PETALING JAYA: Polis berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dilarikan penjenayah ketika berada di dalam kereta keluarganya yang berhenti untuk membeli sarapan di Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor, pada 17 Disember.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Penolong Pesuruhjaya Shamsudin Mamat, berkata polis menerima maklumat tentang sebuah kereta dilarikan di Jalan PJS 6/4, Kampung Lindungan pada 7.24 pagi.
Menurutnya, pengadu, yang juga suami isteri, meletakkan kereta di tepi jalan dan meninggalkan anak perempuan berusia lima tahun di dalam kenderaan untuk membeli sarapan.
“Pengadu menyedari kenderaan miliknya dilarikan oleh suspek dan menghubungi pihak polis untuk bantuan.
“Bertindak atas maklumat itu, polis melancarkan Op Tutup dan hasil daripada bantuan orang awam, kenderaan itu ditemui bersama kanak-kanak di kawasan Apartment Mentari Court, Petaling Jaya, kira-kira tiga jam selepas operasi dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada 17 Disember, lapor Harian Metro.
Encik Shamsudin berkata kanak-kanak itu diserahkan kepada pasangan berkenaan dan tindakan mengesan penjenayah terbabit sedang dijalankan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan isu ini bagi mengelakkan kekeliruan serta tidak menjejaskan siasatan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata bagi membantu pihak polis, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian agar tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, pada Julai 2024, Malaysia pernah digemparkan dengan kejadian culik membabitkan seorang kanak-kanak perempuan enam tahun di Johor Bahru.
Kanak-kanak itu, Albertine Leo Jia Hui, ditemui selamat di sebuah hotel murah dekat Batang Kali, Selangor, bersama seorang lelaki berusia 31 tahun.
Penganggur yang menculik Leo kemudian didakwa di mahkamah atas 15 tuduhan berkaitan kes penculikan kanak-kanak perempuan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg