Topik diikuti
Pergi ke BHku52 dikesan lakukan kesalahan trafik di Pusat Pemeriksaan Woodlands, 14 dilarang masuk S’pura pada Jun
52 dikesan lakukan kesalahan trafik di Pusat Pemeriksaan Woodlands, 14 dilarang masuk S’pura pada Jun
52 dikesan lakukan kesalahan trafik di Pusat Pemeriksaan Woodlands, 14 dilarang masuk S’pura pada Jun
Seramai 14 pemandu dilarang memasuki Singapura sepanjang cuti sekolah Jun, selepas ditahan atas kesalahan lalu lintas di Pusat Pemeriksaan Woodlands, sedang pihak berkuasa mempertingkat pemeriksaan terhadap pemandu yang ingkar.
Mereka antara 52 pemandu yang dikesan melakukan kesalahan lalu lintas, memotong barisan dan “tingkah laku jalan raya berbahaya yang lain” sepanjang tempoh itu, menurut satu kenyataan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada 8 Julai.
Cuti sekolah berlangsung dari 30 Mei hingga 28 Jun.
ICA menyatakan bahawa 45 pemandu ditahan di kawasan keluar pusat pemeriksaan itu atas kesalahan seperti melintasi garisan putih berkembar, membelok ke kanan secara tidak sah, berhenti di tempat yang boleh menyebabkan bahaya, menyebabkan halangan atau kesulitan kepada pengguna jalan raya lain, serta memotong barisan.
Daripada 45 pemandu itu, 34 telah diarahkan membuat pusingan U dan menyertai semula barisan, manakala 11 pemandu kenderaan berdaftar asing dilarang memasuki Singapura. Seramai 27 daripada 45 pemandu itu turut dirujuk kepada Polis Trafik (TP) untuk tindakan lanjut.
Di kawasan ketibaan pusat pemeriksaan itu pula, tujuh pemandu kenderaan dikesan melakukan kesalahan memotong barisan dan melintasi garisan putih berkembar.
Daripada jumlah itu, tiga pemandu kenderaan berdaftar asing dilarang daripada memasuki Singapura, manakala empat pemandu dirujuk kepada TP untuk tindakan lanjut.
“Kami memohon kepada pengembara agar terus bersabar, memberi kerjasama, mematuhi undang-undang lalu lintas serta mengikut lorong yang ditetapkan ketika menggunakan pusat pemeriksaan darat demi mewujudkan pengalaman lebih selamat dan menyenangkan untuk semua,” kata ICA.
Sebelum ini, ICA telah menasihati pemandu agar mematuhi peraturan lalu lintas sepanjang Hari Raya Haji, Hari Vesak dan cuti sekolah Jun, sambil mengingatkan bahawa kesesakan lalu lintas dijangka berlaku di pusat pemeriksaan darat sepanjang tempoh itu.
