Topik diikuti
Pergi ke BHkuKallang tawar pelbagai tarikan sempena Hari Kebangsaan 2026
Kallang tawar pelbagai tarikan sempena Hari Kebangsaan 2026
Kallang tawar pelbagai tarikan sempena Hari Kebangsaan 2026
Mereka yang menuju ke kawasan Kallang pada 9 Ogos sempena Hari Kebangsaan bukan sahaja berpeluang menyaksikan sekilas latihan perbarisan yang bakal berlangsung.
Singapura akan menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-61 di Stadium Negara pada 9 Ogos.
Muzik secara langsung yang menampilkan lagu kegemaran ramai serta petikan lagu daripada album Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) akan menghidupkan suasana di sekitar Stadium Negara, di samping pameran interaktif, persembahan tarian dan pemasangan cahaya, apabila penganjur meluaskan sambutan melangkaui tapak perbarisan.
Antara tarikan utama ialah pemasangan cahaya di sepanjang Stadium Riverside Walk, yang menawarkan peluang bergambar kepada pengunjung dengan ilham daripada tema NDP 2026, ‘Majulah Singapura, Terbang Lebih Tinggi!’.
Pemasangan cahaya itu sudah pun bermula sejak 25 Julai hingga 9 Ogos.
Zon Majulah, yang dipersembahkan Kolektif Pertahanan Singapura (DCS), memperingati ulang tahun ke-60 Ikrar Negara menerusi sebuah pameran mengenai asal usulnya serta kepentingannya sehingga kini.
Pengunjung juga boleh menyertai aktiviti interaktif dan bergambar di ruang bergambar bertemakan khas. Zon itu akan dibuka di hadapan Pusat Sukan Air dari 4 petang hingga 9.30 malam.
Sebuah pameran bertajuk WE Perform, WE Go Beyond menampilkan persembahan muzik secara langsung dan tarian daripada pelbagai generasi.
Persembahan itu berlangsung di Kallang Wave Mall, Aras 1, pada 9 Ogos dari 4 petang hingga 6 petang.
Di tempat lain, DJ dan penghibur jalanan (buskers) akan mempersembahkan lagu-lagu kegemaran Hari Kebangsaan bersama petikan lagu album NDP 2026, manakala maskot NDP akan tampil beramah mesra dengan orang ramai.
Persembahan muzik akan berlangsung dari 4 hingga 6 petang, serta 8.15 malam hingga 9.30 malam, di Stadium Roar dan di sekitar pintu keluar Stesen MRT Stadium.
Maskot NDP juga akan berada di kawasan berkenaan pada waktu yang sama, di sekitar Stadium Negara dan kawasan perairan.
Orang ramai di kawasan Kallang Basin juga berpeluang menyaksikan lintas hormat bendera Singapura dan Tabik Hormat Meriam Presiden dari luar Stadium Negara pada Hari Kebangsaan dan hari latihan perbarisan.
Buat julung kalinya, kedua-dua acara itu akan berlangsung di ruang udara Kallang Basin, membolehkan lebih ramai orang yang berhimpun di seluruh kawasan itu menyaksikannya dengan lebih dekat.
Tabik Hormat Meriam akan dilaksanakan semasa Presiden memeriksa barisan perbarisan.