Jenayah dan Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HSA rampas ubat batuk, preskripsi haram bernilai $21,500

Dec 16, 2025 | 7:36 PM
ubat batok, hsa, rampas, ubat preskripsi haram
Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Divisyen Polis Bedok menemui lebih 31 liter ubat batuk haram dan lebih 5,200 unit ubat preskripsi yang boleh menyebabkan ketagihan serta alat menghasilkan ubat di sebuah unit kediaman di Joo Chiat pada 5 Disember. - Foto HSA

Pihak berkuasa merampas ubat preskripsi yang boleh menyebabkan ketagihan dan ubat batuk yang dibuat secara haram bernilai sekitar $21,500 dalam satu operasi yang dijalankan bersama oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 5 Disember.

Seorang suspek lelaki berusia 55 tahun juga ditangkap dalam operasi tersebut.

HSA, dalam satu kenyataan pada 16 Disember, berkata pihaknya dan Divisyen Polis Bedok telah menjalankan operasi di sebuah unit kediaman di Joo Chiat pada 5 Disember selepas menerima maklumat tentang kes ubat batuk haram dan ubat preskripsi yang boleh menyebabkan ketagihan.

Mereka menemui lebih 31 liter ubat batuk haram dan lebih 5,200 unit ubat preskripsi yang boleh menyebabkan ketagihan di unit tersebut.

Selain ubat-ubatan itu, mereka turut merampas alat bagi menghasilkan ubat.

HSA berkata suspek lelaki berusia 55 tahun yang ditangkap itu mengaku telah membuat ubat batuk tersebut secara haram.

“Pembuatan secara haram itu berlaku dalam keadaan yang tidak bersih, tanpa pelesenan yang betul, kawalan mutu, atau pengawasan keselamatan.

“Ini menimbulkan risiko kesihatan serius kepada individu yang menggunakan produk sedemikian, kerana ia mungkin mengandungi dos yang salah, bahan cemar berbahaya, atau gabungan bahan berbahaya yang boleh menyebabkan reaksi buruk yang teruk atau kematian.

“Siasatan terhadap penjual berkenaan sedang dijalankan,” kata HSA dalam kenyataannya.

Operasi terkini yang dijalankan itu menyusuli satu kes yang berlaku pada November, di mana HSA merampas lebih 106 liter ubat batuk mengandungi bahan pelega sakit dan batuk, kodeina, bernilai sekitar $29,000.

Ubat batuk itu telah disembunyikan dalam botol peluntur yang bertujuan diedarkan di Singapura.

Seorang pengimport lelaki rakyat Singapura berusia 43 tahun sedang disiasat kerana mengatur pengedaran haram ubat berkenaan bagi keuntungan kewangan.

“HSA mengambil pendirian serius terhadap kegiatan haram yang melibatkan produk kesihatan.

“Sesiapa yang ditangkap mengimport, membuat dan/atau membekalkan produk kesihatan yang haram, jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan/atau dikenakan denda sehingga $50,000,” kata HSA.

Mereka yang ingin melaporkan sebarang kegiatan haram melibatkan ubat batuk dan ubat-ubatan haram boleh menghubungi talian jabatan penguatkuasaan HSA di 6866-3485 dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang, dari Isnin hingga Jumaat.

Mereka juga boleh menghantar emel kepada hsa_is@hsa.gov.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg