Mural batik di Arab Street perlu dipadam, tidak patuhi garis panduan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mural batik di Arab Street perlu dipadam, tidak patuhi garis panduan

URA: Pengecualian diberi bagi dinding tepi, belakang, atau bagi rumah kedai di Haji Lane
Feb 5, 2026 | 11:19 AM

Mural batik di Arab Street perlu dipadam, tidak patuhi garis panduan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
wall mural, shophouse, batik mural take down, URA appeal, Utopia
Mural batik warna-warni di permukaan depan dinding rumah kedai di 59 Arab Street harus dipadamkan dan dicat semula selepas rayuan dengan pihak Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) oleh jenama Utopia Apparels gagal. - Foto UTOPIA

Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) telah meminta agar mural batik yang dilukis di permukaan depan rumah kedai yang terletak di 59 Arab Street, dipadamkan oleh penyewa unit itu, Utopia Apparels.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), jurucakap URA menerusi jawapan e-mel bertulis berkata mengecat mural di permukaan bahagian depan rumah kedai yang telah dipelihara tidak dibenarkan kerana bertentangan dengan garis panduan yang ditetapkan URA. 

Utopia Apparels, kedai yang menjual pakaian berasaskan batik, telah bertapak di kawasan Kampong Gelam sejak 2006 sebelum berpindah ke 47 Haji Lane pada 2020 selama lima tahun. 

Namun, disebabkan kenaikan harga sewa, kedai itu sekali lagi berpindah ke 59 Arab Street pada September 2025. 

Sebelum ini, Utopia Apparels turut mempunyai mural serupa di permukaan luar unitnya di Haji Lane namun ia dibenarkan oleh URA.  

“Mural secara amnya tidak dibenarkan di muka depan rumah kedai yang dipelihara kecuali di Haji Lane. 

“Ini disebabkan ia mungkin mengganggu ciri-ciri pada seni bina bangunan yang dipelihara dan bercanggah dengan suasana di daerah bersejarah itu. 

“Sebaliknya, mural dibenarkan pada dinding tepi bagi unit hujung dan di bahagian belakang rumah kedai kerana ia biasanya tiada sebarang ciri seni bina yang ketara,” menurut jurucakap URA. 

Mural dibenar di bahagian depan rumah kedai Haji Lane

Menurut URA, mural di bahagian depan rumah kedai sepanjang Haji Lane dibenarkan sebagai satu cara meluahkan kreativiti dan mencerminkan suasana sekitar laluan itu yang unik dan eklektik. 

“Pengecualian dibuat khusus bagi Haji Lane, setelah berunding dengan masyarakat tempatan di Kampong Gelam kerana kebanyakan rumah kedai di situ dibina dengan seni gaya lebih awal dan ringkas.

“Lazimnya ia tidak mempunyai hiasan rumit yang mungkin terjejas atau dikaburkan dengan seni mural,” jelasnya. 

Warisan batik, peniaga kain di Arab Street

Menurut pemilik Utopia Apparels, Cik Sherry See, 45 tahun, mural batik itu merupakan salah satu cara beliau ingin memelihara warisan batik yang sinonim dengan kawasan Kampong Gelam serta perniagaan kain dan tekstil yang ada sepanjang jalan Arab Street.

Insiden itu berlaku sedang adanya kebimbangan dalam masyarakat setempat melihat lebih banyak perniagaan warisan yang telah keluar dari kawasan bersejarah kerana tidak dapat bertahan.

Cik Sherry See merupakan pengasas dan pemilik jenama tempatan, Utopia Apparels, yang menjual pelbagai pakaian batik yang direkanya sejak 2001. Beliau telah bertapak di kawasan Kampong Gelam sejak 2006.
Cik Sherry See merupakan pengasas dan pemilik jenama tempatan, Utopia Apparels, yang menjual pelbagai pakaian batik yang direkanya sejak 2001. Beliau telah bertapak di kawasan Kampong Gelam sejak 2006. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

“Saya tidak memilih untuk mengadakan mural batik itu hanya kerana saya suka pada warna-warni, mahu mencabar pihak berkepentingan atau tidak suka dengan dinding yang kosong. 

“Saya percaya setiap lorong atau jalan mempunyai cerita yang tersendiri.

“Batik bukan hanya sekadar kain tradisional. Ia melambangkan seni, budaya dan telah menjadi sebahagian dengan identiti Arab Street,” kongsi Cik See kepada BH.

Mural batiknya menggabungkan pelbagai jenis batik seperti batik Buketan, batik Tumpal, batik Lereng, batik Cap dan batik Ceplok.

Lukisan itu turut mengandungi motif tradisional seperti Isen-Isen, Nitik, Lung Lungan dan Kawung.

Antara jenis batik yang diterapkan dalam seni mural itu termasuk batik Tumpal yang menampilkan deretan segi tiga berasal dari Jawa dan Sumatera.
Antara jenis batik yang diterapkan dalam seni mural itu termasuk batik Tumpal yang menampilkan deretan segi tiga berasal dari Jawa dan Sumatera. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Jenama Utopia Apparels yang dimulakan pada 2001 mempunyai misi untuk melestarikan seni warisan batik selain mendidik dan menggalak orang ramai menghayati batik melalui pakaian rekaannya. 

Cik See berkata beliau bertahan di Haji Lane selama lima tahun hingga harga sewanya dinaikkan ke $13,000. 

Kini, unit lamanya itu diambil alih oleh perniagaan yang menjual pelbagai permainan dan anak patung komersial. 

Unit yang disewanya di 47 Haji Lane kini diambil alih oleh perniagaan yang menjual permainan dan anak patung komersial.
Unit yang disewanya di 47 Haji Lane kini diambil alih oleh perniagaan yang menjual permainan dan anak patung komersial. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Rayuan, sokongan daripada KGA

Cik See telah menghantar surat rayuan untuk mengekalkan mural batik itu dengan sokongan Perikatan Kampong Gelam (KGA) pada lewat 2025 namun gagal dengan rayuan itu.  

Berkongsi dengan BH, Pengerusi KGA, Encik Zaki Ma’arof berkata: “KGA bersama-sama Cik See telah membuat rayuan kepada URA untuk mengekalkan mural itu.

“KGA telah melibatkan URA secara fizikal untuk menangani isu tersebut.”

URA mengesahkan rayuan itu namun menjelaskan pihaknya telah berunding dengan KGA dan Kerjasama Warisan dan Identiti (HIP) mengenai garis panduan mural sedia ada.

“KGA dan HIP bersetuju garis panduan lazim untuk mural di rumah kedai yang dipelihara, termasuk di Kampong Gelam, harus ditegakkan,” ujar jurucakap URA. 

URA berkata mural tidak dibenarkan di permukaan depan rumah kedai sepanjang Arab Street kerana ia merupakan pusat tumpuan kegiatan tradisional di Kampong Gelam dan menampilkan seni bina rumah kedai yang menceritakan kisah pembangunan Singapura. 

“Membenarkan mural di permukaan depan rumah kedai di Arab Street bukan sahaja akan menjejaskan suasana di situ tetapi juga konsistensi landskap warisan seni bina yang telah dikekalkan dengan teliti selama ini,” tambah jurucakap URA.

Ditanya jika beliau tahu tentang proses kelulusan semasa ingin melakukan mural itu, Cik See berkata beliau “tidak dapat mencari sebarang maklumat dalam talian yang berkata secara jelas bahawa mural tidak dibenarkan pada bahagian dinding depan rumah kedai kecuali di Haji Lane”. 

Cik See kini ada hingga 26 Februari untuk mengecat semula dinding rumah kedai agar mematuhi garis pandu yang ditetapkan oleh URA.  

Encik Zaki menambah “semua penyewa harus mematuhi garis pandu yang telah ditetapkan URA sebelum memulakan kerja pengubahsuaian”.

Lukisan dinding di rumah kedai yang terletaknya gerai minuman popular, Tarik by Ali Redha, di Muscat Street oleh pelukis tempatan terkenal, Yip Yew Chong, pada 2023 dibenarkan kerana ia dilakukan di dinding tepi rumah kedai itu.
Lukisan dinding di rumah kedai yang terletaknya gerai minuman popular, Tarik by Ali Redha, di Muscat Street oleh pelukis tempatan terkenal, Yip Yew Chong, pada 2023 dibenarkan kerana ia dilakukan di dinding tepi rumah kedai itu. - Foto fail

Kes serupa di rumah kedai

URA menyiasat kira-kira 50 kes mengenai kerja tidak dibenarkan ke atas bangunan yang dipelihara setiap tahun. 

Kes itu terdiri daripada kerja pengubahsuaian kepada mural dan merobohkan ciri-ciri seni bina. 

Dalam kebanyakan kes, URA akan membimbing pemilik atau penyewa rumah kedai untuk membetulkan pelanggaran. 

Pada 2024, terdapat mural kontroversial oleh pelukis Sean Dunston di rumah kedai yang terletak di 297 South Bridge Road, menampilkan seorang wanita samsui memegang rokok.

Pada mulanya, pihak berkuasa meminta perubahan pada seni mural itu namun selepas perbincangan, ia dibenarkan dengan pemilik bangunan itu dikenakan denda $2,000. 

Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pernah meminta perubahan bagi lukisan mural oleh Sean Dunston di rumah kedai yang terletak di 297 South Bridge Road namun selepas itu dikekalkan.
Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pernah meminta perubahan bagi lukisan mural oleh Sean Dunston di rumah kedai yang terletak di 297 South Bridge Road namun selepas itu dikekalkan. - Foto fail
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg