Topik diikuti
Pergi ke BHkuJurupandu sukarelawan TWM bantu pengunjung fahami, selami bahan pameran
Sangkal tanggapan tahu segala tentang bahan muzium, perlu lalui latihan intensif enam bulan
Persediaan yang mendalam diperlukan, sama ada demi melestarikan warisan dan budaya Melayu menerusi paparan di galeri muzium, mahupun sebagai jurubahasa isyarat semasa siaran langsung Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP). Berita Harian (BH) mengupas proses di sebalik persiapan bagi menjadi jurupandu sukarelawan dan jurubahasa isyarat.
Ramai mungkin beranggapan bahawa ‘docent’ atau jurupandu sukarelawan tahu segalanya tentang setiap pameran di muzium dan mampu menghuraikan setiap artifak secara spontan tanpa sebarang persediaan.
Namun, hakikatnya jauh berbeza daripada tanggapan itu, demikian kongsi beberapa jurupandu sukarelawan di Taman Warisan Melayu (TWM) ketika dihubungi Berita Harian (BH).
‘Docent’ merujuk kepada jurupandu terlatih yang membimbing lawatan sambil berkongsi penerangan serta kisah di sebalik artifak, pameran dan sejarah di muzium.
Ia berbeza dengan pemandu pelancong yang sering kali terkait dengan profesional berbayar yang menguruskan logistik dan perjalanan pelancongan di pelbagai tempat.
“Sesetengah orang mungkin berfikir bahawa kami tahu semuanya. Hakikatnya tidak. Kami bukannya kurator.
“Ada dalam kalangan kami yang mungkin lebih berpengetahuan berbanding yang lain, namun yang pasti, menjadi seorang ‘docent’ ialah satu proses pembelajaran yang berterusan,” kata Cik Zuraidah Daud, yang menjadi jurupandu sukarelawan TWM sejak 2018.
Tarikan menjadi seorang jurupandu sukarelawan berputik daripada minat untuk melakukan kerja sukarela, kongsi Cik Zuraidah, 51 tahun, yang bertugas sebagai pendidik dewasa bebas.
Beliau juga melihat peranan itu lebih daripada sekadar memandu pelawat, malah ia satu amanah sebagai seorang yang berbangsa Melayu untuk berkongsi tentang warisan Melayu.
“Saya merasakan adalah terbaik untuk orang Melayu sendiri berkongsi tentang warisan Melayu, memandangkan saya menyelami budaya tersebut dalam kehidupan harian, yang dapat memberi nilai tambah dengan berkongsi kisah peribadi semasa mengendalikan lawatan,” jelas Cik Zuraidah.
Menerangkan lebih lanjut mengenai proses menjadi jurupandu sukarelawan di Singapura, Cik Fistri Abdul Rahim, yang telah berkecimpung dalam bidang itu selama sedekad, berkata saringan pertama melibatkan temu ramah dengan dua ‘docent’ senior.
Jika lulus, mereka akan melalui latihan dan bengkel untuk sukarelawan selama enam bulan, tambah Cik Fistri, seorang pengurus operasi dan masyarakat.
“Setelah latihan, saya perlu menjalani ujian terakhir, iaitu memandu teman sukarelawan dengan skrip yang telah diluluskan oleh sukarelawan senior dan kurator.
“Apabila lulus barulah saya diberikan peluang untuk memandu masyarakat am,” kongsi Cik Fistri, 51 tahun.
Sedekad bergelar ‘docent’ telah memberi Cik Fistri peluang menghidupkan setiap artifak dan pameran, sekali gus memberikan makna serta konteks lebih mendalam kepada setiap paparan, termasuk bagi galeri baharu TWM.
Kemahiran Cik Fistri dan Cik Zuraidah untuk memandu pelawat mengelilingi galeri TWM dalam bahasa Inggeris dan Melayu membolehkan mereka mendekati pelawat sambil memupuk suasana santai di mana mereka boleh saling berkongsi ilmu.
“Baru-baru ini, apabila saya menyedari bahawa kumpulan pelawat yang saya pandu boleh bertutur dalam bahasa Indonesia dan Jawa, saya terus menukar bahasa saya.
“Walaupun penguasaan bahasa Jawa saya masih di peringkat asas, mereka berasa sangat terkejut dan gembira dengan usaha tersebut.
“Sesi lawatan itu terus berubah sepenuhnya menjadikan interaksi yang jauh lebih mesra dan dekat di hati,” imbau Cik Fistri.
Selain penguasaan bahasa, jurupandu sukarelawan juga mempunyai cara mempersiapkan diri yang berbeza.
Ada yang mengenakan busana istimewa dan ada yang membayangkan laluan lawatan dalam minda.
Tetapi yang penting, mereka perlu menghafal skrip dan mematuhi masa yang ditetapkan, luah kededua Cik Fistri dan Cik Zuraidah.
“Saya selalunya akan terlajak (masa) kerana sesi interaksi dengan pelawat memerlukan masa, tetapi saya pastikan ia tidak melebihi dua jam,” jelas Cik Zuraidah.
Walaupun tugas sebagai ‘docent’ mempunyai cabaran tersendiri, kededua mereka akur peranan itu sesuatu yang amat bermakna dan penuh dengan keistimewaan tersendiri.
Mereka melihat peranan itu sebagai peluang menyumbang kembali kepada masyarakat, sambil memastikan warisan Melayu terus dikenali, difahami dan dihargai oleh generasi hari ini dan akan datang.
Memandang ke hadapan, mereka berharap dapat meningkatkan diri dan menimba ilmu daripada pakar dan pengamal budaya dan warisan.
Jika masa dan kesihatan mengizinkan, Cik Fistri juga ingin mengambil kursus latihan formal untuk menjadi pemandu pelancong dan diberikan lesen pemandu pelancong oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB).
“
“Sesetengah orang mungkin berfikir bahawa kami tahu semuanya. Hakikatnya tidak. Kami bukannya kurator. Ada dalam kalangan kami yang mungkin lebih berpengetahuan berbanding yang lain, namun yang pasti, menjadi seorang ‘docent’ ialah satu proses pembelajaran yang berterusan.”