Lebih dua dekad lalu pada 2003, Cik Kartini Abdul Rahman, memperkenalkan senaman ‘kebayarobics’ demi menggalakkan wanita Melayu bersenam.
Kegiatan itu melibatkan wanita memakai baju kebaya longgar semasa bersenam dengan gerakan aerobik, diiringi irama jaipong iaitu genre muzik yang berasal dari Indonesia.
Cik Kartini melakukan senaman tersebut bersama Kelab Berjalan Pantas Simei, yang diasaskannya pada 1993.
Hingga hari ini, kumpulan itu masih aktif mengadakan senaman secara kerap, termasuk senaman ‘kebayarobics’, selain kegiatan berjalan pantas.
Baru-baru ini, Cik Kartini, kini 75 tahun, bersama anggota lain daripada kelab itu, telah mempersembahkan ‘kebayarobics’ sempena Pesta Warisan Singapura (SHF) di Taman di Persisiran pada 24 dan 25 Mei.
Diadakan dari 1 hingga 25 Mei lalu, acara tahunan itu kali ini meraikan Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH), iaitu adat, tradisi, dan amalan yang terus hidup merentas generasi.
Daripada seni kraf tradisional, seni persembahan, makanan hinggalah kepada kisah lisan, #SGHeritageFest 2025 mengajak warga Singapura mengalami, mempelajari dan meraikan ekspresi budaya tersebut.
Kelab Berjalan Pantas Simei itu kini mempunyai lebih 800 anggota daripada pelbagai latar belakang.
Ia ditubuhkan pada 1993 sebagai satu kelab untuk berjalan pantas.
Pada 2003, kelab itu memperkenalkan ‘kebayarobics’ sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahunnya ke-10.
“Kebayarobics bukan sahaja sejenis senaman, bahkan ia turut melibatkan banyak pergerakan otot dan gerakan yang selari dengan irama lagu,” kata Cik Kartini, yang juga nenek enam cucu.
Beliau juga seorang sukarelawan di pusat badan amal Brahm Centre, di mana beliau menerajui kegiatan berjalan pantas setiap minggu.
Bagi Cik Kartini dan anggota kelabnya, jemputan untuk mempersembahkan ‘kebayarobics’ sempena festival itu bukan sahaja satu penghormatan, bahkan satu detik penuh emosi.
Ini merupakan kali pertama mereka membuat persembahan selepas berehat akibat pandemik sebelum ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg