Geran baru $20j dilancar sokong seni tradisional, berbilang budaya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Geran baru $20j dilancar sokong seni tradisional, berbilang budaya

Baey Yam Keng: Usaha sokong seniman, projek gabung unsur budaya, tradisi dan disiplin berbeza
Mar 5, 2026 | 8:30 PM

Geran baru $20j dilancar sokong seni tradisional, berbilang budaya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
NAC, MCCY
Majlis Seni Kebangsaan (NAC) akan memperkenal Program Tarian Gabungan Etnik di peringkat sekolah menengah dengan tujuan memupuk pemahaman dan penghargaan yang lebih mendalam terhadap identiti pelbagai budaya dalam kalangan belia Singapura. - Foto fail

Geran baru bernilai $20 juta akan dilancarkan untuk menyokong pembangunan seni tradisional dan berbilang budaya serta memupuk pemahaman dan penghargaan silang budaya yang lebih tinggi dalam kalangan warga Singapura.

Geran Program Seni Berbilang Budaya yang diperkenalkan oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) itu akan dimanfaatkan dalam tempoh lima tahun, dan dibiayai oleh Cabaran Presiden serta MCCY.

Demikian diumumkan oleh Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo, dalam ucapannya semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) MCCY pada 5 Mac.

Menjelaskan lanjut tentang geran baharu itu, Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng, berkata ia akan menyokong seniman dan projek yang menggabungkan unsur budaya, tradisi dan disiplin berbeza.

“Ini dapat menyokong seniman yang menggabungkan unsur daripada budaya berbeza dengan cara yang bermakna, dan mereka yang ingin mengembangkan penguasaan dalam bentuk seni di luar tradisi budaya mereka sendiri.

“Ia juga akan menyokong kegiatan pembinaan ekosistem yang memperkukuhkan landskap seni pelbagai budaya,” ujar Encik Baey.

Maklumat lanjut tentang geran tersebut akan dikongsi NAC apabila ia dilancarkan secara rasmi dalam beberapa bulan akan datang.

Selain itu, NAC juga akan memperkenal Program Tarian Gabungan Etnik di peringkat sekolah menengah bagi semua sekolah menengah dari Mac 2026 hingga Ogos 2027, dengan sokongan Kementerian Pendidikan (MOE).

Program dua tahun itu akan dikelola O School Limited.

Ia bertujuan memupuk pemahaman dan penghargaan yang lebih mendalam terhadap identiti pelbagai budaya dalam kalangan belia Singapura, terutama dalam tahun-tahun pembentukan persekolahan mereka.

Program pengayaan itu akan membolehkan pelajar daripada sekolah berbeza mempelajari pelbagai bentuk tarian etnik – Cina, Melayu dan India – bersama, kemudian menerapkannya dalam tarian kontemporari.

Pelajar tersebut juga akan berpeluang melalui uji bakat bagi persembahan akhir di Super 24, pertandingan serantau yang menampilkan kumpulan tarian dari seluruh Asia, kata Encik Baey.

Dalam pada itu, NAC juga akan meningkatkan pembiayaan di bawah Skim Seniman di Sekolah (Dipertingkat) (Aiss) untuk menyokong sekolah dengan lebih baik dalam melaksanakan program seni tradisional dan/atau berbilang budaya.

Ini sekali gus mendorong penyertaan lebih besar dalam seni tradisional dan berbilang budaya dalam kalangan belia.

NAC akan menawarkan pembiayaan yang dipertingkat di bawah Aiss bagi program seni tradisional dan berbilang budaya, yang meliputi 100 peratus daripada kos yang boleh disokong, termasuk bayaran artis atau bahan, yang dihadkan pada $25,000 setahun bagi setiap sekolah.

Ini merupakan peningkatan daripada pembiayaan Aiss biasa yang meliputi 70 peratus daripada kos yang boleh disokong yang dihadkan pada $15,000 setahun bagi setiap sekolah.

Peningkatan tersebut akan dilaksanakan di semua sekolah MOE bagi 2027.

Selain sekolah menengah, NAC juga akan merintis Program Pendidikan Seni Berkekalan bagi Prasekolah yang bertujuan menyepadukan pembelajaran seni ke dalam pendidikan awal kanak-kanak melalui program yang tertumpu pada muzik, permainan kreatif dan warisan budaya.

“Pendedahan awal kepada tradisi budaya Singapura akan membolehkan kanak-kanak mengembangkan rasa ingin tahu dan penghargaan mereka terhadap kepelbagaian budaya di Singapura sejak usia muda.

“Ini seterusnya akan membantu membina asas pemahaman mereka tentang identiti berbilang budaya Singapura,” ujar MCCY.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg