USTAZAH MASNIA NASSIM
Insya-Allah dengan izin-Nya, sekitar 10 hari lagi umat Islam akan menyambut bulan Ramadan 1446 Hijrah yang memang dinanti-nantikan ramai.
Setiap tahun sebelum kedatangan Ramadan, Muslimin di mana-mana juga akan mula membuat pelbagai persiapan.
Ada yang sudah mula membersihkan rumah agar persiapan Hari Raya tidak bertembung dengan malam-malam terakhir Ramadan.
Bagi kaum ibu pula, mereka pastinya sibuk memikirkan menu untuk berbuka puasa dan sahur selain menyiapkan segala keperluan keluarga.
Bagi golongan Muslim yang lain, pada amnya mereka juga perlu mempersiapkan diri dari segi mental dan kerohanian bagi menjalani ibadah puasa dan melaksanakan ibadah yang lain.
Ada yang memasang niat untuk bertarawih dan mengunjungi sebanyak mungkin masjid yang ada di Singapura ini untuk berjemaah dan beriktikaf.
Ada juga yang sudah beriltizam mahu khatam Al-Quran atau sekurang-kurangnya membaca beberapa juzuk sepanjang Ramadan ini.
Tidak kurang juga, ada yang beriltizam mahu lebih banyak menderma, bersedekah atau memberi makan kepada mereka yang berbuka dan sebagainya.
Pendek kata, sepanjang Ramadan, umat Islam yang memiliki kesedaran akan berlumba-lumba untuk menjadi Mukmin yang lebih baik.
Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah juga tidak ketinggalan membuat persiapan untuk menyambut kedatangan bulan yang penuh barakah ini.
Beberapa program khas sepanjang Ramadan telah disusun oleh Unit Tazkiyah kami, antaranya zikir Ramadan selepas bacaan doa harian, solat duha pada waktu rehat, serta tadarus secara halaqah (beramai) dengan membaca Al-Quran secara berkumpulan selepas waktu zuhur.
Selain itu, tazkirah ringkas turut diadakan, dan Iftar Jamaiy iaitu berbuka puasa secara beramai-ramai serta qiamullail – solat sunat malam akan dilaksanakan bagi pelajar menengah dan prauniversiti pada pertengahan Ramadan.
Kami berharap dengan program-program menghidupkan Ramadan ini, para pelajar telah didedahkan dengan kelebihan bulan ini.
Pada waktu yang sama, Madrasah Wak Tanjong akan meneruskan projek Nur Ala Nur 2.0 dengan lebih giat dalam bulan ini.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, pihak madrasah telah mula menjual kurma madu amalnya sejak bermulanya Nisfu Syaaban.
Kurma madu ini boleh didapatkan dengan harga $10 sekotak melalui tempahan secara dalam talian atau datang terus ke madrasah kami.
Khidmat penghantaran ke rumah juga ada disediakan. Muslimin sekalian juga boleh menghulurkan derma dalam bentuk infak, wakaf atau zakat harta bagi menjayakan projek pembinaan bangunan tambahan kami ini.
Semoga apa juga kebajikan yang dilakukan sepanjang Ramadan ini akan mendapat pahala yang berlipat ganda dan kehidupan kita semua terus diberkati.
Untuk keterangan lanjut bagaimana sumbangan dapat dilakukan, anda boleh menghubungi pejabat kami di talian 6741-0131 atau terus ke Madrasah Wak Tanjong di 589 Sims Avenue, Singapura 387600.
SEKILAS
Anda boleh menderma dengan menggunakan PayNow ke: UEN S55MM0002D atau sertakan cek atas nama ‘Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah’.
Kunjungi Facebook@MWTI Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah untuk mengikuti perkembangan terbaru madrasah.
+ Penulis merupakan Mudirah Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg