Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerja bina pusat penjaja, poliklinik di Bishan mula penggal pemerintah kini

Ruang pejabat dengan keluasan sekitar 200,000 meter persegi akan dibina
Jun 26, 2025 | 2:27 PM
URA, Bishan, kawasan pejalan kaki
Lakaran artis yang menggambarkan kawasan pejalan kaki yang dihubungkan dengan hab pengangkutan serta kemudahan lain di pusat daerah sampingan Bishan akan datang. - Foto URA

Kerja pembinaan pusat penjaja baru, poliklinik dan penambahbaikan pusat pertukaran bas di pusat bandar Bishan akan dimulakan dalam penggal pemerintah semasa dan dijangka mengambil beberapa tahun untuk disiapkan, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.

Ruang pejabat dengan keluasan sekitar 200,000 meter persegi itu juga mungkin akan dibina di pusat bandar tersebut, setanding dengan skala ruang pejabat di Paya Lebar Central, kata Encik Chee dalam satu hantaran di Facebook pada 26 Jun.

Pemerintah sedang mengkaji pelan membangunkan Bishan menjadi sebuah hab perniagaan baru sebagai sebahagian daripada Pelan Induk 2025 oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), yang didedahkan pada 25 Jun.

Beberapa agensi pemerintah juga sedang meneroka kemungkinan memindahkan pejabat mereka ke kawasan itu bagi merancakkan pembangunan kawasan perniagaan berkenaan, kata URA sebelum ini.

Perancangan sedang dijalankan untuk membangunkan Bishan sebagai pusat daerah sampingan, iaitu hab perniagaan seperti di Paya Lebar dan Serangoon, yang membawa peluang pekerjaan lebih dekat dengan kawasan kediaman. 

Saiz pusat daerah sampingan lebih kecil berbanding pusat daerah seperti di Woodlands, Jurong East dan Tampines, lapor The Straits Times (ST).

Usaha menambah baik keterhubungan di Bishan juga akan memudahkan penduduk mengakses kemudahan berhampiran, kata Encik Chee, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh.

Sebagai contoh, laluan basikal di pusat bandar Bishan akan membolehkan penduduk berbasikal ke kemudahan riadah yang bakal dibina, seperti di sepanjang Koridor Utara-Selatan dan Sungai Kallang.

Bishan Place – jalan di belakang pusat beli-belah Junction 8 – akan diubah menjadi kawasan pejalan kaki yang dihubungkan dengan hab pengangkutan serta kemudahan lain, tambah beliau.

Terdapat juga rancangan membina laluan bagi pejalan kaki dan basikal sepanjang pembangunan di Bishan Road, yang akan bersambung dengan Taman Bishan-Ang Mo Kio.

Rancangan itu di samping Pembangunan Bersepadu Toa Payoh (TPID) yang dibina di tapak lama Pusat Sukan Toa Payoh di Lorong 6 Toa Payoh.

Ia dijangka siap dalam penggal pemerintah semasa, kata Encik Chee.

Pembangunan bersepadu itu akan menampilkan pusat sukan yang dipertingkatkan, poliklinik yang dinaik taraf, perpustakaan yang lebih besar serta taman bandar yang diperbaharui. 

Ia juga akan mempunyai laluan dengan kawasan berteduh ke stesen MRT Toa Payoh dan pusat pertukaran bas.

Pelan Induk 2025 merangkumi rancangan untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi Singapura dengan mengukuhkan hab ekonomi dan kawasan perniagaan, memperbaharui kawasan utama serta menyokong inovasi.

Pameran pelan induk itu akan diadakan di Hab Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Toa Payoh, dari 9 hingga 17 Ogos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg