Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kadar pengangguran keseluruhan di S’pura merosot pada Sep

Oct 29, 2024 | 12:46 PM
Menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM), kadar pemberhentian pekerja menurun atau kekal stabil merentas sektor berbeza dengan penyusunan semula perniagaan kekal sebagai sebab utama.  
Menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM), kadar pemberhentian pekerja menurun atau kekal stabil merentas sektor berbeza dengan penyusunan semula perniagaan kekal sebagai sebab utama.   - Foto ST

Kadar pengangguran keseluruhan di Singapura merosot kepada 1.8 peratus pada September, daripada 1.9 peratus pada Julai dan Ogos.

Bagaimanapun, kadar pengangguran untuk penduduk dan rakyat kekal tidak berubah pada 2.6 peratus dan 2.7 peratus masing-masing.

Menurut data pasaran tenaga kerja awal yang dikeluarkan pada 29 Oktober, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata kadar pemberhentian pekerja menurun atau kekal stabil merentas sektor berbeza dengan penyusunan semula perniagaan kekal sebagai sebab utama.

Sementara itu, bilangan warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) yang mempunyai pekerjaan meningkat pada suku ketiga 2024, apabila pertumbuhan pekerjaan meningkat lebih daripada dua kali ganda, lapor The Straits Times (ST).

Jumlah pertumbuhan tenaga kerja Singapura bagi tempoh Julai hingga September melonjak kepada 24,100 daripada 11,300 pada suku kedua.

MOM berkata peningkatan pertumbuhan datang daripada kedua-dua golongan penduduk – rakyat Singapura dan PR – serta bukan penduduk.

Jumlah pemberhentian pekerja pada suku ketiga turun 11.3 peratus kepada 2,900 daripada 3,270 pada suku kedua.

MOM mendapati bahawa kadar pengangguran secara keseluruhan kekal rendah pada September.

Angka itu berada dalam julat seperti yang tercatat dalam tahun-tahun bukan kemelesetan dari 2015 hingga 2019, kata MOM.

“Walaupun terdapat penurunan dalam jangkaan pengambilan pekerja dan gaji dalam kalangan syarikat bagi suku keempat 2024 – mencerminkan ketidaktentuan yang berterusan dalam sektor berorientasikan eksport – kami menjangkakan pekerjaan akan terus berkembang pada suku berikutnya dan pasaran tenaga kerja kekal ketat,” katanya.

“Prospek ini disokong oleh semakan menaik terhadap ramalan pertumbuhan GDP (Hasil Dalam Negeri Kasar) dan jangkaan pengambilan pekerja akhir tahun untuk tempoh perayaan.”

Data awal menunjukkan bahawa peningkatan dalam sektor pertumbuhan pekerja bagi rakyat Singapura dan PR didorong oleh bekalan pekerjaan bermutu yang stabil dan prospek pekerjaan yang menggalakkan.

Sektor yang mengalami pertumbuhan termasuk sektor maklumat dan komunikasi, perkhidmatan profesional, serta perkhidmatan kesihatan dan sosial.

“Walaupun terdapat sedikit penurunan dalam pekerjaan penduduk di dalam sektor perkhidmatan makanan dan minuman serta perdagangan runcit, kami menjangka pekerjaan penduduk dalam sektor ini akan meningkat pada suku akhir tahun (2024) kerana perniagaan lazimnya meningkatkan pengambilan pekerja sebagai persediaan untuk musim perayaan,” kata MOM.

Ia berkata bahawa pertumbuhan pekerjaan bukan penduduk datang daripada pemegang permit kerja yang bekerja dalam peranan bukan PMET (profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen) seperti dalam sektor pembinaan, perkilangan, serta perkhidmatan pentadbiran dan sokongan.

“Secara amnya, bilangan pekerja daripada kalangan penduduk tidak mencukupi untuk peranan sedemikian, dan perniagaan perlu membawa masuk pemegang permit kerja untuk memenuhi kekurangan tenaga kerja,” kata kementerian itu, sambil menambah bahawa kadar pekerjaan dalam kalangan pemegang pas yang berkemahiran lebih tinggi adalah stabil dalam tempoh yang sama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg