Sebuah kemudahan bagi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kerangka pesawat baharu yang bernilai $170 juta di Changi Creek bakal menggajikan lebih 500 pekerja dan menggunakan teknologi dron serta robot bagi meningkatkan kecekapan.

Kemudahan itu, yang keempat bagi ST Engineering di Singapura, akan memanfaatkan robot humanoid (mirip manusia), dron dan percetakan 3D bagi memudahkan kerja dan meningkatkan daya penghasilan.

Kemudahan seluas 84,000 meter persegi itu dilengkapi ruang yang mampu menampung empat pesawat berbadan lebar, yang apabila beroperasi sepenuhnya, akan menambah kapasiti sebanyak 40 peratus kepada rangkaian MRO kerangka udara pesawat badan lebar syarikat tersebut di Singapura, , atau kepada kira-kira 100 lagi pesawat seumpama ini yang diselenggarakan di Singapura setiap tahun.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, berkata semasa acara perasmian kemudahan itu pada 9 Oktober bahawa kecerdasan buatan (AI), robotik dan automasi akan meningkatkan keupayaan jurutera dan teknisyen agar mereka dapat menjalankan tugas bernilai lebih tinggi.

Beliau turut menekankan peranan penting ST Engineering dalam memperkukuh keupayaan syarikat dan tenaga kerja Singapura dalam sektor aeroangkasa.

“Kemudahan baharu ini dijangka mewujudkan lebih 500 pekerjaan dalam bidang MRO kerangka pesawat ST Engineering, termasuk jurutera pesawat berlesen, teknisyen serta pakar perancangan dan kawalan pengeluaran.

“ST Engineering turut menyediakan latihan dalam syarikat dan bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi bagi melengkapkan tenaga kerja kita dengan kemahiran yang diperlukan bagi meraih peluang seperti ini. Sepanjang tiga tahun lalu, syarikat ini telah melatih lebih 250 pekerja tempatan baharu,” kata beliau.

Encik Gan menggalakkan ST Engineering supaya memperluas usaha itu apabila syarikat itu berkembang, supaya lebih ramai rakyat Singapura dapat meningkatkan kemahiran dan membina kerjaya dalam sektor aeroangkasa.

Beliau berkata syarikat itu turut bekerjasama dengan syarikat kecil dan sederhana (SME) tempatan serta sektor penyelidikan dan pembangunan Singapura untuk menghasilkan teknologi canggih, memperkukuh keupayaan syarikat, meningkatkan daya penghasilan dan membina rekod pencapaian dalam sektor aeroangkasa.

Syarikat itu juga bekerjasama dengan perusahaan robotik tempatan dan Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star) untuk membangunkan robot berautonomi berasaskan AI dalam operasinya.

“Salah satu projek seumpama itu akan menambah baik masa proses lebih daripada 80 peratus, mengelakkan pekerja daripada berjalan melebihi 20,000 kilometer di ruang gudang, serta menjimatkan kira-kira 7,800 jam tenaga kerja setiap tahun,” tambah Encik Gan.

Robot-robot itu adalah sebahagian daripada sistem yang boleh mengangkut komponen, peralatan dan bahan pesawat dari gudang ke ruang hangar pesawat, manakala robot humanoid yang masih diuji, boleh mengambil dan menyusun barangan, kata ST Engineering dalam satu kenyataan pada 9 Oktober.

ST Engineering merancang memperkenalkan sistem itu di kemudahan lain.

Menurut ST Engineering, teknologi baharu di Changi Creek akan mengubah operasi MRO pesawat yang selama ini banyak bergantung pada tenaga manusia kepada operasi yang lebih cekap dan berpandukan data.

Presiden Aeroangkasa Komersial ST Engineering, Encik Kevin Chow, berkata syarikat itu menyasarkan peningkatan daya penghasilan sebanyak 25 peratus melalui inovasi teknologi seperti itu.

Dron akan digunakan untuk memeriksa bahagian atas pesawat tanpa penggunaan tangga atau pelantar pengangkat oleh teknisyen.

AI pula membantu mengesan bahagian berkarat, kecacatan cat dan lekukan pada permukaan pesawat melalui rakaman video.

Pemeriksaan pesawat kini mengambil setengah hari dengan dua jurutera, berbanding satu hari setengah menggunakan sehingga tiga teknisyen sebelum ini.

Kamera pada lengan robotik turut membantu memeriksa komponen enjin dan bahagian bawah pesawat, mengurangkan masa pemeriksaan daripada empat jam kepada 30 minit.

Percetakan 3D pula membolehkan komponen rosak dibaiki atau dihasilkan semula.

Mulai 2027, dua hingga tiga kenderaan pandu sendiri yang mampu membawa bahan sehingga 500 kilogram akan digunakan di setiap kemudahan untuk mengangkut komponen.