Media sosial kekal jadi pilihan utama dekati mangsa
Media sosial kekal menjadi pilihan utama penipu untuk mendekati mangsa.
Namun, jumlah kes penipuan di media sosial merosot ketara sebanyak 30.3 peratus pada 2025.
Demikian menurut Laporan Penipuan dan Jenayah Siber 2025 polis.
Laporan itu mendedahkan, 84.1 peratus kes penipuan berlaku melalui wadah dalam talian, termasuk Facebook, WhatsApp, TikTok, Instagram, Telegram, Carousell, Shopee, dan lain-lain.
Secara keseluruhan, kadar penipuan di platform demikian telah merosot.
Contohnya, Meta terlibat dalam 35.4 peratus daripada semua kes penipuan, dengan Facebook, salah satu platform di bawah Meta, merangkumi 18.0 peratus kes tersebut.
Kes di Facebook, termasuk wadah berkaitan, merosot 39.6 peratus, manakala Instagram mencatat penurunan 44.9 peratus.
Namun, kes penipuan melalui TikTok pula meningkat 37.8 peratus pada 2025.
Seterusnya, polis melaporkan penurunan sebanyak 38.2 peratus bagi kes penipuan di platform pesanan.
Khususnya, kadar kes penipuan melalui Telegram dan WhatsApp masing-masing merosot sebanyak 44.7 peratus dan 32.9 peratus.
Kes penipuan melalui panggilan pula turun 18.7 peratus.
Penipuan melalui platform membeli-belah dalam talian juga merosot ketara.
Kes di Carousell – platform beli dan jual barangan dan perkhidmatan di Singapura – merosot sebanyak 24.6 peratus, manakala kes di Facebook Marketplace merosot sebanyak 23.5 peratus.
Shopee pula mencatat penurunan paling besar, dengan kemerosotan sebanyak 60.4 peratus.

