Topic followed successfully
Go to BHkuHakim Mahkamah Rayuan Belinda Ang bersara Apr
Hakim Mahkamah Rayuan Belinda Ang bersara Apr
Hakim Mahkamah Rayuan Belinda Ang bersara Apr
Hakim Belinda Ang akan bersara selepas menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, dengan hari terakhir pada 23 April, menurut Mahkamah Singapura pada 8 April.
Kerjaya kehakiman beliau menjangkau lebih 20 tahun, dengan tumpuan pada perkapalan dan timbang tara, kewangan, sekuriti, perbankan serta kes komersial rumit.
Dalam kenyataan Mahkamah Singapura, Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon, berkata persaraan beliau menoktahkan satu kerjaya cemerlang yang telah memperkayakan dunia perundangan Singapura.
Beliau turut menekankan sumbangan Hakim Ang dalam undang-undang komersial, khususnya dalam perkapalan dan timbang tara, serta sifatnya sebagai rakan sekerja yang dihormati di bangku kehakiman sepanjang perkhidmatan, serta sentiasa bersungguh-sungguh memajukan bidang perundangan dan mengekalkan kecemerlangan kehakiman.
Badan kehakiman telah “diperkukuh secara tidak terhingga” oleh kebijaksanaan, kepakaran dan iltizam beliau terhadap keadilan, ujarnya lagi.
“Kami menzahirkan penghargaan tertinggi atas perkhidmatan cemerlang beliau dan mendoakan yang terbaik dalam persaraannya,” kata Ketua Hakim Menon lagi.
Dalam kenyataan itu, Hakim Ang berkata: “Adalah satu penghormatan dan keistimewaan besar bagi saya berkhidmat dalam pentadbiran kehakiman di Singapura.
“Sepanjang lebih dua dekad di bangku kehakiman, saya telah menyaksikan perkembangan pesat sistem perundangan kita.”
Beliau turut melahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan serta peluang menyumbang kepada perkembangan perundangan dan perantaraan negara.
Hakim Ang memperolehi ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University College of Wales, Aberystwyth pada 1976, sebelum dipanggil ke Badan Peguam England di Middle Temple pada 1977.
Beliau menjadi peguam bela dan peguam cara di Singapura pada 1978, dan memperoleh Sarjana Undang-Undang dari University College London pada 1979.
Hakim Ang memulakan kerjaya di M/s Godwin & Co pada 1980, menjadi rakan kongsi muda pada 1983, dan menubuhkan Ang & Partners pada 1985 sebelum dilantik sebagai Peguam Kanan pada 1998.
Kerjaya kehakiman bermula pada 2002 semasa pelantikannya sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada Februari tahun itu dan menjadi Hakim Mahkamah Tinggi pada 2003.
Beliau dilantik sebagai Hakim Bahagian Rayuan pada 2021, serta disandang sebagai Presiden, sebelum memegang jawatan Hakim Mahkamah Rayuan pada 2022.
Selain itu, beliau merupakan “Bencher Middle Temple” sejak 2016 dan pernah menjadi pengerusi pusat perantaraan atau mediasi Singapura (SMC).
“Bencher”, ialah ahli kanan yang mengurus tadbir Middle Temple, salah satu daripada empat institusi undang-undang di United Kingdom (UK), yang melatih dan melantik peguam.
Mereka dipilih dalam kalangan ahli yang telah dipanggil ke Badan Peguam, dan kebanyakannya terdiri daripada King’s Counsel (KC) atau hakim kanan.
Beliau terus berkhidmat dalam Senat Akademi Undang-Undang Singapura (SAL) sebagai Naib Presiden.

