Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes ubah wang haram $3b: Barangan mewah diserah kepada Deloitte untuk jadi tunai

Aug 12, 2025 | 6:50 PM
Patek Philippe, Richard Mille, jongkong emas, wang haram
Barangan yang dirampas termasuk jam tangan Patek Philippe dan Richard Mille, 58 jongkong emas, pelbagai barang kemas bertatahkan berlian, beg tangan Hermes dan Louis Vuitton, dan barangan mewah lain. - Foto ST

Sebanyak 466 barangan mewah dan 58 jongkong emas yang berkaitan dengan kes pengubahan wang haram bernilai $3 bilion telah diserahkan pihak polis kepada firma perkhidmatan profesional Deloitte untuk diurus dan dicairkan, iaitu menukarkannya kepada tunai melalui penjualan aset.

Antara barangan tersebut termasuk jam tangan Patek Philippe dan Richard Mille, pelbagai barang kemas berlian, serta beg tangan Hermes dan Louis Vuitton. 

Setiap jongkong emas tersebut pula mempunyai berat antara 999 gram dengan satu kilogram.

Aset tersebut adalah sebahagian barangan yang dirampas dalam operasi membanteras pengubahan wang haram.

Operasi itu menyaksikan 10 warga asing ditahan dalam beberapa serbuan pada 15 Ogos 2023, serta 17 suspek lain melarikan diri dari Singapura ketika siasatan masih dijalankan.

Menurut polis, semua baki aset bukan tunai akan diserahkan secara berperingkat kepada Deloitte untuk diurus dan dicairkan.

Secara keseluruhan, polis telah merampas atau mengambil alih kira-kira $1.25 bilion aset bukan tunai semasa siasatan dijalankan.

Ia termasuk kereta, hartanah, karya seni, jam tangan, barang kemas, jongkong emas, dan beg tangan.

Sebahagian aset tersebut, termasuk 54 hartanah, telah dicairkan pada awal 2024.

Pada 12 Ogos, polis secara rasmi melantik Deloitte & Touche Financial Advisory Services, untuk mengurus dan mencairkan baki aset bukan tunai berkaitan kes tersebut.

“Bagi membantu proses ini, polis sedang menyerahkan secara berperingkat semua aset bukan tunai yang belum dicairkan kepada Deloitte.

“Antara 11 dengan 12 Ogos, polis telah menyerahkan 466 barangan mewah dan 58 jongkong emas kepada Deloitte,” kata jurucakap polis.

Sembilan lelaki dan seorang wanita yang ditahan telah disabitkan kesalahan pada 2024 dan dipenjara antara 13 dengan 17 bulan atas kesalahan termasuk pengubahan wang haram, pemalsuan dan menghalang proses penahanan.

Mereka telah dihantar pulang dan diharamkan memasuki Singapura selepas menjalani hukuman penjara, lapor The Straits Times (ST).

Kesemua 27 warga asing tersebut hidup mewah di Singapura, dengan ramai menetap di banglo dan menyertai Kelab Golf Sentosa, dengan yuran keahlian bagi warga asing mencecah sekitar $950,000.

Operasi itu berakhir apabila lebih 400 pegawai, termasuk daripada Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Jabatan Ehwal Komersial (CAD), Pasukan Operasi Khas (SOC), dan Jabatan Perisik Polis (PID), menyerbu kediaman mereka.

Apabila suspek menerima berita tentang serbuan itu, 17 daripada mereka melarikan diri dari negara, meninggalkan aset seperti kereta mewah, jam tangan dan barang kemas dalam keadaan tergesa-gesa.

Aset yang dirampas akan dimasukkan ke dalam Dana Disatukan atau Consolidated Funds – serupa dengan akaun bank yang dipegang pemerintah yang digunakan untuk perbelanjaan negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg