Sebuah jambatan baru merentasi Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) bagi penunggang basikal dan pejalan kaki yang menghubungkan Bishan dengan pusat bandar kini hampir siap.

Namun, beberapa bahagian PIE akan ditutup buat sementara bagi membolehkan kerja pembinaan diteruskan.

Jambatan sepanjang hampir 700 meter itu merupakan penghubung terakhir dalam Projek Laluan Penghubung Bishan ke Pusat Bandar atau Bishan-to-City Links yang akan menyediakan laluan hijau berterusan sepanjang 10 kilometer dari Bishan ke pusat bandar bagi pejalan kaki dan penunggang basikal.

Apabila siap, penggemar berbasikal boleh melakukan aktiviti itu dari Bishan ke pusat bandar dalam masa kurang 30 minit.

Dalam satu hantaran Facebook pada 2 Julai, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata laluan itu akan memudahkan orang ramai ke taman, kawasan tepian air dan kawasan kejiranan sekitar Sungai Kallang.

Beliau berkata beberapa projek lain turut dijalankan di kawasan itu, termasuk rangkaian hijau baru yang dihubungkan ke jambatan itu, laluan bawah tanah ke Mar Thoma Road, serta laluan pejalan kaki yang dilebarkan di sepanjang Sungai Kallang antara Mar Thoma Road dengan Jalan Taman.

Pihak berkuasa juga sedang mengkaji penggunaan kawasan lapang di bawah Jejambat Whampoa di Ekspreswe Central (CTE) bagi kemudahan sukan dan riadah, termasuk gelanggang pelbagai guna.

Jambatan PIE tersebut dan kerja peningkatan dijangka siap pada separuh kedua 2027.

Sebuah lagi jambatan buat penduduk Bishan, Marymount dan Ang Mo Kio turut akan dibina, menghubungkan permulaan jambatan Bishan-pusat bandar itu.

Jambatan itu juga akan menghubungkan kedua-dua bahagian Taman Bishan-Ang Mo Kio serta stesen MRT Teck Ghee yang bakal dibuka.

Bagi meneruskan baki kerja, beberapa bahagian PIE akan ditutup pada empat malam antara pertengahan Julai hingga pertengahan Ogos.

Menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 2 Julai, penutupan itu akan dilaksanakan di luar waktu sibuk, dari tengah malam hingga 5 pagi.

URA menasihatkan pemandu supaya merancang perjalanan lebih awal, memandu dengan berhati-hati dan mematuhi papan tanda yang disediakan.

Penutupan jalan adalah seperti berikut:

12 Julai dan 16 Ogos
- PIE (arah Tuas) antara Exit 15A dengan jalan susur ke CTE (SLE/TPE)
- PIE (arah Changi) antara Exit 15 dengan Exit 13

26 Julai
- PIE (arah Tuas) antara Exit 15A dengan Exit 17
- Serangoon Road ke PIE (arah Tuas)
- Serangoon Road ke CTE (SLE/TPE)

2 Ogos
- PIE (arah Changi) antara Exit 15 dengan Exit 13
- Exit 15 PIE (arah Changi) ke Upper Serangoon Road
- Exit 8B CTE (arah Bandar) ke Upper Serangoon Road
- Exit 8B CTE (arah Bandar) ke PIE (arah Changi)
- Exit 8B CTE (arah SLE/TPE) ke Upper Serangoon Road
- Exit 8B CTE (arah SLE/TPE) ke PIE (arah Changi)