25 Jan 1981: Penemuan mayat Agnes Ng, korban bunuh ngeri pertama Adrian Lim

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

25 Jan 1981: Penemuan mayat Agnes Ng, korban bunuh ngeri pertama Adrian Lim

Jan 25, 2026 | 12:34 AM

25 Jan 1981: Penemuan mayat Agnes Ng, korban bunuh ngeri pertama Adrian Lim

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Adrian Lim, kes bunuh Toa Payoh, Agnes Ng, Ghazali Marzuki, Catherine Tan, Hoe Kah Hong
Sepanjang hari perbicaraan kes pembunuhan membabitkan Adrian Lim, Catherine Tan dan Hoe Kah Hong, orang ramai berkumpul di luar mahkamah, dan prosiding tersebut dipantau serta dilaporkan secara meluas oleh pihak media. - Foto fail ST

Masihkah anda ingat tentang kes pembunuhan ngeri dua kanak-kanak di Singapura, Agnes Ng dan Ghazali Marzuki, yang membabitkan seorang lelaki penganggur, Adrian Lim, menyifatkan dirinya sebagai bomoh Cina?

Kes itu dikenali sebagai ‘Pembunuhan Dasyhat Di Toa Payoh’, dengan kes perbicaraan panjang selama 41 hari adalah yang kedua paling lama dijalankan di mahkamah.

Lim, isterinya, Catherine Tan Mui Choo, dan wanita simpanannya, Hoe Kah Hong, didapati bersalah dan dihukum gantung, dengan proses tersebut dijalankan pada 25 November 1988.

Kes jenayah paling lama dibicarakan di Singapura pula makan masa enam tahun. Ia merupakan kes rayuan untuk dibebaskan daripada tuduhan membunuh seorang wanita berusia 69 tahun, yang membabitkan Ismil Kadar, yang akhirnya didapati tidak bersalah.

Genap 45 tahun lalu, pada 25 Januari 1981, mayat Ng, sembilan tahun, anak bongsu dalam sembilan beradik, seorang pelajar di Sekolah Perempuan Cina Holy Innocents, ditemui seorang tukang kayu yang baru pulang daripada menonton filem tengah malam di Blok 11, Toa Payoh Lorong 7, lapor akhbar The Straits Times.

Alangkah terkejutnya apabila tukang kayu itu membuka sebuah beg coklat dan langsung ternampak kepala seorang budak, yang kemudian disahkan sebagai Ng.

Kali terakhir Ng ditemui adalah di Gereja Risen Christ di Toa Payoh, dan mayatnya dijumpai di dalam sebuah beg di Blok 11, Toa Payoh Lorong 7.

Dia dipercayai meninggal dunia akibat lemas (sesak nafas), dan terdapat juga tanda-tanda bahawa budak ini telah diliwat serta didera secara seksual.

Ghazali pula merupakan seorang pelajar Sekolah Rendah Henry Park, 10 tahun, yang sedang bermain di taman permainan bersama sepupu-sepupunya di Clementi apabila seorang wanita (Hoe) menghampiri mereka untuk meminta bantuan.

Ghazali kemudiannya dibawa ke flat Lim di Toa Payoh dengan menaiki teksi.

Mayatnya ditemui di antara Blok 10 dan 11 di Toa Payoh pada 7 Februari 1981, selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Bedah siasat mendedahkan bahawa dia telah dilemaskan (dalam air), walaupun tanda-tanda asfiksia (sesak nafas) turut dikesan. Terdapat juga tiga kesan lecur pada belakang badannya dan satu kesan tusukan pada lengannya.

Kesan darah yang bertitisan berhampiran mayat Ghazali telah membawa penyiasat polis ke sebuah flat di Blok 12, Toa Payoh Lorong 7, yang dihuni oleh Lim, Tan, dan Hoe.

Flat tersebut mengandungi pelbagai barangan penyembahan dan keagamaan, termasuk gambar Jesus Christ, serta berhala Hindu dan Cina, yang mana sebahagiannya dilumuri darah.

Selepas menyedari kesan darah di lantai dapur, ketiga-tiga mereka telah dibawa oleh polis untuk disoal siasat.

Lim, 39 tahun, pada ketika itu merupakan seorang penganggur berusia 39 tahun yang mendakwa dirinya sebagai seorang perantara roh, yang mempunyai kuasa untuk menyembuhkan penyakit.

Dia sering berada dalam keadaan menurun, sering menggunakan suara yang berbeza-beza dan bercakap dalam bahasa yang lain.

Dia juga melakukan pelbagai helah, dan telah meyakinkan ramai pelanggannya untuk tidur bersamanya atas alasan untuk “membersihkan” kejahatan dalam diri mereka, atau dengan mengeksploitasi ketakutan dan rasa tidak selamat mereka demi kepentingannya.

Dilahirkan pada 6 Januari 1942, Lim merupakan anak sulung dalam tiga beradik, dan pernah bersekolah di Sekolah Anglo-Chinese, namun berhenti selepas Menengah Satu.

Dia mula bekerja sebagai pemberi maklumat Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) selama beberapa bulan, dan kemudian berkhidmat dengan syarikat penyiaran radio Rediffusion selama 14 tahun sebagai pendawai elektrik dan pemungut bil.

Dia mempunyai dua anak daripada perkahwinan pertamanya.

Semasa perbicaraan, Lim mendakwa bahawa dia telah belajar daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Uncle Willie, yang mempunyai “kuasa istimewa”.

Lim bertemu Tan pada 1974, apabila dia diperkenalkan kepada Lim untuk mendapatkan “rawatan” oleh rakan-rakannya di sebuah bar tempat dia bekerja.

Lim kemudian memujuk Tan untuk menjadi pelacur bagi menyaranya dari segi kewangan.

Selepas bercerai dengan isteri pertamanya, Lim berkahwin dengan Tan pada 1977, namun terus mengambil wanita simpanan lain silih berganti pada tahun-tahun berikutnya.

Tan berusia 26 tahun semasa perbicaraan dijalankan, dan merupakan anak sulung dalam empat beradik.

Dia pernah bersekolah di beberapa sekolah, seperti Convent of the Holy Infant Jesus (CHIJ) dan Sekolah Menengah Macpherson, serta pernah dihantar ke Pusat Kejuruan Marymount.

Secara umumnya bersifat murung, dia tertarik dengan perhatian yang diberikan oleh Lim dan tetap tinggal bersamanya meskipun sering dilayan dengan buruk dan dikhianati.

Ibu Hoe pula membawanya ke flat Lim pada 1979.

Kakaknya, Lai Ho, telah menerima “rawatan” daripada Lim.

Hoe, yang berusia 25 tahun semasa perbicaraan, bekerja sebagai pekerja kilang di Hewlett Packard semasa dia ditangkap.

Kerana yakin dengan “kuasa” Lim, Hoe berperanan penting dalam membawa kanak-kanak kepada Lim.

Kedua-dua Lim dan Tan pernah menjalani rawatan renjatan elektrik yang dilakukan oleh Lim.

Lim meyakinkan Hoe bahawa suaminya, Loh Ngak Hua, telah mengenakan ilmu hitam ke atasnya.

Loh kemudian terbunuh semasa salah satu sesi renjatan elektrik pada 7 Januari 1980, namun kematiannya diputuskan sebagai kemalangan berdasarkan keterangan Hoe bahawa suaminya terkena renjatan elektrik semasa cuba menghidupkan kipas yang rosak.

Pembunuhan Ng dan Ghazali telah membongkar sebuah kes kompleks yang melibatkan ritual pengorbanan manusia, meminum darah manusia, dan perlakuan seks songsang.

Sepanjang hari perbicaraan, orang ramai berkumpul di luar mahkamah, dan prosiding tersebut dipantau serta dilaporkan secara meluas oleh pihak media.

Glenn Knight bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya, manakala H. E. Cashin, J. B. Jeyaretnam dan Nathan Isaac, merupakan tiga peguam bela yang masing-masing dilantik oleh Mahkamah Tinggi untuk membela Lim, Tan dan Hoe.

Kes ini dibicarakan di hadapan Hakim T. S. Sinnathuray dan Hakim F. A. Chua, serta barisan saksi, termasuk pakar psikiatri yang telah memerhatikan tertuduh serta pelanggan atau ‘pesakit’ Lim yang lain, yang dipanggil ke ruang saksi.

Pada 25 Mei 1983, ketiga-tiga tertuduh dijatuhi hukuman mati.

Walaupun Lim menerima keputusan tersebut, kedua-dua Tan dan Hoe memfailkan rayuan atas alasan penyakit mental.

Tan diwakili oleh Francis Seow, dan Hoe sekali lagi oleh Nathan Isaac.

Pada Ogos 1986, rayuan mereka ditolak oleh Ketua Hakim Negara Wee Chong Jin, Hakim Lai Kew Chai dan Hakim L. P. Thean.

Rayuan lanjut ke Majlis Privi (Privy Council) di London juga tidak berjaya, dan permohonan pengampunan daripada Presiden Wee Kim Wee turut ditolak.

Pada 25 November 1988, Lim, Tan dan Hoe telah menjalani hukuman gantung di Penjara Changi dan mayat mereka dibakar di Krematorium Mount Vernon selepas upacara keagamaan di Gereja Holy Family di Katong.

Kes itu mencetus kebimbangan ibu bapa, pengasuh dan pembantu rumah yang mengendalikan anak-anak kecil kerana bimbang anak yang bermain di bawah blok akan menjadi mangsa diculik dan dipukau oleh golongan penjenayah tidak berperikemanusiaan.

Sementara wartawan yang membuat liputan kes ini pernah berkongsi mereka agak ngeri melihat mata Lim yang bagaikan liar memandang pihak media yang membuat liputan sepanjang kes perbicaraan panjang ini.

Sementara itu, timbul tanda tanya dalam kalangan penjana kandungan media sosial mengenai siapakah penghuni rumah Lim di Toa Payoh dan tidakkah mereka rasa ngeri menghuni flat tersebut?

Ada yang kata, ia pernah didiami seorang keluarga Katolik yang tidak berfikir apa-apa meskipun mengetahui sejarah flat itu sebagai lokasi pembunuhan.

Kemudian, sebuah keluarga India mendiami flat tersebut dan enggan diwawancara penjana kandungan atas sebab privasi. Dalam satu perbualan ringkas di YouTube, seorang lelaki berkata keadaan di situ baik-baik sahaja, seperti di flat lain.

Kisah pembunuhan ngeri ini juga sempat dijadikan bahan filem Medium Rare, yang melibatkan penyertaan warga, sebahagian besarnya barisan pelakon dan kru warga Amerika atau British.

Skripnya ditulis oleh penulis tempatan untuk meneroka “jiwa tiga watak utama” dalam kes jenayah ini.

Walau bagaimanapun, pengarahnya lebih memberi tumpuan kepada elemen seks dan keganasan, sehingga filem tersebut diejek oleh penonton semasa tayangan tengah malamnya.

Tayangan selama 16 hari itu hanya mengutip $130,000, dengan seorang wartawan menyifatkannya sebagai “lebih pelik daripada kisah-kisah seks luar tabii dan amalan okultisme yang dikaitkan dengan kisah Adrian Lim”.

Filem kedua, God or Dog pada 1997, juga mencatatkan prestasi kutipan pecah panggung yang menyedihkan walaupun menerima sambutan kritikal yang lebih positif.

Di televisyen pula, kes ini dipaparkan dalam program kesedaran jenayah, True Files, tetapi ditunda waktu siarannya selepas orang awam memberi maklum balas trelernya dianggap terlalu ngeri.

Kes ini juga dimuatkan dalam buku elektronik, hasil kerjasama akhbar The Straits Times dan Pasukan Polis Singapura, Guilty As Charged: 25 Crimes That Have Shaken Singapore Since 1965.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg