Industri lif dan eskalator di Singapura kini semakin menarik bakat muda yang menerima gaji yang lebih lumayan, dengan umur median pekerja tempatan turun daripada 46 kepada 40 tahun dalam dua tahun sejak 2023.
Gaji median juga meningkat 14 peratus pada 2024 dan 10 peratus pada 2025 merentasi semua peringkat, termasuk juruteknik, pegawai penyelesaian masalah dan penyelia.
Perubahan ini telah membawa kepada peningkatan 7 peratus rakyat Singapura yang bekerja dalam sektor tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Sebelum ini, sektor tersebut bergelut dengan kekurangan tenaga kerja akibat tanggapan gaji rendah, waktu kerja panjang dan risiko tinggi.
Kini terdapat sekitar 1,300 warga Singapura dalam industri yang masih bergantung kepada ramai pemegang pas kerja.
Bercakap pada majlis anugerah industri tersebut pada 26 November, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata Model Gaji Progresif (PWM) membantu mengubah keadaan.
Di bawah skim yang diperkenalkan pada 2022, pembantu pakar lif dan eskalator menerima sekurang-kurangnya $2,525 sebulan, manakala pakar utama memperoleh sekurang-kurangnya $3,590.
Skim ini juga menyediakan laluan kerjaya untuk pekerja penyelenggaraan ke peranan penyeliaan atau teknikal.
Di seluruh negara terdapat kira-kira 79,000 lif dan 7,900 eskalator.
Encik Chee turut menyorot usaha meningkatkan kemahiran pekerja, termasuk penggunaan pemantauan lif jarak jauh dan pembantu juruteknik berkuasa kecerdasan buatan (AI) oleh syarikat Finland, Kone.
Aplikasi pembantu AI berbilang bahasa yang dibangunkan di Singapura dengan sokongan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), mengurangkan panggilan kecemasan sebanyak 6 peratus dan rujukan kes ke khidmat bantuan teknikal sekitar 30 peratus sejak Mei.
Dihasilkan di makmal inovasinya di sini, yang merupakan satu daripada empat di dunia, Kone merancang memperkenalkan pembantu juruteknik itu ke pasaran lain.
Pada majlis di Hotel Orchard, 15 penyelia dan pakar menerima plak atas rekod keselamatan, kepimpinan, penguasaan teknikal dan pembelajaran berterusan.
Encik Chee berkata industri ini perlu terus melalui perubahan untuk kekal berdaya tahan dan meningkatkan produktiviti.
Acara itu dianjurkan oleh Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA), Persatuan Kontraktor dan Pengilang Lif dan Eskalator Singapura, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), serta Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i).
Antara penerima anugerah ialah Encik Muhammad Zulkarnaen dari Hitachi Elevator Asia, yang berhenti sebagai mekanik motosikal 18 tahun lalu untuk menyertai sektor lif.
Kini bapa kepada tiga anak itu berkata kenaikan gaji lebih mencerminkan kepakaran kerja yang memerlukan kemahiran, serta tuntutan fizikal dan mental.
Beliau memimpin 16 juruteknik dan mengekalkan rekod keselamatan tanpa sebarang insiden.
Seorang lagi, Encik Ganesh Prasad Vasudevan dari Kone, melihat gajinya disemak sebanyak dua kali sejak tiga tahun lalu.
Beliau berharap acara tahunan ini terus mengiktiraf pekerja industri.
Isterinya, seorang guru prasekolah, berkata beliau dan anak perempuan mereka amat bangga dengan pencapaiannya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg