Kanak-kanak lelaki dan perempuan di Singapura mungkin mengalami simptom kemurungan secara berbeza, dengan corak perkembangan otak pada zaman awal kanak-kanak dikaitkan dengan tanda-tanda kemurungan semasa remaja, menurut satu kajian baru.

Penemuan ini menunjukkan penyelidik mungkin perlu meneliti kerentanan kesihatan mental lebih awal pada zaman kanak-kanak, dan bukan hanya memberi tumpuan kepada tahun-tahun remaja apabila simptom kemurungan lebih kerap diperhatikan.

Ini boleh membantu menyediakan sokongan lebih awal dan berkesan kepada kanak-kanak.

Kajian itu mendapati bahagian otak yang berbeza dikaitkan dengan jenis simptom kemurungan yang berbeza dalam kalangan lelaki dan perempuan.

Dalam kalangan perempuan, perubahan pada kawasan otak yang terlibat dalam pengendalian emosi dikaitkan dengan simptom seperti kemurungan perasaan dan harga diri yang rendah.

Dalam kalangan lelaki pula, perubahan pada kawasan otak lain dikaitkan dengan simptom termasuk keletihan dan perasaan tidak berdaya.

Penemuan daripada kajian Laluan Perkembangan Saraf Khusus Mengikut Jantina kepada Simptom Kemurungan ini berlaku ketika kebimbangan terhadap kesihatan mental golongan muda di Singapura semakin meningkat.

Satu kajian berasingan pada Mei lalu mendapati gangguan mental merupakan punca utama kecacatan dan kematian dalam kalangan kanak-kanak berusia 10 hingga 14 tahun di Singapura.

Kesan tekanan mental terhadap kesihatan penduduk negara ini juga didapati tertinggi di Asean.

Pada 2023, kajian Epidemiologi dan Daya Tahan Belia (Youth Epidemiology and Resilience) oleh Universiti Nasional Singapura (NUS) mendapati kira-kira seorang daripada tiga belia berusia 10 hingga 18 tahun di Singapura melaporkan simptom seperti kemurungan, kebimbangan dan kesunyian.

Kajian terbaru itu menjejaki perkembangan dan hubungan antara bahagian otak dari semasa ke semasa.

Ia mendapati bahawa kanak-kanak perempuan menunjukkan kadar perubahan perkembangan otak yang lebih cepat berbanding kanak-kanak lelaki antara usia 4.5 hingga enam tahun.

Penyelidik turut meneliti hubungan antara corak perkembangan otak pada zaman kanak-kanak berkaitan dengan simptom kemurungan yang dilaporkan pada usia 13 tahun.

Mereka mendapati kanak-kanak perempuan adalah 2.5 kali lebih berkemungkinan berbanding kanak-kanak lelaki untuk melaporkan simptom kemurungan pada usia tersebut.

Kajian yang diketuai Institut Pembangunan dan Potensi Manusia A*Star (IHDP) itu diterbitkan dalam jurnal Molecular Psychiatry pada April lalu.

Ia melibatkan penyelidik daripada Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH), Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), Sekolah Perubatan Yong Loo Lin Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti McGill.

Pasukan itu menggunakan data daripada kohort kajian Growing Up in Singapore Towards Healthy Outcomes (Gusto), satu kajian jangka panjang yang menjejaki lebih 1,200 ibu dan anak dari tempoh kehamilan hingga zaman kanak-kanak.

Penyelidik meneliti sebanyak 917 imbasan otak daripada 549 kanak-kanak ketika mereka berusia 4.5 tahun, enam tahun dan 7.5 tahun.

Dalam satu kenyataan pada 3 Jun, A*Star, KKH dan NUS menegaskan bahawa penemuan tersebut tidak bermaksud kemurungan boleh diramalkan melalui satu imbasan otak sahaja atau semua kanak-kanak mengikuti laluan perkembangan sama.

Sebaliknya, kajian itu menunjukkan perlunya lebih banyak penyelidikan tentang bagaimana risiko kemurungan berkembang secara berbeza mengikut jantina.