Topik diikuti
Pergi ke BHkuHong Tat: Semakan peraturan bagi mudahkan pemilik selenggara bangunan warisan
URA teliti pengecualian syarat permohonan kerja di bahagian bangunan kurang menonjol
Hong Tat: Semakan peraturan bagi mudahkan pemilik selenggara bangunan warisan
Penyelenggaraan bangunan yang dipulihara mungkin menjadi “lebih mudah dan kurang membebankan pemilik” menerusi semakan peraturan semasa, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, pada 10 November.
Pihak berkuasa sedang meneliti pengecualian syarat permohonan bagi kerja yang memberi kesan paling sedikit supaya penyelenggaraan rutin lebih mudah dijalankan.
Berucap pada majlis Anugerah Warisan Seni Bina 2026 di Pusat URA, beliau turut mengumumkan kajian bagi menyokong pembangunan jangka panjang sektor pemuliharaan Singapura.
Kajian Perundingan Sektor Warisan Binaan akan menilai saiz, profil, kekuatan serta jurang kemahiran sektor itu, termasuk dalam kalangan arkitek, jurutera dan kontraktor.
Kajian tersebut juga akan menyarankan cara memperkukuh latihan, kepakaran dan kerjasama antara pemerintah, industri dengan institusi akademik.
Kajian yang ditugaskan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan diketuai Verian Group itu bermula pertengahan November dan dijangka berlangsung 12 bulan.
Presiden Majlis Antarabangsa bagi Monumen dan Tapak Singapura, Dr Kevin Tan, berkata kajian itu perlu menangani jurang pengetahuan dan kemahiran teknikal, bukan sekadar menyenaraikan penggiat industri.
Beliau menegaskan perlunya piawaian bagi menilai kepakaran penyelidikan warisan.
Negara seperti China mempunyai pensijilan kemahiran yang diiktiraf, tetapi Singapura belum mempunyai sistem sedemikian.
Naib Presiden Kedua Institut Arkitek Singapura, Profesor Madya (Zamil) Adrian Lai, berkata peluang arkitek dalam bidang warisan akan bertambah meskipun bangunan yang dilindungi secara rasmi masih terhad.
Beliau merujuk Golden Mile Complex sebagai contoh peningkatan pengiktirafan terhadap bangunan selepas kemerdekaan, yang memerlukan pendekatan pemuliharaan secara teliti.
Menurutnya, usaha URA mengekalkan keunikan dan daya tarikan kawasan tertentu juga memerlukan karyawan menilai kesan projek terhadap identiti kawasan tersebut. Beliau berkata Singapura memerlukan lebih ramai pakar pemuliharaan.
Encik Chee berkata URA akan mendapatkan pandangan pakar industri, badan profesional, institusi pengajian tinggi dan agensi awam agar saranan kajian memenuhi keperluan industri.
Beliau menegaskan sokongan sektor swasta penting untuk melaksanakan strategi pemuliharaan URA, terutama apabila kerja tersebut semakin rumit.
Mengenai semakan terhadap syarat pemuliharaan, URA berkata kerja yang mungkin dikecualikan daripada syarat pemuliharaan tidak melibatkan penanggalan bahan atau struktur bersejarah mahupun penambahan keluasan lantai bangunan. Antaranya ialah pemasangan penyaman udara, paip ekzos dan panel solar.
Kerja itu lazimnya dilakukan di bahagian bangunan yang kurang menonjol. Kerja lain masih memerlukan kelulusan URA.
Encik Chee berkata panduan penyelesaian yang mematuhi kod bangunan mungkin turut dipertingkatkan bagi pengubahsuaian rumah kedai dan banglo yang dipulihara.
Beliau menekankan pentingnya penjagaan bertanggungjawab, kerjasama dan pewarisan kepakaran, sambil menghargai pemilik yang membantu memulihara bangunan.
Antaranya pemilik Orchard Road Presbyterian Church, banglo Starpoint di Pasir Panjang dan Villa Haji Kahar yang terletak di kawasan Kampung Bedok. Lebih 7,200 bangunan dan struktur telah dipulihara sejak 1989.
Bagi Anugerah Warisan Seni Bina 2026, Church of Our Lady of Lourdes dan Parochial House of St Joseph’s Church di Victoria Street menerima Anugerah Pemuliharaan, manakala 21 Carpenter Street menerima Anugerah Pemuliharaan dan Inovasi.
Blessed Sacrament Church, 163 Neil Road dan Tan Kim Seng Fountain pula menerima Penghargaan Khas.