Perkhidmatan Microsoft 365, Outlook, Teams dan aplikasi lain syarikat itu terganggu selama lebih lima jam pada 12 November, menjejas ribuan pengguna serta penyambung yang digunakan oleh perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) OpenAI dan Anthropic.

Sehingga 6 petang waktu Timur Amerika Syarikat (ET), iaitu 7 pagi pada 13 November waktu Singapura, Microsoft berkata pihaknya masih berusaha memulihkan pelayan terjejas, dengan pemulihan terhad dikesan apabila pengguna kembali tersambung kepada perkhidmatan secara beransur-ansur.

Menurut Downdetector, laporan masalah Outlook memuncak kepada 138,058 sekitar 1 tengah hari ET sebelum susut kepada kira-kira 34,490 menjelang petang.

Di Singapura, laman pemantauan gangguan itu mula merekodkan laporan sekitar 2 pagi, dengan jumlahnya terus meningkat pada pagi 13 November.

Setakat 9.15 pagi, laporan gangguan Microsoft Outlook mencecah 1,130, meningkat daripada sekitar 730 sejam sebelumnya.

Laporan gangguan Microsoft 365 turut meningkat daripada 434 pada 8.30 pagi kepada 566 pada 9.20 pagi.

Puluhan pengguna di Singapura turut melaporkan masalah dengan Microsoft Teams dan Copilot.

Pada awal hari itu, syarikat berkenaan menjelaskan bahawa beberapa pelayan secara tidak dijangka gagal menampung beban tinggi, bukannya akibat peningkatan trafik.

“Kami maklum mengenai laporan masalah yang dialami pengguna perkhidmatan Microsoft 365, terutamanya Exchange Online, dan sedang menyiasatnya,” kata jurucakap Microsoft.

Menjelang 5.47 petang ET, laporan masalah Microsoft 365 susut kepada hampir 13,000 pengguna, manakala 763 laporan melibatkan kesukaran menggunakan Teams, menurut Downdetector.

Gergasi teknologi itu berkata pelayan yang dipulihkan terus berfungsi dengan baik. Syarikat itu turut mengalihkan trafik ke laluan lain, sambil memperkemas proses memulihkan baki pelayan yang terjejas.

“Apabila keupayaan pelayan dipulihkan, perkhidmatan mungkin kembali pulih secara beransur-ansur apabila aplikasi pengguna tersambung semula,” kata Microsoft dalam satu kenyataan.

OpenAI berkata pihaknya sedang menyiasat masalah penyambung Microsoft yang mungkin mengganggu sambungan baharu dan menyebabkan alat tidak berfungsi seperti sepatutnya.

Anthropic pula berkata pihaknya telah mengenal pasti masalah pada penyedia perkhidmatan huluan yang menjejaskan penyambung Microsoft 365 yang digunakannya.

Pada Oktober, Microsoft melaporkan gangguan platform pengkomputeran awan Azure yang menjejaskan rangkaian perisian produktivitinya serta pelbagai industri di seluruh dunia.

Pengeluar lori elektrik Workhorse Group menangguhkan pengumuman keputusan kewangan suku ketiga dari 12 kepada 16 November, berikutan gangguan operasi perniagaan akibat masalah perkhidmatan Microsoft di seluruh dunia. - Agensi berita