Grab sasar latih 10,000 pemandu dan peniaga dalam AI jelang 2028
Grab sasar latih 10,000 pemandu dan peniaga dalam AI jelang 2028
Ini selari dengan usaha pemerintah persiap tenaga kerja sedang kecerdasan buatan (AI) membentuk semula perniagaan dan pekerjaan
Syarikat Grab menyasarkan untuk melatih 10,000 pemandu dan peniaga di platformnya dengan kemahiran kecerdasan buatan (AI) menjelang 2028, kata syarikat itu pada Khamis, 5 Februari.
Sasaran tersebut diumumkan semasa lawatan ke pejabat Grab di One-North oleh Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, yang turut mempengerusikan bersama jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi (ESR) bagi sumber manusia, serta Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon.
Latihan itu akan merangkumi penggunaan alat AI untuk meningkatkan jualan dan produktiviti, selain penggunaan AI secara umum bagi tugasan harian.
Setakat ini, lebih 300 rakan peniaga telah menerima latihan tersebut, kata Cik Ong Chin Yin, Ketua Keupayaan Organisasi Grab.
Syarikat itu juga akan melanjutkan sokongan kepada rakan kongsi yang ingin beralih ke kerjaya lain yang selari dengan cita-cita mereka, tambahnya.
Lebih 300 rakan kongsi pemandu telah beralih keluar daripada platform itu ke kerjaya sambilan atau sepenuh masa hasil latihan yang diterima di Grab, ujar Cik Ong, yang juga merupakan ahli jawatankuasa ESR bagi sumber manusia.
Grab tidak mendedahkan jumlah keseluruhan rakan kongsi yang bekerjasama dengannya.
Selain rakan kongsinya, Grab turut meningkatkan kemahiran pekerjanya sendiri dengan kemahiran AI seperti tadbir urus asas AI dan penggunaan alat AI, kata Cik Ong.
Pusat Kecemerlangan AI Grab, yang bertujuan membina dan melatih ekosistem bakat AI, telah menggajikan lebih 50 orang sejak penubuhannya pada Mei 2025, katanya.
Apabila ditanya sama ada pemberhentian pekerja diperlukan untuk membiayai pembangunan AI, Cik Ong berkata ia bukan pendekatan Grab.
Sebaliknya, syarikat itu menumpukan usaha melengkapkan tenaga kerjanya dengan kemahiran sesuai untuk menghadapi perubahan teknologi.
Ketika perubahan perniagaan semakin pesat, perubahan tenaga kerja mesti bergerak seiring, kata Dr Koh dalam satu temu bual ringkas bersama media.
Matlamatnya ialah memperkukuh hubungan antara perubahan perniagaan dengan tenaga kerja, termasuk merapatkan jurang antara institusi pendidikan dengan dunia pekerjaan bagi memastikan graduan bersedia bekerja.
Beliau berkata cara lama yang menekankan pembelajaran sepenuhnya sebelum memasuki alam pekerjaan perlu berubah. Sebaliknya, pembelajaran dan pekerjaan harus lebih bersepadu.
Selain graduan baru, tenaga kerja juga perlu diperkukuh dan dipertingkatkan kemahirannya bagi menangani gangguan yang dibawa oleh AI serta-merta.
Daripada melihat teknologi sebagai pengganti semata-mata, tenaga kerja seharusnya melihatnya sebagai alat pelengkap.
Jawatankuasa ESR kini sedang menyiapkan buku panduan untuk membimbing perniagaan di peringkat sektor dalam menerapkan AI ke dalam proses perniagaan mereka.
Ini masih merupakan usaha jangka panjang, kata Dr Koh, sambil menyatakan bahawa jawatankuasa itu masih mengumpul pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk rakan kongsi, perniagaan dan pekerja.
Beliau berharap menjelang separuh kedua 2026, saranan muktamad dapat dikemukakan.

