Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian Penggunaan Media Semasa GE2025: Radio, akhbar, TV dianggap 3 sumber paling dipercayai

Laman web media arus perdana paling kerap diguna semasa pilihan raya
Sep 2, 2025 | 5:00 PM
Kajian Penggunaan Media Semasa GE2025, IPS, radio, akhbar,
Hasil Kajian Penggunaan Media Semasa GE2025 menunjukkan stesen radio, akhbar dan saluran televisyen tempatan Singapura merupakan tiga sumber maklumat yang paling dipercayai semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025). - Foto fail

Stesen radio, akhbar dan saluran televisyen tempatan Singapura merupakan tiga sumber maklumat yang paling dipercayai semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Laman web dalam talian oleh media arus perdana Singapura serta stesen televisyen tempatan juga merupakan wadah media yang paling kerap digunakan semasa GE2025, yang turut menyaksikan peningkatan pengguna berbanding GE2020.

Demikian sebahagian hasil Kajian Penggunaan Media Semasa GE2025 yang dikeluarkan oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) dan Jabatan Komunikasi dan Media Baru di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2 September.

“Jika kita melihat media yang digunakan mengikut umur, format digital media massa Singapura adalah yang paling kerap digunakan oleh semua peringkat umur.

“Ini benar-benar menarik bagi kami kerana pada GE2020, media yang paling kerap digunakan oleh mereka yang berumur 21 hingga 34 tahun adalah laman rangkaian sosial.

“Tetapi dalam pilihan raya umum ini, laman web, aplikasi atau podcast oleh media massa Singapura adalah nombor satu,” kata Timbalan Ketua, Jabatan Komunikasi dan Media Baru NUS, Profesor Madya Dr Carol Soon.

Kajian itu juga menunjukkan televisyen adalah media kedua paling kerap digunakan oleh pengundi dewasa berumur 35 tahun dan ke atas, manakala TikTok adalah media kedua paling kerap digunakan oleh pengundi berusia 21 hingga 34 tahun.

Akhbar Singapura seperti, The Straits Times, Berita Harian, Lianhe Zaobao dan Tamil Murasu, serta format digital mereka merupakan media paling dipercayai – pilihan teratas dalam kalangan mereka yang berumur antara 21 dengan 59 tahun.

Mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas pula paling mempercayai komunikasi peribadi melalui laman rangkaian sosial atau penghantaran mesej daripada rakan sekerja.

“Apa yang menarik bagi kami ialah bagi pengundi berumur 60 tahun dan ke atas, saluran komunikasi mereka yang paling dipercayai ialah komunikasi peribadi, khususnya mereka dengan rakan sekerja mereka.

“Jadi kami kembali dan melihat data, dan kami mendapati sebahagian besar responden daripada kumpulan umur ini adalah mereka yang masih bekerja kerana mereka berada dalam umur pekerjaan dan umur pekerjaan semula,” kata Dr Soon.

Kajian itu turut menunjukkan mereka yang mengundi Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan parti pembangkang menggunakan media massa Singapura lebih kerap berbanding media bukan massa.

Media bukan massa merujuk kepada platform digital interaktif seperti media sosial, podcast dan forum dalam talian yang dikendalikan oleh wadah media alternatif dan bukan arus perdana seperti, Rice Media, Mothership, Yah Lah BUT, The Daily Ketchup, Reddit dan HardwareZone.

Menurut kajian, pengundi yang setia, iaitu mereka yang mengundi parti yang sama, lebih banyak menggunakan media massa.

Namun, pengundi yang beralih, iaitu mereka yang mengundi parti berbeza berbanding pilihan raya umum sebelum ini, menggunakan kedua-dua jenis media dengan lebih seimbang.

“Format digital media massa Singapura muncul sebagai pemain utama pada GE2025 sebagai ‘serba boleh’.

“Media massa Singapura telah menggunakan pakai pelbagai format untuk menjangkau audiens dan pengundi, mengejar media bukan massa dan kajian menunjukkan transformasi digital dan inovasi membawa hasil,” kata Dr Soon.

Dr Soon menambah podcast telah terbukti sebagai ‘New Kid on the Block’ atau pendatang baru tetapi berkata bahawa tidak semua format video adalah sama.

Dalam menyampaikan maklumat melalui podcast, beliau menekankan peri pentingnya bagi platform untuk mengubah semula kandungan kepada video lebih ringkas memandangkan tidak semua penonton mahu menonton video yang panjang.

Kajian itu juga menunjukkan YouTube dan TikTok menyerlah sebagai dua media teratas yang paling kerap digunakan oleh pengundi berusia 21 hingga 34 tahun.

Pada masa yang sama, YouTube dan laman rangkaian sosial merupakan dua media teratas yang paling kerap digunakan oleh pengundi berusia 35 hingga 59 tahun semasa GE2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg