Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isu persaingan, skim bayaran, insentif lebih adil bagi pekerja platform jadi tumpuan

Kumpulan kerja tiga pihak bakal kemuka cadangan jelang akhir 2025 bagi tangani keprihatinan
Jul 14, 2025 | 10:14 PM
Grab, platform
Kumpulan Kerja Tiga Pihak bagi Pekerja Platform bertemu buat kali pertama pada 14 Julai yang turut disertai Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan), Dr Koh Poh Koon (tiga dari kanan); Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling (empat dari kiri); Setiausaha Eksekutif, Kesatuan Sekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU), Cik Yeo Wan Ling, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol (empat dari kanan). - Foto FACEBOOK KOH POH KOON

Kumpulan kerja tiga pihak yang baru dibentuk bagi membantu pekerja platform akan mencari huraian terhadap isu persaingan tidak adil yang menjadi keprihatinan ramai pekerja sektor itu.

Isu tersebut timbul apabila berlaku amalan penyumberan luar dan kegiatan yang dilarang dalam sektor tersebut, termasuk penggunaan akaun platform secara haram oleh warga asing dan warga asing yang menjalankan kerja penghantaran tanpa pas kerja yang sah.

Kumpulan kerja itu juga akan bekerjasama dengan pengendali platform untuk mewujudkan prinsip adil dan selamat bagi skim pembayaran dan insentif bagi pekerja, kata Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan), Dr Koh Poh Koon.

Demikian dua keprihatinan yang menjadi tumpuan utama kumpulan kerja tiga pihak itu, dedah Dr Koh menerusi hantaran di Facebook pada 14 Julai, susulan mesyuarat pertama yang diadakan.

“Pertama, kami akan melihat bagaimana kami boleh menangani kebimbangan pekerja platform mengenai persaingan adil yang timbul daripada amalan penyumberan luar dan kegiatan tidak dibenarkan dalam sektor platform.

“Ini termasuk warga asing yang menggunakan akaun platform secara haram, warga asing yang melakukan kerja penghantaran menyalahi undang-undang tanpa pas kerja yang sah, dan perkhidmatan membawa penumpang secara haram.​

“Kedua, kami akan bekerjasama dengan pengendali platform untuk mewujudkan prinsip yang adil dan selamat bagi skim pembayaran dan insentif,” kata Dr Koh.

Kumpulan kerja itu dibentuk bersama Kongres Kesatuan Sekerja Nasional (NTUC) dan persatuan berkaitan dengannya, Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Grab Singapore.

Dr Koh berkata wakil daripada kumpulan kerja itu bersetuju dengan kededua bidang tumpuan tersebut, dan menjangkakan untuk mengemukakan cadangan mereka menjelang akhir 2025.

Penubuhan kumpulan kerja itu diumumkan buat kali pertama pada 4 Julai oleh MOM dan MOT bagi menangani isu warga asing yang melakukan kerja penghantaran secara haram, serta cabaran lain yang dihadapi oleh pekerja platform di Singapura.

Ini setelah Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, menggesa pemerintah pada 4 Julai, agar membentuk kumpulan kerja bagi menangani isu tersebut di samping cabaran lain yang dihadapi pekerja platform.

Kumpulan kerja itu diterajui Dr Koh, Encik Ng, Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling; dan Pengarah Urusan Operasi, Kumpulan Grab, Encik Yee Wee Tang.

Cik Sun, dalam hantarannya di Facebook, berkata: “Kami menyokong keperluan untuk mengadakan skim pembayaran dan insentif yang adil dan selamat serta menggalakkan ketelusan yang lebih tinggi daripada pengendali platform.

“Kami berharap untuk mengadakan perbincangan yang lebih mantap tentang cara kami boleh bekerjasama untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh pekerja platform dan menjaga kesejahteraan mereka.”

Sementara itu, dalam satu hantaran di Facebook pada 14 Julai juga, Setiausaha Eksekutif, Kesatuan Sekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU), Cik Yeo Wan Ling, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol, berkata kumpulan kerja itu “telah mengadakan perbincangan yang produktif”.

“Kami mendengar (apa yang) anda (katakan), kami memahami anda, dan kami mengambil tindakan untuk anda.

“Satu isu yang anda bangkitkan ialah warga asing yang mengambil kerja penghantaran secara haram, yang secara langsung memberi kesan kepada pendapatan anda.

“Melalui kumpulan kerja ini, NTUC dan PWA (Persatuan Pekerja Platform) akan terus menyokong kepentingan anda, dan bekerjasama dengan rakan kongsi daripada pemerintah dan pengendali platform untuk menangani keprihatinan anda,” kata Cik Yeo.

NTUC pada 4 Julai berkata sesetengah warga asing mengambil kerja penghantaran secara langsung di platform dengan menyalahgunakan akaun.

Ini adalah tidak sah kerana kerja platform hanya boleh dilakukan oleh warga Singapura, tegas kenyataan itu.

Ini mewujudkan “persaingan tidak adil kepada pekerja penghantaran kita dan memberi kesan langsung kepada pendapatan mereka”, kata NTUC, yang memaklumkan hal itu terbongkar berikutan maklum balas daripada pergerakan buruh dan persatuan pekerja platform.

NTUC turut menegaskan walaupun pengendali platform dibenarkan mendapatkan khidmat sumber luar daripada syarikat lain bagi tugas penghantaran, namun, sesetengah warga asing bekerja untuk syarikat tersebut dan ia dilakukan tanpa permit kerja. Perbuatan itu juga menyalahi undang-undang.

Mengulas tentang kumpulan kerja itu di Facebook pada 14 Julai, Grab berkata bahawa pemandu dan rakan kongsi penghantaran mereka adalah teras usaha mereka.

“Matlamat kami sebagai kumpulan kerja tiga pihak adalah untuk mencari huraian bersama dan amalan terbaik industri demi melindungi mata pencarian pekerja platform dan menjaga kesejahteraan mereka, terutama daripada pekerja dan perkhidmatan tidak berlesen.

“Kami berharap dapat memacu perubahan yang bermakna dan berkongsi lebih banyak perkembangan sepanjang perjalanan bersama MOM, MOT, Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) dan Persatuan Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA),” kata Grab.

“Pertama, kami akan melihat bagaimana kami boleh menangani kebimbangan pekerja platform mengenai persaingan adil yang timbul daripada amalan penyumberan luar dan kegiatan tidak dibenarkan dalam sektor platform. Ini termasuk warga asing yang menggunakan akaun platform secara haram, warga asing yang melakukan kerja penghantaran menyalahi undang-undang tanpa pas kerja yang sah, dan perkhidmatan membawa penumpang secara haram.​ Kedua, kami akan bekerjasama dengan pengendali platform untuk mewujudkan prinsip yang adil dan selamat bagi skim pembayaran dan insentif.”
Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan), Dr Koh Poh Koon.

“ Matlamat kami sebagai kumpulan kerja tiga pihak adalah untuk mencari huraian bersama dan amalan terbaik industri demi melindungi mata pencarian pekerja platform dan menjaga kesejahteraan mereka, terutama daripada pekerja dan perkhidmatan tidak berlesen. Kami berharap dapat memacu perubahan yang bermakna dan berkongsi lebih banyak perkembangan sepanjang perjalanan bersama MOM (Kementerian Tenaga Manusia), MOT (Kementerian Pengangkutan), Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA), dan Persatuan Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA).”
Grab.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg