Pengeluaran kilang Singapura pada November mencatat pertumbuhan kukuh untuk tiga bulan berturut-turut.
Ini meskipun ia pada kadar yang lebih perlahan, didorong oleh lonjakan pengeluaran farmaseutikal.
Jumlah keseluruhan hasil perkilangan meningkat 14.3 peratus dari tahun ke tahun, mereda daripada pertumbuhan yang disemak semula sebanyak 28.9 peratus pada Oktober, menurut data Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) yang dikeluarkan pada 26 Disember.
Angka itu juga sedikit lebih rendah berbanding kenaikan hampir 15 peratus yang diramalkan oleh penganalisis dalam tinjauan Bloomberg, lapor The Straits Times (ST).
Tidak termasuk perkilangan bioperubatan yang tidak menentu, hasil perkilangan meningkat 4.6 peratus.
Pengeluaran bioperubatan melonjak 79.3 peratus pada November, selepas peningkatan 89.8 peratus pada Oktober.
Pertumbuhan ini dipacu oleh pengeluaran farmaseutikal, yang melonjak 124.3 peratus selepas mencatat lonjakan 122.9 peratus pada bulan sebelumnya.
Bahagian teknologi perubatan pula mencatat peningkatan pengeluaran sebanyak 11.3 peratus, disokong oleh permintaan berterusan terhadap alat perubatan.
Kluster elektronik utama, yang menyumbang lebih satu pertiga daripada keseluruhan perkilangan Singapura, menyaksikan peningkatan pengeluaran sebanyak 8.9 peratus.
Pertumbuhan itu diterajui oleh peningkatan dalam pengeluaran infokomunikasi dan elektronik pengguna, yang berkembang 87.7 peratus, hasil pengeluaran lebih tinggi bagi pelayan serta produk berkaitan.
Segmen modul dan komponen elektronik lain berkembang 16.3 peratus, manakala segmen semikonduktor meningkat 4.9 peratus.
Sebaliknya, segmen alat pelengkap komputer dan penyimpanan data merosot 25.5 peratus.
Pengeluaran sektor kejuruteraan kepersisan meningkat 2.4 peratus, disokong oleh pertumbuhan 12.7 peratus dalam segmen modul dan komponen berikutan pengeluaran penyambung elektronik serta kabel dan wayar kuasa elektrik yang lebih tinggi.
Namun, segmen jentera dan sistem menyusut 1.2 peratus disebabkan pengeluaran yang lebih rendah bagi peralatan semikonduktor peringkat hadapan.
Dalam sektor kejuruteraan pengangkutan, pengeluaran meningkat 24.2 peratus.
Segmen aeroangkasa berkembang 33.8 peratus berikutan pengeluaran alat ganti pesawat yang lebih tinggi serta kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang berterusan daripada syarikat penerbangan komersial.
Kegiatan lebih tinggi di limbungan kapal turut menyumbang kepada peningkatan 21.7 peratus dalam segmen kejuruteraan marin dan luar pesisir, manakala segmen darat merosot 26 peratus.
Sektor kimia berkembang 2.2 peratus, dengan segmen bahan kimia khusus meningkat 31.6 peratus berbanding setahun lalu apabila berlaku penutupan loji bagi kerja penyelenggaraan.
Segmen bahan kimia lain pula mencatat peningkatan 9.2 peratus hasil pengeluaran wangian yang lebih tinggi.
Namun, penyusutan dalam segmen petroleum dan petrokimia masing-masing sebanyak 5.9 peratus dan 13.2 peratus sebahagiannya mengimbangi peningkatan tersebut.
Sektor perkilangan am terus menguncup, dengan pengeluaran merosot 4.8 peratus.
Industri pelbagai menyusut 10.2 peratus disebabkan pengeluaran yang lebih rendah dalam industri bekas kertas dan papan kertas serta produk logam struktur, manakala segmen percetakan merosot 12 peratus.
Sementara itu, segmen makanan, minuman dan tembakau mencatat pertumbuhan kecil sebanyak 0.1 peratus.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg