Topik diikuti
Pergi ke BHkuHarga tiket penerbangan terus melonjak ekoran krisis di Selat Hormuz
Harga tiket penerbangan terus melonjak ekoran krisis di Selat Hormuz
Harga tiket penerbangan terus melonjak ekoran krisis di Selat Hormuz
Harga tiket penerbangan diramal terus melambung lebih lama daripada jangkaan, kesan penutupan Selat Hormuz yang melumpuhkan eksport minyak Timur Tengah, menurut badan penerbangan dunia pada 7 Jun.
Dalam taklimat unjuran industri mengenai krisis tenaga, Naib Presiden Kanan Kemapanan dan Ketua Ahli Ekonomi Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata), Cik Marie Owens Thomsen, berkata semua unsur “krisis dalam sektor penapisan minyak” sudah wujud sebelum konflik Timur Tengah tercetus.
Beliau berkata keupayaan penapisan yang tidak seimbang di seluruh dunia menyebabkan kawasan seperti Eropah lebih bergantung pada import bahan api, terutama dari rantau Teluk.
“Semua pihak akan terus bergelut dengan keadaan ini untuk tempoh yang lama, dan saya menjangkakan harga akan kekal tinggi. Ia akan mengambil masa sebelum harga minyak Brent kembali kepada AS$60 ($77) setong seperti pada Januari,” katanya pada mesyuarat agung tahunan Iata di Rio de Janeiro, Brazil.
Menurut Iata, harga bahan api jet dijangka mencecah AS$152 ($196) setong pada 2026, berbanding kurang AS$100 setong pada 2025. Pada minggu berakhir 29 Mei, harga puratanya ialah AS$141.64 setong.
Minyak mentah atau Brent perlu ditapis untuk menghasilkan petrol, diesel dan bahan api jet.
Ditanya berapa lama syarikat penerbangan akan terus menaikkan tambang, Cik Thomsen berkata mereka akan berbuat demikian bagi menampung kos dan mengelakkan kerugian.
Berdasarkan data sejarah, syarikat penerbangan biasanya menyerap separuh daripada kenaikan harga bahan api melalui keuntungan yang nipis, manakala bakinya dipindahkan kepada penumpang.
Singapore Airlines (SIA) menyatakan pada Mei bahawa mereka tidak akan memindahkan beban kos bahan api sepenuhnya kepada pelanggan.
Meskipun SIA dan Scoot telah menaikkan tambang, pelarasan tersebut tidak mencukupi untuk menampung sepenuhnya lonjakan harga bahan api jet.
Dalam taklimat berasingan, pengarah firma analitik komoditi S&P Global, Cik Eleanor Budds, memberi amaran bahawa keadaan mungkin bertambah buruk sebelum pulih, dengan jangkaan harga minyak akan melonjak semasa musim puncak.
Beliau menjangkakan harga minyak meningkat lagi semasa kemuncak kembara musim panas.
Dengan Piala Dunia Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai, lonjakan permintaan petrol akan mendorong loji penapisan mengutamakan pengeluaran petrol berbanding bahan api jet, sekali gus melonjakkan lagi harga bahan api penerbangan.
Beliau menjangkakan situasi mungkin stabil selepas musim panas apabila permintaan berkurangan dan bekalan pulih, namun harga dijangka kekal tinggi sehingga penghujung tahun.
Malah, sekiranya Selat Hormuz dibuka semula, harga minyak tidak akan kembali ke tahap asal dengan segera kerana sistem logistik dan pengeluaran memerlukan masa empat hingga lima bulan untuk pulih.
Sejak perang Iran tercetus pada 28 Februari, bahagian pasaran penumpang syarikat penerbangan Timur Tengah bagi laluan Eropah-Asia merosot daripada 26 peratus kepada 13 peratus antara Mac 2025 dan Mac 2026.
Kekosongan tersebut diisi oleh syarikat penerbangan Asia-Pasifik dan Eropah, dengan bahagian pasaran Asia-Pasifik meningkat daripada 37 peratus kepada 45 peratus dalam tempoh yang sama.
Ketua Pengarah Iata, Encik Willie Walsh, menyifatkan perubahan ini sebagai sementara kerana syarikat penerbangan Eropah dan Asia tidak mempunyai kapasiti pesawat yang cukup untuk menggantikan keupayaan rantau Teluk.
Beliau yakin syarikat penerbangan Timur Tengah akan kembali mendominasi sebaik sahaja kestabilan pulih.
Cik Thomsen berkata meraih semula jumlah penerbangan yang merosot memerlukan masa, wang dan tenaga kerana tingkah laku pengguna telah berubah.
Mengenai kelewatan penghantaran pesawat dan enjin, Encik Walsh menyifatkannya sebagai “tidak boleh diterima” kerana ia meningkatkan pelepasan karbon, kos bahan api, penyelenggaraan dan pajakan, serta menyebabkan gangguan operasi.
