Topik diikuti
Pergi ke BHkuIMH akan dibangun semula, dinamakan Pusat Nasional bagi Kesihatan Mental S’pura
MOH mahu pandangan awam mengenai syarat persetujuan ibu bapa agar tidak hambat rawatan mental bagi pesakit muda
IMH akan dibangun semula, dinamakan Pusat Nasional bagi Kesihatan Mental S’pura
Satu-satunya hospital psikiatri Singapura, Institut Kesihatan Mental (IMH), akan dinamakan semula sebagai Pusat Nasional bagi Kesihatan Mental Singapura (NCMHS) pada 2027, bagi mencerminkan perubahan pendekatan negara terhadap penjagaan psikiatri.
Ketika mengetengahkan peningkatan masalah kesihatan mental, Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, menggariskan rombakan penjagaan psikiatri.
Ia termasuk penjenamaan semula dan peluasan IMH serta semakan peraturan persetujuan ibu bapa bagi memastikan golongan muda tidak terhalang daripada mendapatkan bantuan.
“Seperti pusat kepakaran nasional bagi barah, penyakit jantung dan penyakit mata, pusat ini akan menerajui penyelidikan, menyelaraskan penjagaan psikiatri di semua hospital serta memperkukuh keupayaan seluruh sektor,” katanya pada 10 Oktober, sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia.
Pertukaran nama menandakan peralihan daripada peranan IMH sebagai institusi penjagaan jangka panjang atau “kediaman seumur hidup” bagi ramai pesakit psikiatri, seiring dengan peningkatan penjagaan jangka panjang di kemudahan berasaskan masyarakat.
Pemerintah akan membangunkan semula dan memperluas IMH di Buangkok menjadi hospital lebih besar dan moden menjelang 2040 bagi menangani peningkatan kes kesihatan mental.
Tiga hospital lain iaitu Hospital Besar Changi (CGH), Hospital Woodlands dan Hospital Alexandra, turut memperkukuh keupayaan psikiatri bagi melengkapi pusat utama itu.
Namun, Encik Ong menegaskan bahawa penyelesaian jangka panjang terhadap peningkatan masalah kesihatan mental bukan sekadar memperluas kemudahan, tetapi juga menekankan pencegahan dan rawatan awal.
Pemerintah akan mendapatkan pandangan awam mengenai syarat persetujuan ibu bapa bagi golongan muda yang ingin mendapatkan bantuan daripada pelbagai penyedia perkhidmatan kesihatan mental.
Kementerian Kesihatan (MOH) sedang merangka garis panduan mengenai persetujuan ibu bapa, manakala Majlis Perubatan Singapura (SMC) menyemak garis panduan etika bagi memberikan panduan lebih jelas kepada doktor agar mereka dapat memberikan rawatan demi kepentingan terbaik pesakit.
“Masalah kesihatan mental semakin meningkat di seluruh dunia, terutama dalam kalangan golongan muda. Semakin ramai pesakit mendapatkan rawatan di hospital dan klinik pakar, termasuk mereka yang masih bersekolah,” katanya.
Semakin ramai golongan muda turut menerima bantuan melalui perkhidmatan kesihatan mental berasaskan masyarakat.
Pejuang kesihatan mental menggesa agar had umur persetujuan bagi perkhidmatan tersebut diturunkan.
Langkah itu bagi membantu golongan muda yang menghadapi tentangan ibu bapa akibat stigma (tanggapan buruk dan rasa malu), atau bimbang membebankan keluarga mereka.
Kini, pemanggil talian bantuan National Mindline di 1771 boleh merahsiakan identiti, manakala penyedia khidmat kesihatan mental berasaskan masyarakat lazimnya tidak mewajibkan persetujuan ibu bapa sebelum menawarkan kaunseling dan sokongan.
Namun, sekolah lebih cenderung mewajibkan persetujuan tersebut sebelum memulakan kaunseling rasmi kerana mengutamakan kerjasama erat dengan keluarga.
Encik Ong menegaskan bahawa syarat persetujuan ibu bapa tidak harus dikenakan secara menyeluruh sehingga menghalang golongan muda mendapatkan bantuan, kerana ada yang belum bersedia berbincang dengan ibu bapa mereka.
“Sistem yang baik membolehkan golongan muda mendapatkan bantuan melalui saluran yang selamat, kemudian melibatkan keluarga apabila wajar sepanjang proses penjagaan,” katanya.
“Pada setiap peringkat, kita mesti mengutamakan kepentingan golongan muda dan melindungi kesejahteraan mereka.”
Encik Ong turut mengenal pasti stigma sebagai halangan utama.
“Mereka juga bimbang bantuan kesihatan mental akan meninggalkan rekod yang boleh menjejas peluang melanjutkan pelajaran, mendapatkan biasiswa, pekerjaan atau insurans,” ujar beliau.
Agensi pemerintah mesti bekerjasama bagi melenyapkan kebimbangan tersebut.
“Mendapatkan sokongan kesihatan mental tidak seharusnya menjejaskan seseorang.
“Jika pendedahan maklumat kesihatan mental benar-benar diperlukan, ia harus dihadkan kepada keadaan yang berkaitan dan dikendalikan secara adil.
“Perkara ini perlu ditangani bersama oleh pelbagai agensi pemerintah,” tambah Encik Ong.