Topik diikuti
Pergi ke BHkuKajian $150j jejaki 5,000 belia S’pura untuk fahami perkembangan remaja
Kajian $150j jejaki 5,000 belia S’pura untuk fahami perkembangan remaja
Kajian baru antaranya meneliti kesan tidur, senaman, media digital dan ruang bandar terhadap perkembangan otak remaja
Kajian $150j jejaki 5,000 belia S’pura untuk fahami perkembangan remaja
Program penyelidikan nasional baru bernilai $150 juta akan menjejaki 5,000 belia di Singapura selama lima tahun bagi memahami bagaimana penggunaan media digital dan ruang bandar mempengaruhi perkembangan remaja.
Kajian jangka panjang yang diketuai oleh Institut Pembangunan dan Potensi Manusia A*STAR (IHDP) ini melibatkan individu berusia 10 hingga 24 tahun.
Ia dibiayai Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF) Singapura dan bermula pada April 2026 ketika kebimbangan terhadap kesihatan mental, gaya hidup dan tabiat digital belia semakin meningkat.
Pada 13 Julai, A*STAR mengumumkan ia akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan (MOE) dan lebih 1,000 penyelidik daripada pelbagai disiplin serta rakan kerjasama lain.
Dr Rhea Tan, salah seorang saintis A*Star, berkata tempoh remaja merupakan fasa kritikal kedua dalam perkembangan kanak-kanak selepas zaman awal kanak-kanak yang telah banyak dikaji di Singapura.
Antaranya ialah Growing Up in Singapore Towards Healthy Outcomes (Gusto), kajian kohort sebelum kelahiran terbesar di Singapura yang menjejaki lebih 1,200 ibu dan anak sejak 2008 bagi memahami bagaimana keadaan semasa kehamilan dan pada awal usia kanak-kanak mempengaruhi kesihatan serta perkembangan mereka.
Menurut Dr Tan, kajian penjejakan jangka panjang mengenai remaja masih terhad, terutama dalam konteks Asia.
“Kebanyakan pemahaman kita datang daripada kajian yang hanya memaparkan keadaan pada satu masa, tetapi tidak menjelaskan bagaimana golongan muda berkembang,” katanya.
Beliau berkata penjejakan dari zaman kanak-kanak hingga dewasa membantu penyelidik memahami bagaimana daya tahan terbentuk, faktor risiko berkembang serta masa terbaik untuk mengambil tindakan.
Justeru, langkah ini akan membina dan menghubungkan beberapa kohort kelahiran dan belia di Singapura, termasuk Gusto dan iAdoRe – satu kajian yang melibatkan kira-kira 1,200 pelajar sekolah menengah bagi meningkatkan pemahaman tentang kesihatan kanak-kanak semasa remaja.
Dr Tan berkata usaha ini mengurangkan kebergantungan yang berlebihan pada data negara Barat yang mungkin tidak memaparkan sepenuhnya konteks sosial dan budaya Asia serta Singapura.
Profesor Johan Eriksson, pengarah eksekutif A*Star (IHDP), berkata hasil kajian daripada bilangan penduduk berbilang etnik Singapura bakal memberi manfaat di peringkat dunia kerana tiga kumpulan etnik utamanya mewakili sehingga 50 peratus penduduk dunia.
Beliau berkata inisiatif baru ini melengkapkan kajian DREAMS oleh Institut Pendidikan Nasional (NIE), yang memberi tumpuan kepada hasil perkembangan berkaitan persekolahan, dengan mengkaji aspek perkembangan yang lebih luas.
Penyelidik akan mengkaji bagaimana tidur, pemakanan, senaman, tabiat penggunaan skrin, reka bentuk bandar, kawasan hijau dan iklim mempengaruhi perkembangan otak serta kesejahteraan fizikal dan psikologi remaja.
Dr Desiree Phua, saintis kanan A*Star, berkata remaja kini membesar dalam persekitaran gabungan dunia dalam talian dan luar talian, apabila sempadan antara kedua-duanya semakin kabur.
Menurutnya, apabila media sosial menjadi ruang penting untuk membina hubungan dan identiti diri, kajian lanjut diperlukan bagi memahami bukan sahaja penggunaan media digital, malah pengalaman remaja dalam menyesuaikan diri dengan keadaan baru itu.
