Umur beliau hampir mencecah angka 70, tetapi pergerakan badannya yang tangkas dan ligat tak serupa usianya.
Menegakkan tubuh, muka penuh fokus dengan kedua kaki tegap dalam posisi bercangkung, Cik Noriah Salikin menggenggam besi barbel seberat 35 kilogram (kg) sebelum mengangkatnya dari lantai.
Bukan sekali dua, tetapi diulangnya berkali-kali.
Ini merupakan sebahagian rutin kecergasan Cik Noriah di samping senaman lain seperti ‘burpee’, ‘push-up’, ‘hanging abs crunches’ (menaikkan lutut dalam keadaan tergantung), dan latihan berselang intensiti tinggi (HIIT).
Malah, beliau pernah mengangkat berat sehingga 60 kg – sama dengan timbangan berat badannya sendiri.
“Apabila jurulatih beritahu saya bahawa saya perlu angkat 60 kg, terbeliak biji mata saya. Tapi sebenarnya, beliau kata kalau nak tahu kekuatan diri, kita perlu angkat berat badan kita. Walaupun sekali, memang parah... Alhamdulillah, terangkat pula!” ujar ibu empat anak itu sambil tertawa.
Cik Noriah merupakan antara anggota kumpulan kecergasan ‘Muslim with Muscles’, dan berlatih di bawah jurulatih, Encik Hilmi Anwar, 37 tahun, yang juga anaknya.
Membiasakan diri bersenam bukan sesuatu yang berlaku semalaman.
Hanya pada usia 50-an tahun Cik Noriah lebih serius dalam mengekalkan kecergasan tubuh.
Selepas pulang daripada menunaikan ibadah haji, beliau sedar akan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat dan mula aktif di sudut kecergasan taman permainan, berjalan pantas mahupun menyertai kumpulan Cina bersenam di kolong bloknya.
Hanya pada tahun lalu beliau gagahkan semangat untuk menjejakkan kaki di gim.
“Saya mak cik biasa, jadi nak pergi ke gim itu rasa seram sejuk... tapi kerana jurulatih tanya kenapa tidak cuba pertingkatkan diri, saya pun rasa tercabar. Orang tua pantang dicabar tau!” katanya yang kuat berseloroh.
Lagipun, beliau percaya ia bagus untuk menguatkan otot dan tulangnya, yang berguna dalam membantunya meniti usia senja.
“Apabila saya mula, saya rasa satu kepuasan macam rasa, eh dah tua-tua pun boleh buat,” ujar nenek enam cucu itu, yang menambah bahawa penting ada jurulatih yang dapat memantau keselamatan warga emas sepertinya dalam melaksanakan senaman tertentu.
Sejak ke gim, Cik Noriah melihat perbezaan dengan dirinya dahulu yang tidak berapa kuat angkat barang berat.
Beliau kini rasa lebih ringan, tidur lebih bermutu dan selera makan juga bertambah baik.
Di samping itu, Cik Noriah, yang akan menyambut hari lahirnya yang ke-70 Disember ini, rajin melakukan senaman mengangkat dumbel di rumah hampir setiap hari.
Suaminya, kini 74 tahun, turut sekaki aktif bersamanya dalam melakukan senaman kecergasan badan.
Bagi Cik Noriah, tidak pernah terlambat bagi warga emas mengamalkan gaya hidup sihat, namun menggesa agar ia dilakukan secara bertahap.
“Kita kena positif dengan diri sendiri. Kalau rasa nak buat, yakin kita boleh buat. Jangan kata tak boleh, kerana tak semestinya kita tua, kita lemah.
“Orang yang baru nak mula pada umur saya, jangan kelam kabut. Buat yang ringan-ringan dahulu, tetapi mesti konsisten. Kalau tidak seminggu dua tiga kali, sekurang-kurangnya seminggu sekali,” nasihatnya.
“
Kita kena positif dengan diri sendiri. Kalau rasa nak buat, yakin kita boleh buat. Jangan kata tak boleh, kerana tak semestinya kita tua, kita lemah. Orang yang baru nak mula pada umur saya, jangan kelam kabut. Buat yang ringan-ringan dahulu, tetapi mesti konsisten. Kalau tidak seminggu dua tiga kali, sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg