Pentauliahan arkitek, jurutera bakal dipanjangkan dari 1 tahun ke 3 tahun

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pentauliahan arkitek, jurutera bakal dipanjangkan dari 1 tahun ke 3 tahun

Indranee: Langkah beri keyakinan bagi perancangan projek, bantu karyawan bangun kerjaya dalam jangka masa panjang
Jan 23, 2026 | 5:59 PM

Pentauliahan arkitek, jurutera bakal dipanjangkan dari 1 tahun ke 3 tahun

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapore, Indranee Rajah, URA, architect, engineer, license, accreditation
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pembangunan Negara dan Kewangan), Cik Indranee Rajah, membuat ucapan di majlis ‘20 under 45’ edisi keempat yang meraikan sumbangan arkitek tempatan di Pusat Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 23 Januari. - Foto URA

Pihak berkuasa sedang berusaha memanjangkan tempoh sah sijil amalan dan lesen firma bagi arkitek dan jurutera daripada satu tahun kepada tiga tahun.

Demikian menurut Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pembangunan Negara dan Kewangan), Cik Indranee Rajah.

Langkah itu akan memberi keyakinan lebih besar bagi perancangan projek, selain membantu karyawan industri berkenaan merancang dan membangunkan kerjaya mereka dalam jangka masa lebih panjang.

Cik Indranee berkata demikian pada majlis pelancaran pameran dan buku yang meraikan arkitek tempatan di Pusat Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), di Maxwell Road, pada 23 Januari.

Lembaga Arkitek (BOA) dan Lembaga Jurutera Profesional sedang mengusahakan langkah ini, dengan butiran lanjut akan diumumkan apabila tersedia, tambah Cik Indranee.

Langkah itu merupakan sebahagian usaha untuk menyelaras proses tadbir urus, selari dengan inisiatif lain yang dicadangkan oleh pasukan petugas sektor persekitaran binaan.

Bagi membekalkan arkitek dengan kemahiran memimpin pasukan, firma dan organisasi, BOA juga akan menawarkan kursus kepimpinan strategik serta kursus berkaitan perniagaan apabila mereka memperbaharui lesen masing-masing.

Satu lagi inisiatif ialah program latihan amali dipertingkatkan, yang akan diiktiraf oleh BOA pada akhir 2026, ujar Cik Indranee.

Program yang diberi nama ‘Inspire’ itu menawarkan latihan amali dengan tempoh lebih panjang sekurang-kurangnya 30 minggu, elaun sekurang-kurangnya $1,500 sebulan, serta gaji permulaan melebihi kadar pasaran bagi pelatih yang akan menyertai firma tersebut secara sepenuh masa.

Latihan amali itu juga akan diambil kira dalam memenuhi sebahagian syarat pengalaman praktikal selama dua hingga lima tahun untuk mendaftar sebagai arkitek.

Pada masa ini, latihan amali tidak dikira di dalam memenuhi syarat ini.

“Langkah ini memendekkan tempoh kelayakan dan membina kesedaran awal mengenai kelayakan profesional serta minat dalam kalangan pelajar,” kata Cik Indranee.

Pasukan petugas itu ditubuhkan pada 2024 bagi meningkatkan imej pekerjaan dalam sektor pembinaan dan arkitek, dalam usaha menarik lebih ramai bakat.

URA pada 23 Januari melancarkan edisi keempat program ‘20 under 45’, yang merangkumi sebuah pameran dan pelancaran buku bagi menghargai arkitek yang memainkan peranan penting dalam membentuk persekitaran binaan Singapura.

Dalam edisi terkini, 23 arkitek berumur di bawah 47 tahun pula diketengahkan, kerana program itu tertangguh selama dua tahun akibat pandemik Covid-19, jelas URA.

Dalam majlis tersebut, Cik Indranee turut berkata satu siri pertandingan reka bentuk akan dilancarkan pada akhir 2026 bagi memberi peluang kepada arkitek membangunkan idea untuk meningkatkan ruang awam di Singapura.

Ini termasuk taman tepian air di sepanjang Sungai Kallang dan kawasan pejalan kaki di Katong-Joo Chiat.

Projek Sungai Kallang akan dibuka secara eksklusif kepada arkitek yang terlibat dalam program ‘20 under 45’ edisi terkini, kata Cik Indranee.

Pemenang akan dilantik untuk melaksanakan reka bentuk tersebut.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, mengumumkan beberapa langkah bagi menyokong industri pembinaan.

Antaranya ialah langkah memanjangkan tempoh sah penyenaraian bagi Panel Perunding Sektor Awam daripada satu tahun kepada tiga tahun bermula 1 Jun, bagi mengurangkan beban pentadbiran ke atas firma.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg