Keluarga, rakan sebaya benteng radikalisme belia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga, rakan sebaya benteng radikalisme belia

Mar 8, 2026 | 12:00 AM

Keluarga, rakan sebaya benteng radikalisme belia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
isd, belia radikal, ibu bapa, rakan sebaya
Ibu bapa perlu tahu saluran yang betul untuk merujuk pakar yang mempunyai ilmu teologi yang sahih untuk menjawab isu keagamaan anak mereka. - Foto ST

Sokongan rakan sebaya dan institusi keluarga merupakan benteng utama dalam melindungi belia daripada pengaruh radikalisme, kata pakar kepada Berita Minggu (BM).

Hubungan baik antara ibu bapa dengan anak-anak sahaja tidak mencukupi.

Mereka juga perlu tahu saluran yang betul untuk merujuk pakar yang mempunyai ilmu teologi yang sahih, untuk menjawab isu keagamaan anak mereka.

Tanpa bimbingan agama yang tepat untuk menjawab soalan dan andaian golongan muda, mereka lebih berisiko terjerumus ke kancah radikal.

Namun, tanggungjawab itu tidak terletak pada bahu ibu bapa dan rakan-rakan semata-mata.

Malah, belia sendiri perlu celik digital, untuk membezakan antara sumber yang benar dengan palsu, kata pakar.

Hal ini penting memandangkan dalam era digital dan kemajuan kecerdasan buatan (AI), kumpulan pengganas kini lebih licik dalam menyusun strategi pesanan mereka, demi memanipulasi ruang siber.

Kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Ahmad Saiful Rijal Hassan, menekankan kepentingan celik digital bagi membolehkan belia mengenal pasti kesahihan sesuatu sumber rujukan.

Beliau menyifatkan aspek visual dalam talian sebagai perkara yang amat kritikal, kerana apa sahaja yang dilihat dan dihadam mampu mempengaruhi perjalanan radikalisasi seseorang.

“Langkah yang menyusul kemudian adalah naratif; di mana imej yang dilihat dalam talian akan diikuti dengan naratif tertentu, yang cuba menghalalkan atau mengagung-agungkan kekejaman, serta tindakan ganas, sebelum diperkukuhkan lagi dengan justifikasi agama,” jelasnya.

Menurutnya, kumpulan pengganas ini licik dalam mencari peluang untuk mempengaruh anak muda di dalam dunia digital.

Menukil contoh belia 14 tahun yang menjadi radikal menerusi permainan Roblox pada November 2025, Ustaz Saiful Rijal, berkata:

“Wadah permainan video, media sosial, dan wadah kiriman pesanan tersulit digunakan secara aktif (oleh golongan ekstremis) untuk elak daripada dikesan.

“Di situlah golongan muda kita akan bergaul dan berinteraksi, sama ada dengan rakan tempatan mahupun rakan antarabangsa, sekali gus mencari teman dan mengaitkan diri dengan kumpulan tertentu.”

Ustaz Saiful Rijal, yang juga merupakan Zamil Penyelidik Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), menambah keluarga merupakan benteng pertama dalam mengenal pasti tanda-tanda radikalisasi di rumah.

Sehubungan itu, ibu bapa perlu segera mendapatkan bantuan dan nasihat daripada pihak berkuasa atau institusi berkaitan.

Langkah ini penting bagi menentukan sama ada tingkah laku tersebut memerlukan perhatian khusus atau sekadar fasa biasa dalam perkembangan seorang remaja.

Ini termasuk mendapatkan pencerahan agama yang tepat dari institusi agama yang dipercayai seperti masjid, katanya.

“Dari sudut pandangan teologi, ia adalah tentang keyakinan dan kepercayaan.

“Pendekatan yang betul ialah dengan berikan pengetahuan yang benar dan berwibawa tentang maksud sebenar teologi itu sendiri.

“Jika ibu bapa tidak begitu mahir membincangkan isu-isu teologi, mereka perlu mendapatkan bantuan daripada mereka yang lebih pakar dalam bidang tersebut,” ujarnya.

Menurut pendidik dan kaunselor RRG, Dr Muhammad Mubarak Habib Mohamed, adalah penting bagi masyarakat menyedari belia yang terjebak dengan ideologi ekstrem tidak mencari kandungan tersebut secara sengaja.

Terdapat banyak faktor psikososial yang mendesak mereka ke satu sudut di mana naratif ekstrem ini seakan berbicara terus dengan pengalaman hidup seharian mereka, katanya.

Dr Mubarak berkata:

“Mereka menemui makna dalam perkara tersebut kerana mereka merasa diri mereka tidak dipedulikan oleh orang dewasa di sekeliling mereka. Mereka terlepas daripada jaring keselamatan.”

Oleh itu, dalam proses pemulihan, bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, RRG (melalui sesi kaunseling), atau pemimpin agama; sebaliknya, ia memerlukan pendekatan seluruh masyarakat, tambahnya.

“Jika anda seorang dewasa yang berpeluang untuk bertemu dengan seorang belia, jangan sesekali memperkecilkan emosi mereka kerana kita tidak akan pernah tahu, mungkin kitalah orang dewasa terakhir tempat mereka meluahkan segala perasaan yang terbuku,” ujar beliau.

Beliau turut menggesa rakan sebaya untuk melaporkan kepada guru atau kepada kaunselor sekolah jika melihat tanda-tanda radikal dalam kalangan belia.

Ini kerana rakan-rakan sering menjadi pihak pertama yang dapat mengesan jika terdapat sesuatu yang tidak kena, contohnya apabila seorang rakan mula berkongsi video yang mengandungi banyak mesej kebencian.

Dr Mubarak menjelaskan radikalisasi merupakan satu proses berperingkat yang boleh dipintas lebih awal jika rakan sebaya peka dalam mengesan perubahan tingkah laku rakan mereka.

“Ini bukan disebabkan kita cuba sabotaj kawan sendiri, tetapi kerana kita peduli tentang mereka.

“Siapa yang patut melaporkannya? Keluarga dan juga rakan-rakan.

“Ini kerana dengan melapor lebih awal, kita dapat melaksanakan campur tangan secepat mungkin supaya mereka tidak hanyut ke dalam ‘lubang arnab’ tanpa disedari,” kata Dr Mubarak.

Menurut satu kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), mereka berkata, laporan awal oleh ahli keluarga dan rakan-rakan adalah sangat kritikal bagi memastikan golongan belia menerima intervensi tepat pada masanya, sekali gus memastikan masyarakat kekal selamat.

Ini kerana, kebanyakan belia yang disiasat ISD atas potensi radikalisasi telah menunjukkan tanda-tanda amaran awal kepada keluarga dan rakan-rakan mereka, seperti menzahirkan sokongan terhadap kumpulan pengganas dan penggunaan keganasan, jelas ISD.

“Mereka yang dinilai berada di peringkat awal radikalisasi atau berisiko menjadi radikal berkemungkinan tidak akan dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sebaliknya melalui langkah intervensi lain seperti sesi kaunseling.

“Hanya mereka yang didapati menimbulkan ancaman keselamatan yang serius atau mendesak akan dikenakan Arahan Penahanan (OD) atau Arahan Sekatan (RO) di bawah ISA,” kata ISD.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg