… sebab sekarang nak cari kerja pun susah’ kan? Maka apabila mereka dah dapat kerja tersebut, kita rasa lega untuk mereka,” ujarnya yang berusia 29 tahun.

Duta pekerjaan bagi ‘Jobs Nearby @ CDC’, Encik Mohammad Huzaini Hashim.
Duta pekerjaan bagi ‘Jobs Nearby @ CDC’, Encik Mohammad Huzaini Hashim. - Foto BH oleh MUHD HAZMAN ABD AZIZ

Sementara itu, penerima bantuan kali pertama Jobs Nearby@CDC, Encik Rosman Ibrahim, 59 tahun, berkata inisiatif ini telah membantunya mendapatkan pekerjaan selepas tidak bekerja sejak 2022 akibat rawatan dialisisnya.

Encik Rosman terpaksa bersara awal daripada tugas sebagai pemandu peribadi pada 2022 selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang pada 2020.

Sebagai pencari nafkah tunggal yang menanggung isteri dan ibu mentuanya yang berusia sekitar 80 tahun di flat HDB di Bukit Batok, ayah dua anak perempuan itu bertekad untuk bekerja mengikut kemampuan dirinya.

Pada Ogos lalu (2025), beliau berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai pegawai keselamatan dengan syarikat Focus Security yang berhampiran dengan rumahnya.

“Kemudahan kerja berdekatan dengan rumah saya ini ialah pengangkutan.

“Saya naik bas dan berhenti di dua perhentian selepas itu sahaja, boleh jalan kaki juga tetapi disebabkan keadaan saya, saya lebih berhati-hati (untuk tidak memenatkan diri).

“Tetapi yang penting, saya ingin dapatkan pekejaan yang ringan yang tidak memerlukan saya untuk angkat barang berat,” ujar beliau.

Penerima bantuan Jobs Nearby @ CDC, Encik Rosman Ibrahim.
Penerima bantuan Jobs Nearby @ CDC, Encik Rosman Ibrahim. - Foto BH oleh MUHD HAZMAN ABD AZIZ
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg