Satu kajian tempatan baru-baru ini yang diterajui penyelidik daripada Institut Pembangunan dan Potensi Manusia Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star IHDP) mendedahkan bahawa menangani masalah tidur dalam kalangan kanak-kanak prasekolah – terutama yang lebih aktif dan berjaga pada waktu malam – boleh mengurangkan cabaran emosi dan tingkah laku semasa mereka beralih ke alam persekolahan rendah.
A*Star, dalam satu kenyataan pada 5 Disember, berkata:
“Menangani punca utama perkembangan masalah sosioemosi semasa zaman kanak-kanak adalah penting kerana ia berpotensi berkembang menjadi masalah emosi dan tingkah laku yang lebih serius tatkala kanak-kanak itu menjejaki usia dewasa kelak.”
Kenyataan itu menambah bahawa kesukaran tidur berpanjangan boleh menjejas keupayaan kanak-kanak mengawal emosi dan tingkah laku, sekali gus membawa kepada masalah sosioemosi, termasuk kebimbangan, kemurungan, tumpuan dan tingkah laku apabila mereka memasuki sekolah rendah.
Lantas, kajian untuk meneliti bagaimana keaktifan kanak-kanak prasekolah berusia empat setengah hingga enam tahun pada waktu pagi atau malam dikaitkan dengan corak tidur dijalankan.
Ia dikendalikan dalam jangka panjang dan melibatkan seramai 399 kanak-kanak daripada prasekolah hingga peringkat sekolah.
Kanak-kanak prasekolah yang lebih aktif pada waktu malam didapati mengalami kitaran tidur-bangun yang tertunda kerana mereka tidur dan bangun pada waktu yang lewat.
Mereka lebih berkemungkinan mengalami masalah tidur seperti sukar tidur, terus tidur dan terjaga malam.
Tiada perbezaan ketara dalam tempoh tidur yang didapati dalam kalangan kanak-kanak prasekolah dengan kecenderungan kegiatan yang berbeza, kata A*Star.
Hasil kajian itu turut menekankan kepentingan campur tangan awal untuk mencegah masalah sukar tidur dan masalah sosioemosi yang berkaitan, terutama dalam kalangan kanak-kanak yang lebih aktif pada waktu malam.
Kajian itu dijalankan oleh penyelidik dari A*Star IHDP, Sekolah Perubatan Yong Loo Lin Universiti Nasional Singapura (NUS), Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dan Pusat Perubatan Universiti Amsterdam (Amsterdam UMC) sebagai sebahagian daripada kohort kelahiran Membesar di Singapura Ke Arah Kesihatan (Gusto).
Para penyelidik telah menggunakan kaedah analisis rentas dan jangka panjang apabila penjaga mengisi soal selidik bagi menentukan kecenderungan kegiatan kanak-kanak pada usia empat setengah tahun.
Masalah tidur pula dinilai pada usia empat setengah tahun dan enam tahun, manakala isu emosi dan tingkah laku diukur pada usia empat dan tujuh tahun dengan menggunakan Senarai Semak Tingkah Laku Kanak-Kanak (CBCL).
Penulis utama kajian, Dr Cai Shirong, yang juga penyelidik utama daripada A*Star IHDP, berkata:
“Ibu bapa selalunya hanya menumpukan perhatian kepada memastikan anak-anak mereka mendapat tidur yang mencukupi.
“Namun, itu sahaja tidak mencukupi kerana penemuan kami menunjukkan bahawa mutu tidur sebelum memasuki alam persekolahan rasmi juga penting demi perkembangan emosi dan sosial kanak-kanak.”
Menangani masalah tidur dari awal semasa zaman kanak-kanak berpotensi memberi kesan positif jangka panjang kepada kesejahteraan sosioemosi mereka, khususnya bagi kanak-kanak yang secara semula jadi lebih cenderung aktif pada waktu malam, tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg