Hospis Woodlands, yang mula beroperasi pada 1 Julai, membawa perkhidmatan pakar penjagaan akhir hayat kepada penduduk di kawasan utara.

Buat masa ini, hospis berkenaan mempunyai 16 katil di satu wad di dalam Hospital Woodlands (WH).

Namun, terdapat perancangan untuk meningkatkan kapasitinya kepada 70 katil, sekali gus menjadikannya antara kemudahan hospis pesakit terbesar di Singapura.

“Ini merupakan satu perkembangan sangat penting, kerana meskipun kita mempunyai penyedia penjagaan akhir hayat seperti Hospis Assisi, Hospis Dover Park dan Hospis HCA yang aktif di serata negara, kita belum ada penyedia khusus di kawasan utara,” kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, semasa merasmikan hospis berkenaan pada 3 Ogos.

Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, menambah bahawa sektor penjagaan paliatif telah berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk peningkatan sokongan kewangan bagi penjagaan paliatif serta peluasan kapasiti perkhidmatan.

Namun, beliau berkata terdapat keperluan bagi warga Singapura dan masyarakat untuk turut mempelajari cara menangani penjagaan akhir hayat, terutamanya dalam menjaga pesakit yang telah mengalami serangan jantung atau angin ahmar.

Ia kerana kematian mereka boleh berlaku secara tiba-tiba sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan keluarga mengenai rawatan dan penjagaan yang diberikan.

“Kita perlu meyakinkan orang ramai bahawa pekerja penjagaan kesihatan sentiasa bertindak secara profesional dan mengutamakan kepentingan pesakit... Golongan profesional akan melakukan yang terbaik untuk merawat pesakit yang mengalami serangan jantung dan angin ahmar secara tiba-tiba.

“Namun, apabila keadaan (kesihatan pesakit) sangat teruk, akan sampai satu tahap di mana doktor menilai bahawa rawatan agresif tidak lagi berupaya memulihkan prognosis fizikal pesakit, dan sebaliknya berisiko menyebabkan penderitaan mereka berlarutan,” tambah Encik Ong.

Hospis Woodlands dikendalikan bersama oleh WH dan Hospital Ren Ci.

Ketua Eksekutif WH, Encik Joe Hau, berkata hospital tersebut menyediakan sumber sebuah hospital akut, yang digabungkan dengan kepakaran penjagaan paliatif menerusi pakarnya.

Khidmat itu dikhususkan bagi pesakit yang terlalu uzur untuk tinggal di rumah, dan memberi pesakit dan keluarga mereka ruang selesa dan tenang.

Pesakit kekal mendapat akses kepada ujian dan pemeriksaan, konsultasi pakar serta perkhidmatan hospital apabila diperlukan, sambil dijaga dalam persekitaran tidak asing bagi mereka, tambah beliau.

WH sebelum ini telah merawat pesakit yang memerlukan penjagaan paliatif di wad hospital masyarakat mereka sejak Mei 2024.

Secara berasingan, Hospital Ren Ci mempunyai kepakaran tersendiri dalam kalangan kakitangan kejururawatan, kesihatan bersekutu dan penjagaan psikososial.

Ia juga berpengalaman dalam merawat pesakit yang mempunyai keperluan penjagaan kompleks serta jangka panjang.

Sementara itu, Persatuan Khidmatan Kebajikan Cheng Hong (CHWSS) bertindak sebagai rakan penjagaan masyarakat dalam model penjagaan hospis bersepadu ini.

Persatuan tersebut telah memperuntukkan dana $6 juta bagi tempoh enam tahun akan datang untuk menyokong hospis berkenaan menerusi pelbagai program yang masih dalam perbincangan.

Ia akan bekerjasama dengan kedua-dua hospital bagi memperkukuh sokongan kepada pesakit dan keluarga mereka menerusi aktiviti seperti program pendamping, hortikultur, menemani pesakit melakukan aktiviti luar serta menunaikan hajat terakhir mereka.

Hospis tersebut terletak di tingkat tujuh WH di wad khas E71.

Sejak ia mula beroperasi pada 1 Julai, sekitar 30 pesakit telah dirawat di sana.

Menurut Ketua Eksekutif Hospital Ren Ci, Profesor Madya Adjung Yong Keng Kwang, hospis berkenaan bakal meluaskan kapasitinya kepada 50 katil dalam tempoh empat hingga enam tahun akan datang menerusi pembukaan wad kedua, E72.

Bagi jangka panjang, kapasiti tersebut boleh ditingkatkan kepada 70 katil dengan memanfaatkan wad WH lain jika terdapat keperluan, kata Profesor Yong.