Penguasa Kewangan Singapura (MAS) memperuntukkan geran $15 juta bagi menggalak penyertaan institusi kewangan dalam pasaran karbon yang sedang berkembang.
Institusi kewangan termasuk bank, firma penasihat kewangan, syarikat insurans dan pelabur.
Dalam pengumuman Geran Pembangunan Pasaran Karbon Sektor Kewangan pada 28 Oktober, MAS bersama Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Sekretariat Perubahan Iklim Kebangsaan (NCCS) dan Enterprise Singapore (EnterpriseSG) berkata, geran itu akan membantu menampung kos dan membina asas penglibatan berterusan institusi kewangan dalam pasaran karbon sehingga 2028.
Pasaran karbon ialah sistem perdagangan sejagat yang membolehkan syarikat dan negara membeli kredit daripada pelbagai projek di seluruh dunia bagi mengimbangi pelepasan karbon mereka, sambil memenuhi tanggungjawab di bawah undang-undang domestik atau perjanjian antarabangsa.
Menurut akhbar The Straits Times (ST), sektor itu dikenal pasti sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi mampan Singapura.
Institusi kewangan memainkan peranan penting, daripada membiayai projek, menyusun urus niaga hingga menilai risiko serta memperdagangkan kredit.
Namun, menurut MAS, mereka mungkin berdepan kos awal tinggi untuk membangunkan kepakaran dan menguruskan urus niaga awal yang rumit.
Berucap di Sidang Kemuncak Tenaga Bersih Asia, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Ehwal Luar), Cik Gan Siow Huang berkata, geran baru itu akan membantu menampung kos tenaga kerja dan urus niaga bagi pembiayaan serta dagangan projek kredit karbon.
Geran itu menyokong dua bidang utama, iaitu membina keupayaan pasaran karbon dan menggalakkan penyertaan institusi kewangan dengan mengurangkan kos awal seperti perkhidmatan guaman, semakan teliti dan insurans.
Permohonan dibuka pada 1 November 2025, dengan maklumat lanjut di laman web MAS.
Ketua Pegawai Eksekutif Climate Bridge International, Encik Alvin Lim, menyambut baik daya usaha itu.
“Pembiayaan projek karbon masih baru, dan kebanyakan bank kekurangan alat untuk menilai pelaburan ini.
“Geran MAS membantu membawa modal lebih dekat kepada pelaksana projek dan mempercepat pertumbuhan,” katanya.
Syarikatnya kini meneroka projek karbon di Ghana, Rwanda, Thailand dan Filipina.
Geran itu sebahagian daripada usaha pemerintah memperkukuh kepercayaan terhadap pasaran karbon dan menggalakkan pengeluaran kredit bermutu tinggi, di mana setiap kredit mewakili satu tan pelepasan karbon yang berjaya dikurangkan atau dicegah.
Pemerintah turut melancarkan panduan 12 halaman bagi membantu syarikat menilai dan menggunakan kredit karbon dengan lebih telus.
Panduan itu menekankan bahawa syarikat harus mengurangkan pelepasan dalaman dengan semua cara yang mungkin sebelum bergantung pada kredit karbon.
Setakat ini, Singapura telah menandatangani 10 perjanjian dagangan karbon dengan negara seperti Ghana dan Rwanda, dan memperuntukkan $76.4 juta untuk membeli lebih dua juta kredit daripada projek berasaskan alam semula jadi di Ghana, Peru dan Paraguay.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg