Apabila Cik Saleha Kamsan menyaksikan ibunya mengalami komplikasi kehamilan secara mendadak yang menyebabkan pendarahan teruk dan berakhir dengan pemergian anak perempuan bongsunya, beliau bertekad untuk mengetahui puncanya.
“Ayah saya hantar beliau ke Hospital Kandang Kerbau (KKH), dan doktor beritahu ibu saya mengalami pendarahan sebelum bersalin.
“Bayi itu selamat dilahirkan, namun akhirnya meninggal dunia kerana terlalu banyak pendarahan.
“Daripada pengalaman tersebut, saya ingin tahu mengapa perkara sebegitu berlaku dan bagaimana proses kelahiran itu sebenarnya.
“Sebab itulah saya memilih untuk mengambil kursus perbidanan,” kongsi beliau, yang mempunyai seorang abang dan empat adik perempuan.
Selama dua tahun empat bulan, Cik Saleha gigih mengikuti kursus perbidanan di KKH, yang terletak di Hampshire Road, pada 1972.
Beliau berusia 19 tahun ketika itu.
Pada 1975, beliau mula bertugas sebagai bidan bertauliah sepenuhnya, dan tanpa disedari, telah menabur bakti dalam bidang itu selama lima dekad.
Tempoh itu merangkumi khidmatnya di lokasi asal Sekolah Jururawat Perbidanan di Hampshire Road, serta di Bukit Timah Road selepas hospital itu berpindah pada 1997, dan dikenali hari ini sebagai KKH.
Berkongsi kepada Berita Harian (BH), bidan kanan berusia 72 tahun itu mengimbau rasa kagum dan terkejut ketika menyaksikan sendiri proses kelahiran pertama ketika mula bertugas.
“Saya begitu terkejut dan kagum apabila melihat kepala bayi keluar dari serviks, bagaimana sesuatu yang begitu besar boleh keluar dari bukaan yang begitu kecil.
“Bahkan, rakan sekerja saya di sebelah sampai terjatuh pengsan menyaksikannya… Namun, saya hairan kerana pada hari itu, pendarahannya sangat sedikit dan semuanya berjalan dengan baik,” ujar ibu tiga anak dan nenek kepada lapan cucu itu.
Cik Saleha hadir semasa majlis pengisytiharan bangunan KKH lama, khususnya Blok 1, 2 dan 3, sebagai Monumen Negara ke-76 pada 1 Oktober.
Majlis tersebut dirasmikan Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, yang juga Menteri Negara Kanan (Pendidikan), selaku tetamu terhormat.
Bangunan tersebut, yang terletak di Hampshire Road, juga merupakan pejabat Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Dalam membantu sekitar 1,000 kelahiran sepanjang kerjayanya, Cik Saleha berpeluang menyaksikan pelbagai pengalaman yang mencuit hati.
Antaranya, termasuk melihat seorang bapa yang diasak rasa insaf dalam hati ketika melihat kesakitan yang dialami isterinya semasa bersalin.
“Jadi, sejurus selepas bayi keluar, beliau sangat gembira dan memberitahu saya, ‘Hari ini, apabila saya balik rumah, saya akan memeluk dan mencium ibu saya.’
“Apabila saya bertanya mengapa, beliau berkata, ‘Sekarang saya tahu betapa sakitnya ibu saya ketika melahirkan saya.’
“Ini adalah detik yang saya tidak dapat lupakan,” ujar beliau.
Di sebalik kenangan lama, Cik Saleha turut menyedari bagaimana amalan bersalin telah banyak berubah seiring kecanggihan teknologi yang berkembang pesat saban tahun.
Antaranya termasuk penggunaan alat pengawasan degupan jantung bayi, atau CTG, dan penggunaan ubat tahan sakit seperti epidura, yang telah mengubah pengalaman golongan ibu dan kakitangan hospital.
Beliau berkongsi bagaimana setiap bilik menempatkan empat pesakit yang hanya dipisahkan dengan langsir, dan kakitangan perlu sentiasa memantau keadaan mereka setiap setengah jam.
“Bayangkan, apabila semua sedang bersalin, kami terpaksa bergegas dari satu katil ke katil lain untuk memeriksa siapa yang memerlukan perhatian segera.
“Anda boleh dengar ibu-ibu di dalam wad itu mengerang kesakitan, bagaikan mendendangkan pelbagai ‘rentak dan irama lagu’.
“Maklumlah dulu, kami tidak mempunyai epidura untuk menahan sakit melahirkan seperti sekarang,” kongsi beliau.
Apabila ditanya mengenai status bangunan KKH lama itu, Cik Saleha berkata:
“KKH pernah mencatat Rekod Dunia Guinness, dengan bilangan kelahiran tertinggi (39,835 bayi) pada 1966, dan saya rasa bangga kerana bangunan ini telah diwartakan sebagai Monumen Negara.
“Para ibu datang ke hospital seorang diri dan pulang berdua (dengan cahaya mata mereka) – ada kalanya lebih daripada dua cahaya mata.
“Saya berasa bangga dan gembira kerana dapat membantu menyambut kehidupan baru yang menjadi penyeri rumah tangga.”
KKH memegang rekod dunia bagi bilangan kelahiran tertinggi selama 10 tahun, bahkan diiktiraf sebagai hospital bersalin terbesar di dunia pada era 1960-an hingga 1970-an.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg