Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndividu 81 tahun antara 280 orang disiasat kerana penipuan hampir $4.4j
Individu 81 tahun antara 280 orang disiasat kerana penipuan hampir $4.4j
Seorang individu berusia 81 tahun, adalah antara 280 orang yang sedang disiasat kerana disyaki terlibat dalam penipuan yang menyebabkan kerugian hampir $4.4 juta, susulan operasi polis selama dua minggu.
Seramai 189 lelaki dan 91 wanita, berusia antara 15 dengan 81 tahun, disyaki sebagai penipu atau keldai wang, kata polis dalam kenyataan pada 8 Okt.
Mereka dipercayai terlibat dalam lebih 633 kes penipuan, termasuk penipuan e-dagang, pancingan data, penipuan pekerjaan, penipuan penyamaran sebagai pegawai pemerintah, penipuan pelaburan dan penipuan cabutan bertuah.
Operasi itu dijalankan oleh pegawai Markas Siber (Cyber Command) dan tujuh divisyen darat polis antara 24 September dengan 7 Oktober.
Para suspek disiasat atas kesalahan menipu, pengubahan wang haram atau menyediakan perkhidmatan pembayaran tanpa lesen.
Jika didapati bersalah menipu, mereka boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun dan didenda. Mereka yang disabitkan kesalahan pengubahan wang haram boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun, didenda sehingga $500,000, atau kedua-duanya.
Mereka yang bersalah menyediakan perkhidmatan pembayaran tanpa lesen boleh didenda sehingga $125,000, dipenjarakan sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.
Penipu, serta ahli atau perekrut sindiket penipuan, berdepan antara enam hingga 24 sebatan rotan jika disabitkan bersalah.
Mereka yang membantu penipu dengan mengubah wang hasil penipuan, menyediakan kad SIM atau menyediakan butiran kelayakan Singpass boleh berdepan sehingga 12 sebatan rotan.
Polis berkata sesiapa yang didapati terlibat dalam jenayah sedemikian akan dipertanggungjawabkan. Mereka yang terlibat dalam kesalahan berkaitan keldai wang turut berdepan sekatan terhadap perkhidmatan perbankan dan langganan talian mudah alih, tambah polis.
Mangsa penipuan di Singapura kehilangan sejumlah $410.6 juta pada separuh pertama 2026. Polis berjaya mendapatkan semula lebih $97 juta, termasuk $8 juta dalam mata wang kripto.
Penipuan penyamaran sebagai pegawai pemerintah mencatat kerugian kedua tertinggi antara semua jenis penipuan pada separuh pertama 2026, iaitu $90.8 juta.
Hanya penipuan pelaburan yang mencatat kerugian lebih tinggi, iaitu $169.8 juta dalam tempoh yang sama.
Untuk maklumat lanjut tentang penipuan, layari www.scamshield.gov.sg atau hubungi Talian Bantuan ScamShield di 1799.
Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang penipuan boleh menghubungi polis di 1800-255-0000 atau menghantar maklumat di www.police.gov.sg/i-witness.
Semua maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya, kata polis.