Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrue Fitness dan True Yoga akan ditutup; pelanggan rugi lebih $63,000
True Fitness dan True Yoga akan ditutup; pelanggan rugi lebih $63,000
Anggota True Fitness dan True Yoga melaporkan kerugian lebih $63,000 berikutan penutupan mengejut rantaian pusat kecergasan itu di Singapura.
Dalam satu catatan Facebook pada petang 11 September, Presiden Persatuan Pengguna Singapura (Case), Encik Melvin Yong, berkata pihaknya telah menerima 28 aduan mengenai penutupan tersebut, dengan anggaran kerugian melebihi $63,000 bagi keahlian, pakej dan perkhidmatan yang belum digunakan.
“Case telah menghubungi pembubar sementara dan akan terus mendapatkan penjelasan mengenai aturan untuk pengguna yang terjejas, termasuk maklumat bagi membolehkan pengguna memfailkan tuntutan mereka,” katanya.
Kontafarma China Holdings, syarikat induk True Fitness dan True Yoga, pada 10 September berkata rantaian kecergasan itu terpaksa ditutup disebabkan oleh persaingan pasaran dan tekanan kos, lapor The Straits Times.
Dalam satu pengumuman pasaran, Kontafarma China Holdings memaklumkan bahawa para pengarah True Yoga dan True Fitness telah meluluskan resolusi yang menyatakan mereka tidak lagi dapat meneruskan perniagaan ekoran liabiliti yang ditanggung.
Perniagaan True Fitness dan True Yoga bernaung di bawah True Singapore Group, yang turut mengendalikan pusat kecergasan dan yoga TFX serta Yoga Edition di sini.
Kesemua cawangan di bawah jenama ini dijangka ditutup sebagai sebahagian daripada proses penggulungan itu, kata Kontafarma.
Kumpulan tersebut telah mengalami tekanan kewangan yang semakin meruncing sehingga mencatatkan kerugian besar dan liabiliti bersih, walaupun terus menjana pendapatan yang ketara.
Pada 2025, ia merekodkan pendapatan sekitar HK$181.2 juta ($29.3 juta) dan kerugian kira-kira HK$34.3 juta.
Setakat 31 Disember tahun tersebut, True Singapore Group mempunyai jumlah aset sekitar HK$149.7 juta, jumlah liabiliti kira-kira HK$555.5 juta dan liabiliti bersih kira-kira HK$405.8 juta.
Akaun pengurusan kumpulan yang belum diaudit menunjukkan bahawa ia merekodkan pendapatan sekitar HK$118.4 juta buat lapan bulan yang berakhir pada 31 Ogos 2026, dan kerugian kira-kira HK$19.1 juta dalam tempoh yang sama.
Setakat 31 Ogos, kumpulan itu mempunyai aset sekitar HK$204.5 juta, jumlah liabiliti kira-kira HK$633.8 juta dan liabiliti bersih kira-kira HK$429.3 juta.
Setakat akhir Ogos, ia berhutang kepada syarikat induknya, kumpulan Kontafarma, sekitar HK$309.7 juta.
Pengamal insolvensi Goh Wee Teck dan Lin Yueh Hung daripada RSM SG Corporate Advisory telah dilantik sebagai pembubar sementara.
Mesyuarat agung luar biasa untuk kedua-dua True Fitness dan True Yoga akan diadakan pada 7 Oktober yang bakal menyaksikan penggulungan sukarela pemiutang akan dicadangkan, diikuti dengan mesyuarat bersama pemiutang
