Tidak praktikal bagi Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menetapkan peraturan menyeluruh mengenai bila syarikat harus berhenti bekerja sekiranya keadaan cuaca ekstrem berlaku, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
Ini kerana terdapat kemungkinan keadaan cuaca yang luas dan kesannya yang berbeza ke atas tapak kerja yang berbeza, kata Encik Zaqy di Parlimen pada 16 Oktober menjawab soalan Anggota Parlimen (AP).
Encik Melvin Yong (Radin Mas) bertanya apakah langkah keselamatan di tempat kerja yang telah dilaksana oleh MOM untuk pastikan keselamatan pekerja dalam industri yang berisiko tinggi dijaga, khususnya semasa mereka bekerja dalam cuaca buruk.
Beliau menambah, corak cuaca tidak menentu mungkin menjadi lebih biasa kerana perubahan iklim, dan bertanya bagaimana MOM akan mengurus akibat cuaca buruk seperti kelewatan kerja dan sama ada MOM akan mengemas kini protokol keselamatan di tempat kerja.
Encik Zaqy berkata adalah mencabar untuk “mengenakan panduan” tentang bila syarikat harus hentikan kerja, kerana cuaca buruk memberi kesan berbeza kepada tapak kerja yang berbeza.
Pada 2024, terdapat beberapa kejadian cuaca tidak menentu, termasuk hujan lebat dan angin kencang dari Sumatera Squall pada September, dan rekod suhu tinggi pada Mei.
Encik Zaqy menegaskan bahawa tapak binaan yang berbeza beroperasi secara berbeza – ada yang beroperasi dengan lebih banyak mesin dan yang lain lebih bergantung kepada tenaga kerja fizikal.
Justeru, beliau berkata langkah keselamatan yang berbeza mungkin relevan bergantung pada keperluan perniagaan syarikat.
“Adalah menjadi tanggungjawab majikan dan penghuni tapak untuk membuat penilaian risiko. Di sinilah kami letakkan tanggungjawab kepada majikan dan penghuni tapak kerja untuk memastikan garis panduan keselamatan tempat kerja dipatuhi,” kata Encik Zaqy.
MOM akan mengkaji implikasi jangka panjang keadaan cuaca yang tidak menentu terhadap pekerja, dan akan melihat bukti saintifik untuk menentukan sama ada sebarang tindakan perlu diambil.
Cik Joan Pereira (GRC Tanjong Pagar) pula bertanya sama ada MOM akan pertimbang kerjasama dengan persatuan industri dan kesatuan sekerja untuk menyediakan syarikat melaksanakan langkah keselamatan di tempat kerja berhubung keadaan cuaca buruk.
Encik Zaqy berkata MOM bekerjasama dengan Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSHC) dan persatuan perdagangan untuk melibatkan majikan dan pekerja untuk mengamalkan amalan terbaik.
Beliau menambah adalah penting untuk terus memberi peringatan – seperti yang berkaitan dengan pengurusan tekanan haba dan nasihat cuaca buruk – mengenai bahaya berkaitan cuaca melalui pelbagai saluran.
“Tetapi akhirnya, meskipun di Singapura, dari masa ke masa, di lokasi yang berbeza, anda akan mempunyai variasi dalam keadaan cuaca. Dan oleh itu adalah sukar untuk mempunyai satu panduan yang sesuai untuk semua orang,” kata Encik Zaqy lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg