Meski ‘kecil’, S’pura kekal penting bagi Rolls-Royce
Jika anda pernah menaiki pesawat berbadan lebar daripada Boeing atau Airbus yang menggunakan enjin Trent, besar kemungkinan bahagian enjin yang paling menonjol itu dihasilkan di Singapura.
Loji perkilangan Rolls-Royce di taman aeroangkasa Seletar, di timur laut Singapura, menghasilkan kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan bilah kipas yang dihasilkan pengeluar Britain itu setiap tahun bagi enjin jet awamnya.
“Kami kini mengeluarkan sekitar 5,000 bilah kipas.
“Jumlah ini dijangka meningkat dengan pesat dalam beberapa tahun akan datang, sejajar dengan pertumbuhan pangkalan operasi enjin Trent kami bersama syarikat penerbangan utama di seluruh dunia,” kata Naib Presiden Kanan Rolls-Royce bagi Asia Pasifik dan aeroangkasa awam, Encik John Kelly, kepada The Business Times.
Kilang Rolls-Royce di Singapura merupakan sebahagian daripada ekosistem sedunia industri perkilangan penerbangan awam.
Bilah kipas yang dihasilkan di Singapura kemudiannya dihantar kembali ke United Kingdom, tempat ibu pejabat Rolls-Royce berada, untuk dipasang ke dalam enjin.
Kira-kira 5,000 bilah kipas yang dihasilkan di Singapura itu bersamaan dengan sekitar 700 set enjin, sama ada untuk pengeluaran enjin baru atau bagi penyelenggaraan enjin sedia ada.
Loji perkilangan di Seletar mula beroperasi pada 2012, namun kehadiran pengeluar Britain itu di Singapura bermula sejak beberapa dekad lalu dalam sektor penerbangan awam dan juga industri pertahanan.
Singapura berperanan sebagai hab serantau bagi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), serta perkhidmatan pelanggan dalam sektor penerbangan awam.
Bagi industri pertahanan pula, kehadiran Rolls-Royce di Singapura merangkumi Rolls-Royce Power Systems, yang menyediakan aplikasi berasaskan kuasa untuk kereta kebal dan kapal.
“Singapura mungkin kecil dari segi keluasan, namun kepentingannya besar. Kami berbangga menjalankan perkilangan di sini,” kata Encik Kelly.
Beliau berkata peluasan Rolls-Royce ke dalam perkilangan dalam sektor penerbangan di Singapura didorong oleh kerjasama rapat dengan agensi pemerintah dalam penyelidikan dan pembangunan.
Menurut laporan tahunan Rolls-Royce 2024, syarikat itu menggaji sekitar 700 pekerja di Singapura, dengan operasi tempatan menyumbang 2.7 peratus daripada pendapatan tahunan kumpulan berjumlah £18.9 bilion ($33 billion) .
Rolls-Royce bukan satu-satunya pengeluar penerbangan sedunia yang mempunyai kehadiran besar di Singapura.
Syarikat seperti Thales dan Pratt & Whitney juga menjalankan operasi meluas di sini.
Menurut Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), sektor kejuruteraan pengangkutan mencatat pertumbuhan 20 peratus tahun ke tahun pada Disember, dengan segmen aeroangkasa berkembang 35.9 peratus, disokong oleh peningkatan pengeluaran komponen pesawat dan kegiatan MRO.
Industri aeroangkasa kini menyediakan sekitar 20,000 pekerjaan di Singapura dan kekal sebagai sebahagian penting strategi jangka panjang Singapura dalam membangunkan sektor perkilangan bernilai tinggi.
Encik Joshua Ng, pengarah di Alton Aviation Consultancy, menjelaskan perkilangan berketepatan tinggi meningkatkan nilai tambah melalui penggunaan tenaga kerja dan ruang yang lebih cekap, selari dengan kekangan tanah dan tenaga kerja Singapura.
Menurut Encik Kelly, perkembangan dan pelaburan Rolls-Royce selari dengan pertumbuhan industri penerbangan Singapura, dengan pembinaan terminal lapangan terbang baru mencerminkan kesungguhan pemerintah terhadap industri tersebut.
“Dengan kemantapan politik, keselamatan serta prasarana yang kukuh, Singapura menawarkan persekitaran perniagaan yang positif dan kekal berdaya maju dari segi ekonomi setelah semua faktor kos diambil kira,” tambahnya.

