SPH Logo mobile
Langgan|

Kedai Arab St padam mural batik setelah rayuan gagal

Kedai Arab St padam mural batik setelah rayuan gagal

URA izin Utopia Apparels kekalkan lukisan di bahagian papan tanda kedai
Mar 2, 2026 | 6:00 PM

Kedai Arab St padam mural batik setelah rayuan gagal

mural batik, mural shophouse repainted, utopia, arab street
Permukaan depan dinding rumah kedai di 59 Arab Street di mana terletaknya kedai Utopia Apparels telah dicat semula mengikut permintaan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA). - Foto SHERRY SEE

Pemilik Utopia Apparels dan penyewa unit rumah kedai yang terletak di 59 Arab Street, Cik Sherry See, telah mengecat semula dinding di permukaan depan dinding rumah kedai itu.

Ini selepas Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) meminta agar mural batik yang dilukis oleh pelukis tempatan, @muselaluna, di permukaan depan rumah kedai itu dipadamkan sebelum 26 Februari kerana tidak mengikut garis panduan ditetapkan bagi bangunan yang dipelihara.

“Kerja-kerja mengecat bermula sekitar 9.30 malam pada 24 Februari dan selesai sebelum 4.30 pagi pada 25 Februari,” kongsi Cik See kepada Berita Harian (BH).

Bangunan itu kini dicat dengan warna ungu, selaras dengan penjenamaan Utopia Apparels.

URA mengizinkan Cik See untuk mengekalkan seni batik yang dilukis pada rasuk (beam) utama rumah kedai, iaitu di bahagian papan tanda kedai tersebut.

Kebebasan diberikan agar membolehkan setiap pemilik kedai mempamerkan papan tanda perniagaan mereka.

Sebelum mengecat semula dinding depan rumah kedai, Cik See telah menemui pihak URA pada 20 Februari untuk membincangkan isu tersebut setelah permohonannya untuk mengekalkan mural batik itu ditolak buat kali kedua.

Jurucakap URA memberitahu BH sebelum ini, mengecat mural di permukaan bahagian depan rumah kedai yang telah dipelihara tidak dibenarkan kerana bertentangan dengan garis panduan yang ditetapkan.

Ia turut “mengganggu ciri-ciri pada seni bina bangunan yang dipelihara dan bercanggah dengan suasana di daerah bersejarah”.

Pengecualian dibenarkan bagi permukaan bahagian depan rumah kedai di Haji Lane.

Mural juga dibenarkan pada dinding tepi bagi unit hujung dan di bahagian belakang rumah kedai kerana ia biasanya tiada sebarang ciri seni bina yang ketara.

Walaupun kecewa dengan keputusannya, Cik See berterima kasih kepada orang ramai yang telah memberi maklum balas positif mengenai keindahan mural batik itu di media sosial yang turut menarik perhatian beberapa pihak media.

Mural batik warna-warni di permukaan depan dinding rumah kedai di 59 Arab Street sebelum dicat semula.
Mural batik warna-warni di permukaan depan dinding rumah kedai di 59 Arab Street sebelum dicat semula. - Foto UTOPIA

“Walaupun mural itu tidak lagi wujud, saya tidak menyesal memulakannya.

“Ia seperti satu petunjuk bahawa masih ramai individu yang mempunyai minat untuk melestarikan seni warisan batik ini,” ceritanya.

Cik See yang memulakan mural batik itu dengan niat melestarikan seni warisan batik selain mendidik dan menggalak orang ramai agar menghayati batik berkata syarikatnya sedang berusaha mencari cara alternatif untuk meneruskan misi itu.

“Sebagai permulaan, kami akan memberi rantai kunci batik percuma kepada pelanggan.

“Selain itu, kami sedang memikirkan cara untuk menggunakan seni mural batik pada barangan lain seperti beg jinjing,” tambahnya yang mula berniaga di kawasan Kampong Gelam sejak 2006.

Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk harga sewa yang tinggi, Cik See berharap lebih banyak sokongan akan diberikan kepada perniagaan tempatan yang memperjuangkan seni warisan tradisional.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg