Topik diikuti
Pergi ke BHkuKajian: Laluan RTS bakal dorong rakyat S’pura belanja lebih $1b di JB setahun
Kajian: Laluan RTS bakal dorong rakyat S’pura belanja lebih $1b di JB setahun
Angka itu hampir 40 peratus lebih tinggi berbanding peningkatan perbelanjaan sebanyak $756 juta oleh pelawat dari JB di Singapura.
Kajian: Laluan RTS bakal dorong rakyat S’pura belanja lebih $1b di JB setahun
Apabila Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura memulakan perkhidmatan penumpang pada Januari 2027, rakyat Singapura dianggarkan bakal berbelanja $1.05 bilion lebih banyak di seberang Tambak.
Angka itu hampir 40 peratus lebih tinggi berbanding peningkatan perbelanjaan sebanyak $756 juta oleh pelawat dari JB di Singapura.
Unjuran tersebut diperoleh daripada satu kajian bersama yang dikeluarkan pada 16 Julai oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Persatuan Restoran Singapura (RAS) dan Persatuan Peruncit Singapura (SRA).
Ia meneliti bagaimana Laluan RTS mampu mencorak semula perbelanjaan pengguna, aliran pelancongan serta daya saing perniagaan dalam sektor peruncitan serta makanan dan minuman (F&B) di Singapura.
Kajian itu mengunjurkan peningkatan tahunan sebanyak 51 peratus bagi pengguna Singapura yang ke JB sebaik sahaja perkhidmatan kereta api ulang-alik itu dibuka.
Barangan runcit, farmasi, tempat makan dan kecantikan kini menduduki senarai teratas kategori perbelanjaan rakyat Singapura.
Di kalangan responden JB, kajian mendapati 34 peratus menyatakan hasrat mereka untuk melawat Singapura sebaik sahaja Laluan RTS dibuka, dengan lawatan tahunan oleh pengguna pengangkutan awam diunjurkan meningkat sebanyak 57 peratus secara purata.
Pelawat yang sebelum ini memandu ke Singapura berkata bahawa mereka akan beralih kepada Laluan RTS, dengan kecenderungan untuk bermalam dan berbelanja untuk hiburan.
Kini, pilihan pengangkutan awam antara kedua-dua bandar adalah kereta api KTM Shuttle Tebrau atau bas dan teksi rentas sempadan.
Laluan RTS bertujuan untuk menawarkan pengangkutan alternatif yang lebih pantas dan kurang waktu menunggu berbanding perkhidmatan KTM tersebut.
Namun, perniagaan di seluruh ekosistem peruncitan, F&B serta ekosistem perniagaan Singapura yang lebih luas menyatakan kebimbangan mereka bahawa Laluan RTS akan memberi saingan yang lebih sengit dari JB.
Terutamanya dalam aspek harga sensitif seperti barangan runcit, farmaseutikal dan perkhidmatan kecantikan, di mana harga rentas sempadan yang lebih rendah sememangnya telah mencorak perbelanjaan pengguna.
Selain daripada faktor harga, pihak perniagaan berkata bahawa mereka boleh membezakan diri melalui kualiti perkhidmatan, pengalaman pelanggan dan tawaran yang unik.
Namun, mereka menambah bahawa tekanan tenaga kerja, pematuhan dan kos yang berterusan sebagai penghalang untuk berinovasi dan berkembang.
Syarikat kecil dan sederhana (SME) terutama sekali bimbang tentang keupayaan untuk menyesuaikan diri sepantas pengusaha yang lebih besar, dan memohon lebih banyak sokongan bagi memperkukuh daya saing serta merebut peluang baharu daripada peningkatan aliran rentas sempadan tersebut.
Namun, unjuran $1 bilion yang bakal dibelanjakan oleh rakyat Singapura di JB hanya sebahagian kecil daripada sektor peruncitan dan F&B Singapura, yang telah menyumbang sekitar $16.6 bilion kepada ekonomi pada 2025.
SBF, RAS dan SRA menyatakan bahawa pihak industri dan pemerintah boleh memberi tumpuan terlebih dahulu kepada usaha merangsang perbelanjaan tempatan dan pelancong.
Ini di samping membantu perniagaan runcit serta F&B menyesuaikan diri dan merebut peluang baharu, iaitu dengan menangani tekanan kos struktur serta menyokong model operasi dan perniagaan baharu.
Antara cadangan yang dikemukakan termasuk meluaskan kelayakan dan jumlah skim baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) sedia ada bagi menyokong perniagaan yang lebih terdedah kepada perbelanjaan luar negara, seperti farmasi, kedai serbaneka dan premis F&B.
Selain itu, ia juga mencadangkan membangunkan lebih banyak acara waktu malam seperti perlumbaan malam Grand Prix Singapura dan Festival Malam Singapura, serta memberikan fleksibiliti yang lebih besar dalam dasar tenaga kerja asing.
