Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengamat: Kepimpinan Melayu/Islam perlu diteruskan secara berpasukan, kepercayaan terus dibina
Pengamat: Kepimpinan Melayu/Islam perlu diteruskan secara berpasukan, kepercayaan terus dibina
Tumpuan utama kini teliti matlamat, bahagi tugas dalam pasukan dengan jelas
Pengamat: Kepimpinan Melayu/Islam perlu diteruskan secara berpasukan, kepercayaan terus dibina
Peletakan jawatan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim daripada arena politik telah menimbulkan kebimbangan mengenai kesinambungan kepimpinan politik masyarakat Melayu/Islam.
Namun begitu, para penganalisis menekankan bahawa kepimpinan yang kukuh adalah bertunjangkan kerja berpasukan, dan bukannya bergantung kepada seorang individu semata-mata.
Pasukan kepimpinan Melayu/Islam – yang kini diterajui Encik Zaqy Mohamad selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang baru menyusuli peletakan jawatan Dr Faishal – kini mempunyai tugas penting untuk memastikan kepercayaan mesti dibina dan diperbaharui secara berterusan, kata penganalisis kepada Berita Harian (BH).
Selain itu, para pemimpinnya juga perlu meneruskan usaha membina jambatan kukuh antara semua masyarakat dengan pemerintah, tambah mereka.
Encik Zaqy mengambil alih sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam pada 20 Julai selepas Dr Faishal mengundurkan diri berikutan satu ‘kesilapan pertimbangan’ dalam mengendalikan interaksinya dengan seorang wanita.
Susulan itu, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa sidang media pengumuman perubahan Kabinet pada 22 Julai telah memberi jaminan bahawa aspirasi dan kemajuan masyarakat Melayu/Islam kekal sebagai keutamaan baginya dan pemerintah.
Beliau menambah bahawa Encik Zaqy akan menerajui usaha itu bersama barisan pemegang jawatan politik dan Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam yang lain, dengan mereka juga akan bekerjasama rapat dengan pemimpin masyarakat.
USAHA BINA PASUKAN TANGANI CABARAN MASYARAKAT
Dr Norshahril Saat, Zamil Utama dan Penyelaras Program Sosial dan Budaya di Iseas-Institut Yusof Ishak dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, menarik perhatian bahawa kepimpinan Melayu/Islam tidak tertumpu kepada individu tetapi kekuatan pasukan secara keseluruhan.
Menurut beliau, di bawah teraju Encik Zaqy, fokus utama kini adalah untuk meneliti matlamat, objektif serta pembahagian tugas yang jelas dalam kalangan ahli pasukan.
“Kepimpinan Melayu lebih daripada seorang individu, dan kepimpinan itu perlu dilakukan secara berkumpulan. Jadi kita perlu lihat pada pasukan,” kata beliau.
Dr Norshahril menambah bahawa pasukan diterajui Encik Zaqy itu perlu menangani bukan hanya isu-isu nasional, malah juga isu-isu khusus yang menjadi keprihatinan di peringkat masyarakat.
“Sering kali kita dengar masalah yang menyentuh masyarakat lain juga seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi, pendidikan. Itu semua adalah isu-isu nasional.
“Tetapi apabila kita sebut tentang kepimpinan Melayu, kita perlu melihat secara khusus apakah hambatan yang menjejas masyarakat. Itu kita perlu lihat secara khusus dan perlu ditangani bersama dalam masyarakat,” katanya.
Pengarah Pengasas, Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, dalam sesi podcast BHerbual pada 23 Julai - sehari selepas pengumuman rombakan Kabinet - turut sependapat bahawa kepimpinan Melayu/Islam tidak boleh bergantung kepada individu.
Beliau menambah Encik Zaqy sekarang harus memainkan peranan lebih besar untuk turun padang dan mendekati masyarakat dalam jawatan barunya itu.
Encik Imran turut berkata adalah penting bagi AP Melayu/Islam mengambil inisiatif dan berdialog bersama masyarakat umum dengan “keberanian dan bukan hanya menunggu pihak atasan”.
“AP Melayu harus melakukan itu (berdialog) dan ini harus dilakukan bukan hanya dalam Sesi Bertemu Penduduk (MPS) tetapi dalam ruang-ruang yang lebih luas.
“Dari situ, kita boleh melihat sendiri ketokohan seorang pemimpin itu dan...boleh menilai sama ada beliau mungkin mempunyai potensi yang lebih untuk menyumbang dengan lebih besar,” katanya.
PERLU TERUS BINA KEPERCAYAAN
Dalam pada itu, Profesor Madya Eugene Tan daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU), menekankan bahawa tugas teras kepimpinan Melayu/Islam adalah untuk sentiasa membina dan memperbaharui kepercayaan serta keyakinan.
Kepimpinan itu bukan sahaja bertindak sebagai jambatan antara masyarakat dengan pemerintah, malah perlu merapatkan jurang antara masyarakat Melayu/Islam dengan kaum-kaum lain.
“Terdapat keperluan untuk menangani tanggapan salah bahawa masyarakat Melayu/Islam dilayan secara berbeza, atau dianggap sebagai ‘anak bermasalah’ (problem child), serta menjelaskan peranan sebenar AP Melayu/Islam,” kata beliau.
USAHA GILAP BAKAT BARU
Insiden Dr Faishal itu bagaimanapun telah menimbulkan persoalan sama ada ia akan menjadikannya lebih sukar bagi menarik bakat baru memasuki dunia politik dek penelitian terhadap kehidupan peribadi serta ketiadaan privasi.
Dalam usaha menarik lebih ramai orang Melayu yang berkebolehan untuk menyertai barisan Parti Tindakan Rakyat (PAP), Dr Faizal Yahya, Zamil Penyelidik Kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), menyarankan tiga strategi utama.
Ini termasuk memperluaskan portfolio dan tanggungjawab yang digalas penjawat Melayu untuk menunjukkan kebolehan mereka diiktiraf merentas semua sektor masyarakat, dan menyediakan rangka kerja dalaman yang selamat untuk pemimpin Melayu menyuarakan pandangan dan berdebat secara lantang mengenai kepentingan masyarakat secara berhemah tanpa halangan.
Beliau juga berkata PAP boleh memanfaatkan program pementoran dan Biro Ehwal Melayunya untuk mengenal pasti bakat awal daripada institusi seperti Yayasan Mendaki dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Bagaimanapun, Dr Faizal berkata peletakan jawatan berprofil tinggi, seperti Dr Faishal, baru-baru ini disebabkan kesilapan tingkah laku peribadi memerlukan pemulihan kepercayaan yang jelas serta penegasan semula terhadap piawaian parti yang tidak boleh dikompromi.
“Di bawah Pemangku Menteri Zaqy Mohamad, parti berkenaan mesti melipatgandakan usaha ke arah kepimpinan yang telus.
“Langkah menunjukkan bahawa jangkaan etika terpakai secara adil kepada semua AP akan memberi keyakinan kepada orang ramai dan memberi isyarat kepada calon-calon berpotensi bahawa PAP menghargai kepimpinan yang berprinsip,” kata Dr Faizal.
Dr Tan pula menjelaskan bahawa PAP mesti membuktikan bahawa AP Melayu/Islam bukan sekadar ‘pelengkap syarat’ atau jurucakap pemerintah.
“Pada dasarnya, PAP perlu menunjukkan bahawa AP Melayu/Islam bukanlah jurucakap bagi PAP dan pemerintah semata-mata, sebaliknya mereka memainkan peranan kritikal dalam meningkatkan kebajikan masyarakat serta mempromosikan dan melindungi kepentingan sah masyarakat,” kata beliau.