Topik diikuti
Pergi ke BHkuGeran $20j galak seni pelbagai budaya di S’pura dibuka 15 Julai
Geran $20j galak seni pelbagai budaya di S’pura dibuka 15 Julai
Geran $20j galak seni pelbagai budaya di S’pura dibuka 15 Julai
Geran Program Kesenian Pelbagai Budaya (MAP) $20 juta bakal dibuka untuk permohonan pada 15 Julai, sebagai pemangkin usaha memperhebat identiti budaya majmuk Singapura dan menyemarakkan pertukaran seni di rantau ini.
Presiden Tharman Shanmugaratnam menyeru penggiat seni memohon geran ini ketika memberi ucapan pada 19 Mei, bersempena Kongres Persatuan Seni Persembahan Antarabangsa (ISPA) 2026 Singapura di Panggung Singtel Waterfront.
Tujuannya adalah untuk mendokong para penggiat seni dan karya yang menyemai semangat kepelbagaian budaya Singapura, merangkumi kerjasama rentas budaya dan rentas sempadan.
Penggiat seni baharu dan yang mapan layak memohon di bawah dua kategori pembiayaan yang ditawarkan.
Berucap dalam kongres itu, Tuan Presiden menegaskan bahawa seni adalah tunjang penting memperkukuh kepelbagaian budaya, terutama saat dunia menyaksikan masyarakat majmuk kian terpisah oleh jurang perkauman, budaya, pendidikan, dan kedudukan sosioekonomi.
“Kita perlu membayangkan semula konsep kepelbagaian budaya, serta menyedari bahawa semangat tersebut hanya boleh disemai menerusi pendekatan dan usaha kepelbagaian budaya yang bersifat aktif, bukan pasif.
“Justeru, seni bukan sekadar menyingkap jurang perbezaan, tetapi membuka ruang untuk kita menemui persamaan. Seni menawarkan pengalaman kolektif yang menyentuh inti sari kemanusiaan kita,” jelas beliau.
Kepelbagaian budaya, ujar Tuan Presiden, adalah nadi pembentukan identiti dan benteng kekuatan masyarakat Singapura.
Itu dibangunkan dengan usaha memastikan ruang umum kekal sekular supaya rakyat Singapura dapat bertemu atas dasar adil tanpa mengira kaum atau kepercayaan.
“Kita tidak boleh memaksa evolusi ruang ketiga ini atau memperhebatkan kepelbagaian budaya dalam acuan yang terkongkong, ia perlu berkembang secara semula jadi. Namun, perkembangan itulah yang menghormati peranan para penggiat seni, daya imaginasi mereka, serta interaksi sesama mereka... yang akhirnya menjamin ketulenan kepelbagaian budaya tersebut, tambah Tuan Presiden.
Lantas, beliau berharap Singapura dapat memangkin dan menyemarakkan pertukaran kreatif di rantau Asia Tenggara.
“Kita akan menyediakan sebuah hab pertemuan di mana para penggiat seni dari seluruh rantau ini boleh berkumpul, meneroka, serta menghasilkan karya-karya yang menyatukan pelbagai genre dan pengaruh daripada pelbagai tradisi,” ujar Tuan Presiden.
Oleh itu, Geran MAP yang diperkenalkan amat penting untuk terus memupuk nilai kepelbagaian ini secara aktif dan kreatif menerusi bidang kesenian.
“Kita sedang giat memantapkan akar seni pelbagai budaya di negara ini, merentasi generasi muda, komuniti, dan seluruh ekosistem seni.
“Dalam masa sama, sokongan akan diperhebat bagi mewujudkan jaringan artistik baharu serta membantu penggiat seni menjalin ikatan kukuh dengan rantau Asia Tenggara dan seterusnya,” ujar Tuan Presiden.
Di bawah Kategori ‘Pementasan’, bantuan dana disediakan sehingga $500,000 bagi tempoh maksimum 24 bulan.
“Ia bertujuan menyokong penggiat dan organisasi seni dalam memperkasakan seni tradisional, di samping menghasilkan karya-karya pelbagai budaya, termasuk yang melibatkan kolaborasi serantau,” tambah Tuan Presiden.
Kategori ‘Pembangunan Ekosistem’ menawarkan dana sehingga $300,000, sepanjang tempoh sehingga 18 bulan.
Pembiayaan ini dikhususkan bagi inisiatif yang memperkukuh ekosistem seni pelbagai budaya, merangkumi program peningkatan kemahiran, residensi, penyelidikan, pesta, dan kerjasama serantau.
Geran ini terbuka kepada projek tempatan mahupun kerjasama dengan artis serta rakan sekerja antarabangsa.
Pementasan dan projek yang dicadangkan menerusi kedua-dua kategori tersebut boleh dilaksanakan secara fizikal, digital, mahupun gabungan kedua-dua wadah tersebut.
Tuan Presiden turut mengumumkan penubuhan sebuah Panel Kepelbagaian Budaya Cabaran Presiden (PCMP) bagi menasihati pelaksanaan Geran MAP, dan membimbing inisiatif kesenian ini.
Panel tersebut menggabungkan kepakaran penggiat seni dan pemimpin masyarakat yang kaya pengalaman dalam pelbagai tradisi serta bentuk seni budaya.
Senarai penuh anggota panel akan diumumkan serentak dengan pembukaan permohonan geran, pada 15 Julai 2026
Kongres ISPA 2026 yang berlangsung dari 19 hingga 22 Mei, selepas kali terakhir diadakan di sini pada 2003.
Bertema ‘Gandingan Kreatif: Sama dan Berbeza’, kongres ini menghimpunkan lebih 400 tokoh seni, artis, dan pembuat dasar dari 40 negara untuk menyemai idea.
Acara anjuran Majlis Seni Kebangsaan (NAC) ini turut dihadiri Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo.
Selain persembahan dan sesi pertemuan, kongres itu akan membincangkan trend terkini yang membentuk ekosistem seni persembahan, perubahan trend penonton, serta kemampanan sektor seni teater, menurut NAC
Beberapa penggiat seni melahirkan rasa syukur terhadap manfaat yang boleh diraih daripada kongres ISPA dan geran baharu itu.
Antaranya ialah Encik Muhammad Riduan Zalani, pengasas bersama dan Pengarah Artistik Nadi Singapura, kumpulan genderang yang mempersembahkan irama bertajuk, “Janji Kita: Echoes of Our Land”.
Penyanyi dan penggubah lagu, Shazza, di acara sempena Kongres ISPA 2026 itu menjayakan persembahan bertajuk “Flame of the Forest”, yang diilhamkan daripada kepelbagaian budaya dan seni tradisional.
Encik Riduan Zalani, pengasas bersama Nadi Singapura, ketika dihubungi Berita Harian, berkata geran tersebut akan menyokong usaha menghasilkan lebih persembahan yang menonjolkan percampuran pelbagai kaum di Singapura.
“Sudah tentunya semangat kepelbagaian kaum sudah bertapak di Singapura... tetapi saya rasa kami dapat melakarkan sifat mencari persamaan dan merunding perbezaan secara lebih mendalam.
“Kami dapat berkongsi dengan penonton nilai-nilai baik yang sepatutnya menjadi teladan bagi pelapis seterusnya, untuk terus memperketatkan keharmonian yang wujud,” ujar beliau.
Beliau menambah bahawa bantuan kewangan menerusi geran itu boleh memastikan para penggiat seni tidak ‘terasa terhimpit dalam usaha menyemarakkan lagi suasana kesenian dan kebudayaan di Singapura’.
Selain menggalakkan lebih kerjasama antara penggiat seni berbilang kaum, beliau berharap geran tersebut dapat menyokong usaha penggiat seni untuk memperluaskan skala persembahan, termasuk mendapatkan ruang pementasan yang lebih besar serta mengadakan persembahan secara lebih kerap.
Shazza, berkongsi sentimen tersebut sambil menambah bahawa geran MAP dan Kongres ISPA 2026 berjaya mendedahkan beliau kepada lebih penggiat seni dan persembahan rentas budaya.
“Sebagai seorang artis ‘pop’, geran dan rangkaian yang disediakan oleh NAC mendedahkan saya kepada lebih ramai penggiat seni pelbagai budaya, sekali gus membantu saya memahami kepentingan hasil karya mereka.
“Setelah membuat persembahan di sini, saya rasa lebih terdorong untuk bekerjasama dengan penggiat seni demikian pada masa hadapan untuk menghasilkan pementasan yang lebih kreatif.
“Saya berharap kerjasama rentas budaya seperti ini menjadi lebih lazim dalam ekosistem seni, supaya kami dapat melahirkan arus muzik yang lebih unik,” ujar artis berusia 25 tahun itu.
Beliau menambah bahawa geran itu mampu mendorong penciptaan karya rentas budaya yang bukan sahaja lebih bermutu, malah menarik lebih ramai rakyat Singapura menghargai keunikan ciptaan pelbagai budaya di samping karya antarabangsa yang bersifat lebih arus perdana.
