Topik diikuti
Pergi ke BHkuICA: Pelekat alamat bakal papar nombor penuh NRIC mulai 1 Dis
ICA: Pelekat alamat bakal papar nombor penuh NRIC mulai 1 Dis
Pemegang kad pengenalan (NRIC) Singapura yang ingin mengemas kini alamat kediaman akan menerima pelekat alamat yang memaparkan nombor NRIC penuh mulai 1 Disember, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
Ini menggantikan amalan semasa yang hanya memaparkan nombor NRIC separa pada pelekat alamat.
Langkah itu sejajar dengan usaha pemerintah menghentikan secara berperingkat penggunaan nombor NRIC separa dalam sektor awam kerana “kaedah tersebut kurang sahih dalam mengenal pasti individu dengan tepat”, menurut ICA dalam kenyataan pada 26 November.
Sesetengah individu mungkin mempunyai nombor NRIC separa yang sama, malah nama yang sama, tambahnya.
ICA berkata agensi awam akan beralih secara berperingkat kepada penggunaan nombor NRIC penuh apabila individu perlu dikenal pasti dengan tepat.
ICA mengeluarkan pelekat alamat kepada pemegang NRIC yang memohon untuk mengemas kini alamat kediaman atau mendapatkan pelekat gantian.
Pemohon akan menerima nombor pengenalan peribadi (PIN) unik melalui pos di alamat baru mereka dan perlu memasukkannya di laman web ICA sebagai sebahagian daripada proses pengesahan.
Selepas itu, mereka akan menerima kiriman pos kedua yang mengandungi pelekat alamat baharu untuk ditampal pada bahagian belakang kad pengenalan masing-masing.
“Paparan nombor NRIC penuh pada pelekat alamat juga membolehkan nombor itu dipadankan dengan nombor pada kad pengenalan bagi memastikan pelekat tersebut sepadan dengan pemegang NRIC berkenaan,” menurut ICA dalam kenyataannya.
Format baharu itu akan digunakan bagi pemegang NRIC yang telah memohon pertukaran alamat kediaman dan selesai mengesahkan PIN pada atau selepas 1 Disember.
Format itu turut akan digunakan bagi mereka yang memohon penggantian pelekat alamat yang rosak atau hilang pada atau selepas 1 Disember.
Pemegang NRIC tidak perlu menggantikan pelekat alamat semasa yang memaparkan nombor NRIC separa kerana pelekat itu masih sah, menurut ICA.
Di bawah Akta Pendaftaran Negara, semua pemegang kad pengenalan mesti melaporkan pertukaran alamat kediaman dalam tempoh 28 hari selepas berpindah ke kediaman baru, sama ada di dalam atau di luar Singapura.
Pertukaran alamat kediaman boleh dilaporkan dalam talian menerusi perkhidmatan elektronik ICA di pautan https://go.gov.sg/ic-address.
Mereka yang didapati gagal melaporkan pertukaran alamat boleh didenda sehingga $5,000, dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.