JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor tidak bercadang menyaman syarikat kapal dari Belanda yang melanggar kapal tangki minyak milik Singapura di Terminal Pasir Panjang, Singapura, pada 14 Jun lalu, hingga menyebabkan pencemaran di kawasan perairan sempadan Malaysia-Singapura.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata ini kerana syarikat asing yang terbabit dikatakan telah bersedia membayar jumlah kerugian kepada semua nelayan yang terjejas dengan pencemaran tersebut termasuk kos kerja pembersihan.
“Ketika ini Jabatan Perikanan sedang melakukan siasatan bilangan nelayan yang terkesan dan layak mendapat pampasan termasuk jumlah kerugian dialami. Jumlahnya sedang dibincangkan.
“Kita tidak akan mengikut langkah pemerintah Singapura yang bercadang menyaman pihak terlibat kerana kawasan perairan kita yang terjejas tidak seteruk seperti di Singapura. Lagipun syarikat tersebut menerusi pihak insurans mereka sedia bayar pampasan dan menanggung semua kos kerja pembersihan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Pada 26 Jun lalu, polis mengesahkan menerima 159 laporan polis daripada persatuan nelayan yang menuntut ganti rugi ekoran terjejas dengan kejadian tumpahan minyak akibat perlanggaran kapal di Terminal Pasir Panjang itu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitenden Hussin Zamora, berkata laporan itu diterima daripada nelayan berusia antara 20 hingga 70 tahun yang terjejas dan mengalami kerugian akibat insiden itu.
Setiap pengadu iaitu nelayan, kata Encik Hussin, menuntut nilai kerugian antara RM1,000 ($287.65) hingga RM25,000 seorang bergantung kepada kerugian yang dialami.
Kejadian itu ekoran pada 14 Jun lalu apabila sebuah kapal dari Belanda, Vox Maxima, dilaporkan berlanggar kapal tangki minyak dari Singapura, Marine Honor, di Terminal Pasir Panjang.
Keadaan itu menyebabkan kapal tangki minyak yang dilanggar bocor hingga berlaku tumpahan minyak sebanyak 400 tan yang mengalir ke kawasan perairan dan laut di Terminal Pasir Panjang.
Encik Ling berkata kerja pembersihan tumpahan minyak di sepanjang pesisir Sungai Rengit hingga Teluk Ramunia, Pengerang, Kota Tinggi, Johor yang bersempadan dengan Singapura sudah selesai 100 peratus.
Katanya, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan pemantauan terhadap proses pembersihan tersebut terutama di kawasan bakau dan permukaan berbatu.
Beliau memberitahu bahawa kerja pembersihan sehingga kini sudah berjaya mengumpul 43 tan sisa berminyak yang melibatkan dua fasa.
Terkini ujar beliau, pencemaran terbaru dikesan di Pulau Che Kamat, Sungai Rengit, dengan kerja pembersihan akan dilakukan dalam masa terdekat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg