Mulai 1 Ogos, pemilik kenderaan komersial tertentu akan menikmati kadar bayaran letak kereta musiman yang lebih rendah di kemudahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Perubahan ini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 pemegang pas sedia ada, termasuk pemilik perniagaan kecil dan sederhana, serta pemohon baharu, kata Menteri Pembangunan Negara, Chee Hong Tat, melalui catatan Facebook beliau pada 8 Jun.

Kadar bulanan bagi kenderaan komersial dengan berat tanpa muatan antara 1,801kg hingga 2,000kg kini akan diselaraskan agar setara dengan kereta penumpang.

Di tempat letak kereta HDB, penduduk akan membayar antara $80 hingga $110 sebulan bagi kenderaan pertama mereka, satu penurunan ketara daripada $185.

Sementara itu, bagi tempat letak kereta URA, kadar akan disemak kepada $90 sebulan bagi semua kenderaan, berbanding kadar lama antara $120 hingga $160.

Kadar baharu ini terpakai bagi pemilik kenderaan yang membeli pas musiman pada Julai 2026, untuk penggunaan bermula 1 Ogos.

Pihak HDB dan URA akan memaklumkan para pemegang pas sedia ada mengenai pelarasan kadar ini melalui surat rasmi, tambah Encik Chee.