Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HDB bantu hurai 859 kes rumit resapan air pada 2024

Apr 8, 2025 | 6:27 PM
Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, berkata adalah penting bagi majlis bandaran membina kepakaran dalam menangani kes resapan air di dinding luar.
Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, berkata adalah penting bagi majlis bandaran membina kepakaran dalam menangani kes resapan air di dinding luar. - Foto ST

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah membantu menyelesaikan 859 kes resapan air yang rumit pada 2024, termasuk dari dinding luar atau dari flat di atas, kata Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara), Cik Sim Ann.

Semasa musim monsun pada Mac, HDB tidak melihat peningkatan kes resapan air, katanya di Parlimen pada 8 April.

Namun, beliau memaklumkan bahawa “HDB menerima maklum balas daripada beberapa majlis bandaran bahawa jumlah kes resapan air meningkat luar biasa semasa musim monsun”.

Cik Sim menjawab soalan Cik Carrie Tan (GRC Nee Soon) dan Encik Liang Eng Hwa (Bukit Panjang), yang bertanya mengenai bilangan kes resapan air dan bagaimana kes-kes ini diselesaikan, lapor The Straits Times (ST).

Menyatakan bahawa majlis bandaran bertanggungjawab bagi penyenggaraan harta bersama di estet HDB, Cik Sim berkata penduduk yang mengalami isu resapan air dari dinding luar flat mereka biasanya melaporkannya kepada majlis bandaran mereka.

Jika penduduk melaporkan kes-kes tersebut kepada HDB, lembaga itu akan merujuk kepada majlis bandaran yang berkenaan untuk tindakan lanjut.

Dalam kes lebih rumit, dengan air meresap dari dinding luar, pasukan pembaikan HDB akan membantu majlis bandaran dengan pemeriksaan dan nasihat teknikal untuk mengenal pasti punca dan melakukan pembaikan, biasanya dalam seminggu.

Cik Sim juga berkata majlis bandaran perlu membina kepakaran dalam menangani masalah ini, dan HDB telah memberi latihan berkala.

Untuk keresapan di siling, HDB membantu dengan Skim Bantuan ‘Goodwill Repair’, dengan HDB membayar 50 peratus kos pembaikan, dan baki 50 peratus dibayar secara bersama oleh pemilik flat atas dan bawah.

HDB juga bekerjasama dengan rakan industri untuk mencari cara lebih baik menangani isu penyenggaraan, terutama di estet lama.

Menurutnya, teknologi imbasan seperti mesin X-ray sedang diuji pada 70 flat di Singapura untuk mengesan punca kebocoran air. Jika ujian ini berjaya, HDB akan mempertimbangkan penggunaannya secara meluas.

Cik Sim juga menjelaskan bahawa mengenal pasti punca masalah resapan memerlukan masa dan kadangkala melibatkan kerjasama antara HDB dan majlis bandaran. HDB sentiasa berusaha mempercepatkan proses.

Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Gerald Giam (GRC Aljunied), bertanya sama ada lebih banyak dana boleh diberikan kepada majlis bandaran untuk menjalankan program penukaran bumbung siling lebih kerap bagi menangani masalah resapan air.

Cik Sim menjelaskan bahawa majlis bandaran sudah dapat melaksanakan kerja penukaran bumbung siling dengan pembiayaan semasa. Jika perlu lebih banyak dana, permintaan khusus boleh dipertimbangkan.

Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim (Aljunied GRC), menyatakan beberapa kes resapan pada bumbung bumbung baru-baru ini berkaitan dengan pemasangan panel solar HDB. 

Cik Sim berkata, kontraktor yang bertanggungjawab akan bekerjasama dengan majlis bandaran dan HDB untuk menghuraikan masalah tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg